Bezausia lapan tahun tidak menjadi halangan buat penyanyi Nita Hamzah, 37, untuk menerima cinta Mohd Fareez Shamsul Bahari, 29, menjadi teman hidupnya.
Apa yang lebih diutamakan oleh Nita atau Norhanita ialah restu ibu bapa dan keluarga.
Katanya, dia berasa bertuah kerana ibu dan bapa Mohd Fareez merestui hubungan mereka.
"Saya dan Mohd Fareez berkenalan dan berkawan rapat lebih tiga tahun lalu. Syukur pada hujung minggu ini, kami akan mengikat pertunangan untuk langkah pertama sebelum ke fasa perkahwinan pula.
"Terus-terang, saya sedar jarak perbezaan usia yang ketara di antara kami. Namun, saya terima kehadiran Mohd Fareez dalam hidup ini kerana sikap matang dirinya.
"Selain itu, dia juga seorang yang sangat mengambil berat dan bertanggungjawab. Malah, saya selesa dengan Mohd Fareez kerana dia terima diri saya sedanya.
"Ibu bapa dan keluarganya juga menerima saya dengan baik dalam keluarga mereka. Justeru, harapan saya semoga ikatan pertunangan ini nanti akan membawa kami ke jenjang pelamin," katanya.
Nita yang juga naib juara Malaysian Idol 2 (MI2) pada 2006 berkata, majlis pertunangannya nanti akan berlangsung di kediaman keluarganya di ibu kota pada Ahad ini.
Bakal berlangsung selepas Zohor, Nita memilih untuk melangsungkan pertunangan secara sederhana tetapi meriah.
Kehadiran keluarga, sanak saudara dan kenalan lebih utama. Nita juga mengharapkan doa yang baik daripada semua tetamu yang hadir supaya impian untuk membina rumah tangga menjadi kenyataan.
Memilih pekerja syarikat swasta sebagai teman hidup, Nita yakin Mohd Fareez adalah lelaki yang mampu menjadi pemimpin dalam keluarga yang bakal dibina nanti.
Nita juga baru saja merakamkan single baru untuk kemunculannya di persada muzik tanah air. Dia pernah muncul dengan album solo kira-kira 10 tahun lalu.
Pernah bernaung sebagai penyanyi syarikat rakaman SRC pada awal kemunculannya, kini Nita memilih untuk menguruskan perjalanan karier nyanyiannya sendiri.