Pernah mempunyai beberapa single hits dan album penuh, namun itu bukan menjadi laluan mudah buat peserta AF Megastar, Farah Idayu untuk membuktikan kebolehan menerusi pertandingan yang bakal bersiaran 3 September depan menerusi Astro Ria dan Ria HD.
Bagi Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakob, pemilihannya dalam 24 peserta terawal AF Megastar adalah satu peluang besar apatah lagi bintang kelahiran Kelantan ini hanya menunggu masa memberi persembahan terbaik pada konsert prelude tidak lama lagi.
Bagaimanapun, bekas pelajar AF3 ini tidak meletakkan harapan besar di dalam pertandingan tersebut kerana kesemua peserta mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri.
Jelas Idayu, secara peribadi, sudah memadai jika persembahannya pada konsert itu boleh memberi impak seterusnya memuaskan hati juri dan peminat.
“Apabila mendapat peluang bersaing dengan rakan AF lain, saya rasa gembira campur teruja. Bukan teruja untuk bersaing sesama sendiri, tapi syukur kerana akhirnya, saya mendapat peluang kembali memeriahkan industri seni. Selepas keluar AF, saya pernah ada beberapa single dan ada album penuh.
Bagaimanapun, ujar Idayu, ‘hayat’ nya dalam seni tidak panjang seperti rakan lain dan kesempatan bertanding di AF Megastar, sudah tentunya dianggap sebagai satu perkembangan baik untuk profesion seni saya,” katanya jujur selepas ditemui di majlis memperkenalkan barisan peserta AF Megastar di pusat hiburan Zouk, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelasnya lagi, dia juga tidak kisah andai perlu kembali bermula dari bawah, bersaing dengan penyanyi yang lebih muda dan kurang pengalaman daripadanya.
“Bagi saya, bila bercakap soal pertandingan, semuanya sama sahaja. Tiada isu siapa paling banyak pengalaman atau sebaliknya. Semua bermula dengan ‘zero’.
"Meskipun saya sudah ada album, saya tak kisah andai perlu kembali bersaing, bagi membuktikan kebolehan. Kalau tidak mahu bersaing dengan artis baru, bagaimana kita nak tahu sejauh mana kemampuan diri,”terang Idayu.
Lama tidak muncul di televisyen
Kongsi penyanyi ini lagi, kemunculan semulanya juga satu usaha membaiki kelemahan yang ada, terutamanya ketika berada di AF3 lalu.
Ketika di, kata Idayu, dia tidak berpeluang menunjukkan bakat terpendam kerana terkeluar pada minggu awal persaingan.
“Memang tak sempat nak buktikan apa-apa. Saya terkeluar pada minggu keempat. Jadi inilah masanya kembalikan ingatan peminat. Saya perlu persiapkan diri dari segi mental dan fizikal.
“Yelah, sudah lama tidak muncul secara langsung di televisyen. Jadi rasa nervous itu tetaplah ada,” akui Idayu yang mempersembahkan tiga lagu ketika hadir ke sesi ujibakat AF Megastar yang dilakukan secara tertutup.
Idayu juga tidak mahu terlalu memikirkan persaingan dengan kerana hanya memberi tekanan pada diri. Luah Idayu, adalah lebih baik sekiranya dia hanya mengikuti AF Megastar tanpa sebarang tekanan mana-mana pihak.
Suami pendorong terbesar
Idayu bertuah kerana dia mendapat kekuatan dan semangat daripada suami, Shahrul Fadzil selain kemahuan sendiri bagi memberikan keyakinan untuk terus mengatur langkah.
“Kalau nak diikutkan, saya pernah rasa putus asa. Macam-macam yang sudah saya buat, tapi sinarnya masih belum ada. Belum ada rezeki. Jadi bila dapat kembali menerusi AF Megastar, suamilah yang paling teruja.
“Katanya, mengapa tidak cuba. Berikan yang terbaik dan cubalah buktikan sesuatu. Lalu saya ambil kata-katanya sebagai pembakar semangat. Alhamdulillah, saya berjaya. Insya-ALLAH saya akan cuba berikan yang terbaik dalam persaingan di AF Megastar nanti,” jelas Idayu optimis.
Sementara itu, Idayu turut mengharapkan peminat memberi sokongan padu walaupun pada masa sama tidak senang untuk kembali mengumpul peminat yang mungkin sudah lama tidak mendengar sebarang perkembangan terkininya.
“Pada zaman saya dulu, pengaruh media sosial tidaklah besar seperti sekarang. Bagaimanapun, saya mengharapkan masih ada peminat yang masih mengenali dan sudi menyokong perjalanan saya menerusi AF Megastar nanti,” akhiri Idayu.