Penganjur Charity Showcase with Siti Nordiana, RWE Event Management menyelar dakwaan penyanyi itu yang mengatakan tarikh persembahan yang berlangsung di Putrajaya, Sabtu lalu itu bertukar beberapa kali menyebabkan ia tidak mendapat sambutan.
Wakil penganjur, Zuriawati Zaidi berkata, tarikh dan lokasi persembahan hanya ditukar sekali saja dan bukan tiga hingga empat seperti didakwa Siti Nordiana.
"Pada mulanya persembahan amal ini dinamakan Belayar Sambil Menderma bersama Siti Nordiana yang akan diadakan di atas kapal mewah pada 13 dan 14 Mei dengan harga tiket serendah RM599.
"Bagaimanapun disebabkan jualan tiket kurang mendapat sambutan kami menukar lokasi dan tarikh iaitu di sebuah hotel Putrajaya, Sabtu lalu bagi menjaga nama dan memastikan persembahan ini dilangsungkan dengan jaya
“Kami kesal apabila dia (Siti Nordiana) mendakwa tarikh persembahan amal ini ditukar beberapa kali. Dia juga langsung tidak membuat promosi awal di Instagram mengenai persembahannya sehingga sehari sebelum malam persembahan itu,"katanya.
Zuriawati berkata, walaupun jualan tiket persembahan amal di Putrajaya turut tidak mendapat sambutan, pihaknya tetap meneruskan acara itu bagi menjaga nama baik dan tidak mahu mengecewakan peminat yang sudah membeli tiket.
"Kami tetap teruskan acara ini kerana tidak mahu menghampakan peminat yang sudah membeli tiket selain menjaga hati penyanyi itu.
"Kami tidak mahu persembahan amal ini memberi kesan buruk terhadap kerjayanya jadi kami terap teruskan. Bagaimanapun dia pula tidak memberi kerjasama dengan baik dengan kami," katanya.
Terdahulu Siti Nordiana mendakwa tarikh persembahan amal itu ditukar tiga hingga empat kali oleh penganjur selain menafikan dakwaan segelintir pihak dirinya tidak membantu mempromosikan persembahan itu.