Aisyah Aziz pernah putus asa


Terkenal sebagai penyanyi yang gemar menyanyikan lagu bernada tinggi, kali ini Black tampil dengan kelainan apabila menggunakan nada rendah dalam single baharu berjudul Sakit Ku Rasa.

Harapan penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz ketika menyertai program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013) sekitar empat tahun lalu hanyalah satu, iaitu mahu meletakkan bakat nyanyiannya ke tahap yang lebih tinggi.

Ketika itu, firasat Aisyah tidak pernah membayangkan bahawa kehidupan sebagai anak seni secara realitinya tidak seindah atau seenak seperti yang disangkakan.

Disebabkan hal tersebut, perasaan pemilik nama lengkap, Nur Aishah Aziz, 23, itu sedikit kacau apabila kerjaya nyanyiannya tidak mencapai titik stabil walaupun selepas setahun menyertai AF2013.

Lebih sayu, keberadaannya di Kuala Lumpur tanpa kehadiran kedua orang tua sepanjang tempoh tersebut menambahkan lagi beban yang terpaksa ditanggung secara seorang diri.

Ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Planet Muzik 2017 (APM2017) di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi lagu Mimpi itu mengakui pernah berhasrat untuk berhenti menyanyi.

Katanya, selain daripada masalah kewangan, dia juga berhadapan pelbagai cabaran seperti kekurangan tawaran nyanyian.

Namun itu cerita lama, ketika dia masih hijau dan cuba berdikari seorang diri dalam mempertaruhkan bakat sebagai anak seni. Kini, adik kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz itu telah mampu berdiri dan melebarkan bakatnya seperti yang diidamkan sebelum ini.

Buktinya, Aisyah mampu tersenyum lebar apabila berjaya menerima sebanyak sembilan pencalonan menerusi APM2017 yang dijadualkan berlangsung di MES Theatre di Mediacorp, Singapura pada 14 Oktober depan.

Mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga, Aisyah menyifatkan pencalonan tersebut sebagai kejayaan kecil yang mungkin dapat menempatkan kerjaya nyanyiannya ke tangga yang lebih dihormati.

KOSMO!: Tahniah kerana mendapat pencalonan tertinggi di APM2017. Bagaimanakah perasaan Aisyah apabila dicalonkan sebanyak itu?

Terima kasih. Saya sendiri agak terkejut dengan berita ini kerana masih baharu dalam industri muzik. Saya kira kejayaan ini dapat memberikan impak yang lebih besar dalam kerjaya nyanyian tetapi sejujurnya masih jauh lagi perjalanan dalam bidang ini untuk saya lalui.

Adakah anda terfikir akan sampai ke tahap ini ketika mula-mula bergelar penyanyi dahulu?

Tidak sama sekali. Beberapa tahun lalu, saya pernah berputus asa kerana tidak cukup yakin dengan bakat yang dimiliki

Pada masa yang sama, tawaran kerja juga tidak sebegitu meriah menyebabkan saya sedikit gentar untuk hidup seorang diri di Kuala Lumpur.

Pernah terlintas dalam fikiran untuk berhenti menyanyi dan bekerja sebagai pramugari

Namun selepas berfikir panjang, keputusan tersebut tidak berbaloi. Saya masih sayangkan karier nyanyian.

Apakah yang menyebabkan anda kekal dengan kerjaya nyanyian sehingga kini?

Menerusi pengalaman yang diraih, saya sedar bahawa kerjaya nyanyian memerlukan usaha yang keras untuk berjaya. Jadi, selain Malaysia, saya juga cuba mengembangkan pengaruh di Singapura dengan memenuhi undangan nyanyian korporat di sana.

Kebanyakan pencalonan menerusi APM2017 adalah bersandarkan lagu Tanda Tanya. Adakah genre lagu tersebut merupakan gambaran hala tuju karier anda selepas ini?

Sejujurnya, saya masih bereksperimen dengan karya-karya muzik. Saya tidak mahu tertumpu kepada satu jenis genre sahaja sedangkan mampu untuk meneroka lebih banyak lagi sisi muzik yang berbeza. Kita lihat nanti, barangkali untuk single seterusnya, saya akan mencuba sesuatu yang berlainan.

Baru-baru ini, abang anda, Aliff dihambat kontroversi apabila dituduh curang bersama pelakon Afifah Nasir. Adakah anda terkesan dengan kontroversi tersebut?

Sebenarnya, saya tidak mahu memberi komen lanjut tentang perkara ini kerana ia bersifat terlalu peribadi. Namun saya percaya, apa yang berlaku baru-baru ini telah menguatkan hubungan Alif dan isterinya, Bella sebagai pasangan suami isteri.

Post a Comment

Previous Post Next Post