Terkenal sebagai penyanyi yang gemar menyanyikan lagu bernada tinggi, kali ini Black tampil dengan kelainan apabila menggunakan nada rendah dalam single baharu berjudul Sakit Ku Rasa.
Bukan mudah untuk memastikan momentum karier bergerak pada aras yang sama sepanjang masa, lebih-lebih lagi dengan kehadiran banyak wajah baharu mewarnai industri seni pada ketika ini.
Bagi penyanyi popular Black Hanafiah, dia mengakui tidak pernah berasa tergugat apatah lagi terkesan dengan kebanjiran pendatang baharu dalam industri seni, terutamanya dalam bidang nyanyian pada ketika ini.
Jelas Black, 30, dia tidak perlu berasa tergugat kerana percaya setiap artis mempunyai kelebihan masing-masing untuk kekal lama dan relevan dalam industri.
“Sama juga sewaktu zaman saya masih mahu bertatih dalam industri. Waktu itu, kedatangan kami tidak dipandang sebagai ‘ancaman’ tetapi pelapis yang ada bakat dan imej sendiri dalam bidang ini.
“Jadi, apabila sudah melepasi fasa itu, saya melihat kebanjiran penyanyi baharu pada masa kini dengan sisi pandangan sama.
“Sedikit pun saya tidak memandang kedatangan mereka sebagai persaingan. Cuma, apa yang saya boleh katakan adalah mereka perlu berusaha lebih lagi untuk mengekalkan diri dalam industri dan tidak boleh bergantung pada hanya satu atau dua buah lagu semata-mata,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi yang diadakan di Studio Utusan baru-baru ini.
Tambah pelantun lagu Mana Mungkin itu lagi, perbezaan masa dan kemudahan teknologi pada masa kini memberi kelebihan buat artis-artis baharu untuk mudah dikenali berbanding dengannya yang perlu melalui proses sukar untuk berjaya.
“Bukanlah saya kata mereka tidak bagus tetapi ada perbezaan antara generasi kami dan mereka. Masa dulu, tidak ada teknologi seperti media sosial untuk kami mengembangkan bakat.
“Jadi, kami cuma berharap kepada kemunculan dalam media cetak dan massa. Sebab itu, orang kurang nampak perjalanan dan proses yang kami lalui berbanding dengan anak-anak muda ini yang setiap hari boleh mendekati peminat menerusi media sosial,” ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu mesra.
Black - Sakit Ku Rasa
Penulis lirik
Berkongsi perkembangan terkini, Black tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Sakit Ku Rasa. Menariknya, lagu yang mendapat sentuhan komposer Zul 2by2 itu turut menonjolkan bakatnya sebagai penulis lirik bersama.
“Lagu Sakit Ku Rasa sangat berbeza dengan kebanyakan lagu terdahulu. Kalau orang kenal lagu saya selalunya banyak berkisar tentang wanita iaitu Sofea Jane, namun kali ini saya tampil dengan sedikit pembaharuan apabila mengangkat tema cinta dalam lagu.
“Namun, kisah cinta yang diangkat dalam lagu ini juga berbeza kerana liriknya menyentuh tentang perasaan seorang kekasih yang terpaksa meninggalkan cintanya kerana tidak mampu lagi untuk bertahan dengan perhubungan itu,” jelasnya.
Tiada kena-mengena dengan kisah hidup sendiri, sebaliknya Black berkata, perahan idea lirik lagu tersebut muncul daripada pengalaman dan cerita rakan-rakan dan orang di sekeliling.
“Sebelum ini semua lagu yang saya dapat sudah lengkap dan sempurna dari segi muzik dan lirik. Tiada apa yang perlu diubah untuk mencantikkannya.
“Sebab itu apabila bekerjasama dengan Zul, saya minta izin kepadanya untuk membuat lirik. Bukannya lirik yang sedia ada tidak bagus tetapi hasrat ini sudah lama saya pendam.
“Alhamdulillah, Zul juga memberi kerjasama yang baik dan peluang kepada saya untuk menyumbangkan idea dalam lagu ini,” ujar pelantun lagu Anugerah Terindah itu.
Vokal rendah
Ditanya apakah keistimewaan atau kelainan yang ditonjolkan menerusi Sakit Ku Rasa, Black menjelaskan, kali ini dia cuba tampil dengan kelainan dari segi lantunan vokalnya yang rendah berbanding karakternya yang cukup terkenal dengan lagu bernada tinggi.
“Semua orang tahu saya memang boleh dan selalu membawakan lagu-lagu bernada tinggi. Namun, kali ini saya cuba membawa kelainan dan keluar dari zon selesa apabila merendahkan lantunan vokal dalam lagu ini.
“Malah, ramai rakan-rakan artis yang berkata saya sebenarnya boleh membawakan lagu-lagu bernada rendah. Jadi, saya ambil peluang ini sebagai menyahut cabaran mereka.
“Pada masa sama, saya mahu buktikan kepada peminat bahawa suara saya juga boleh menyanyikan lagu-lagu bernada rendah,” ujarnya.
Biarpun boleh menyanyikan lagu bernada rendah, namun Black akui ia tetap memberi cabaran tersendiri buatnya apabila terpaksa mengambil masa yang panjang untuk merakam lagu tersebut di studio.
“Kali pertama saya pergi ke studio untuk melakukan proses rakaman, ia tidak menunjukkan hasil yang positif. Selalunya, kalau saya merakam lagu bernada tinggi, prosesnya sangat mudah.
“Untuk lagu ini sahaja, saya terpaksa melalui proses rakaman sebanyak empat kali kerana sukar untuk mendapatkan nada rendah serta emosi seperti yang diingini.
“Pun begitu, saya memandang ia sebagai salah satu cabaran yang bagus untuk saya menguji kemampuan diri,” tutup Black sambil tersenyum.