Pelakon Ika Nabella, 28, melahirkan rasa lega berikutan perselisihan faham dirinya dengan seorang wanita dikenali sebagai ‘Mak Cik Tudung Maroon’ sudah berakhir.
Sebelum itu, wanita terbabit menyerang Ika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) serta di laman sosial kerana bengang dengan tindakan Ika yang terlanggarnya ketika menggunakan ‘walkalator’, baru-baru ini.
Bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam ini berkata, wanita ini berhenti mengganggu dan memburukkannya selepas dia memberi tempoh tujuh hari supaya membuat permohonan maaf.
"Saya terpaksa bertegas demi maruah. Saya tiada niat bergaduh kerana tidak mengenalinya. Jika dia masih bertindak sebaliknya, saya akan serahkan kes ini kepada pihak berkuasa,” katanya.
Menurut Ika, segelintir pihak menjelaskan panggilan makcik yang ditujukannya kepada wanita ini ketika meminta kebenaran diberikan laluan sebenarnya mengundang perasaan tidak puas hati wanita itu.
"Ada yang kata dia marahkan saya kerana memanggilnya makcik, tapi saya menggunakan gelaran itu sebagai menghormatinya yang lebih berusia. Takkanlah saya nak panggil dia dengan nama bukan-bukan sedangkan usianya hampir sebaya ibu saya," katanya.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Ika berkata, ia berlaku kira-kira jam dua pagi apabila dia bersama suami dan keluarganya baru pulang dari bercuti baru-baru ini.
"Wanita ini bersama seorang rakannya berbual sehingga menghalang laluan di atas ‘walkalator’ itu. Saya minta kebenaran untuk ke hadapan dan mereka tak menghiraukannya menyebabkan saya ambil keputusan berjalan di ruang tengah di antara mereka.
"Mungkin tanpa disedari, saya terlanggar mereka tanpa sengaja. Selepas berada jauh di hadapan, saya terdengar jeritan wanita itu tapi saya tak dapat berpatah balik untuk meminta maaf kerana ‘walkalator’ ini bergerak," katanya.
Ika berkata, ketika mengambil beg di kaunter bagasi, wanita itu terus menyerangnya dengan mengeluarkan kata-kata lucah serta menunjukkan isyarat lucah.
"Tak sangka kemarahannya membuak-buak sehingga menular ke laman sosial saya. Dia turut mengugut untuk menyebarkan insiden berkenan ini dengan tujuan nak memalukan saya.
"Saya akhirnya terpaksa bertindak mendedahkan perkara ini terlebih dahulu sebelum dia meneruskan niatnya," katanya yang turut meminta wanita ini supaya melihat kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.
Ika lega kerana peminat memberi respon positif dan mengecam tindakan wanita ini yang tidak mencerminkan peribadinya apabila tergamak mengeluarkan kenyataan ‘ibu Ika melahirkan anak bangsat’.