Ada yang ajak Dewi Liana teman mereka minum bersama.
Memiliki wajah cantik tentunya satu kelebihan buat penyanyi Dewi Liana Seriestha, 28, tetapi hakikat sebenar ia juga satu masalah buat penyandang gelaran Miss Malaysia World 2014 ini.
Dewi Seriestha mendakwa sering dihimpit golongan VIP setiap kali membuat persembahan di majlis korporat.
Malah ada yang sanggup memujuknya untuk menemani mereka minum bersama.
"Ada juga individu yang bertindak berani hingga memegang tangan saya. Bagaimanapun saya bernasib baik kerana ayah dan adik lelaki sering menemani dan berjaya mengelakkan kejadian yang tidak diingin berlaku," katanya.
Dewi Seriestha yang mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World Telent di London akui terpaksa membawa ayah dan adik lelakinya ke mana saja pergi.
"Mereka umpama pengawal keselamatan saya. Apabila ada yang cuba ‘menggatal’, saya cepat-cepat kenalkan ayah dan adik kepada mereka.
"Tetapi kadang-kadang cara itu tidak berkesan. Ada juga yang tidak menghiraukan kehadiran mereka dan ketika bersalaman mereka sengaja memegang tangan saya lama-lama dan ‘mengurut’ lembut.
"Kalau mereka sudah buat begitu, saya akan genggam tangan mereka lebih kuat dengan kedua-dua tangan dan saya cakap, ‘maaf, saya bukan perempuan begitu’,” katanya.
Bekas peserta Mentor itu juga akui tidak faham dengan sikap segelintir lelaki yang sudah berumahtangga dan mempunyai cucu tetapi masih ingin menggoda wanita muda.
Walaupun berusia lewat 20-an, Dewi tidak malu ditemani ahli keluarga menghadiri mana-mana majlis.
Baginya, itu adalah salah satu cara menjaga nama baik dari sebarang kontroversi.