Juvana Bakat lakonan Eyka Farhana mula dikesan sejak dia membintangi drama Juvana pada tahun 2011.
Oleh kerana itu, Eyka tidak menolak untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk memantapkan lagi ilmu lakonannya.
“Saya mahu berlakon selagi hayat dikandung badan sebab minat yang mendalam. Jika ada peluang, saya akan menyambung pelajaran berkaitan bidang lakonan. Proses pembelajaran tidak pernah habis untuk menjadi seorang pelakon yang bagus.
“Setakat ini belum ada sebarang perancangan melanjutkan pelajaran kerana jadual saya telah penuh sehingga hujung tahun dengan penggambaran,” kata Eyka yang baru selesai menjalani penggambaran filem Safari Mall.
Bercerita lebih lanjut tentang perancangan masa depannya, Eyka sedar dia tidak boleh terlalu bergantung kepada lakonan sebagai satu-satunya sumber pendapatan.
Justeru itu, dia menjadikan minatnya terhadap solekan kepada satu perniagaan yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Selain berlakon saya amat meminati solekan. Orang kata jika mahu berniaga, buatlah sesuatu berasaskan minat. Jadi, saya akan keluarkan produk kosmetik sendiri untuk dikongsi bersama orang ramai. Belum ada sebarang tarikh yang ditetapkan, tetapi jika tiada kekangan ia akan dilancarkan dalam masa terdekat,” beritahu Eyka.
Masih segar dalam ingatan kemunculannya dalam drama hangat Juvana sekitar tujuh tahun lepas cukup menarik perhatian penonton. Sementelah, dalam drama yang dikuasai oleh pelakon lelaki itu, hanya Eyka yang ketika itu berusia 16 tahun menjadi bunganya.
Walaupun tidak memegang watak utama, namun drama Juvana membuka pintu rezeki Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi dalam bidang lakonan. Sejak itu, tawaran demi tawaran hadir tanpa henti. Tanpa sedar, sudah tujuh tahun Eyka bergelar seorang pelakon.
“Saya mula berlakon ketika masih bersekolah. Waktu itu saya cukup gembira walaupun hanya diberi watak kecil dalam drama Juvana. Tidak disangka kerana drama berkenaan saya diberi kepercayaan untuk memegang watak lebih besar dalam filem Juvana 2 dan Juvana 3.
“Pejam celik, sekarang sudah tujuh tahun saya berlakon. Melihat perkembangan kerjaya secara keseluruhan, saya berbangga kerana bermula dari bawah dengan usaha dan bakat sendiri,” katanya yang pernah berhenti berlakon selama setahun untuk memberi fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Bermula sebagai pelakon tambahan, kini pada usia 22 tahun Eyka telah membintangi lebih 40 buah drama dan empat buah filem termasuk Polis Evo. Melihat pencapaian kerjayanya, ia cukup membanggakan kerana Eyka seorang pelakon yang cukup konsisten.
Walaupun begitu, gadis cantik ini mengakui namanya tidak panas dan popular seperti pelakon wanita seangkatannya. Malah, ramai peminat yang lebih mengingati watak lakonan Eyka berbanding namanya. Tidak kecewa dengan situasi berkenaan, jelas Eyka, dia selesa dengan cara begitu dan menyifatkan belum rezekinya untuk menjadi seorang pelakon fenomena.
“Jika bercakap soal laris, populariti dan diingati ramai, perkara itu sangat subjektif. Apapun, saya akui kurang dikenali dan diingati oleh penonton. Barangkali peluang untuk drama lakonan saya mencetuskan fenomena belum tiba.
“Namun, cukup bagi saya jika penonton berpuas hati dengan mutu lakonan yang diberikan. Saya tidak kisah jika orang kenali saya dengan nama watak berbanding nama sebenar,” jelasnya.
Kurang popular
Biarpun selesa dengan kestabilan kerjayanya, bagi bintang drama Istikharah Cinta itu, populariti amat penting bagi seorang pelakon. Ia merupakan satu bonus untuk menarik peminat memberi sokongan terhadap setiap drama lakonan seseorang pelakon, sekali gus menaikkan rating.
Imej bersih Sepanjang tujuh tahun bergelar pelakon, Eyka kekal dengan imej dan bersih dan mahu mengelak daripada terlibat dalam sebarang kontroversi.
“Tipu jika saya kata populariti itu tidak penting. Setiap anak seni mahu menjadi popular kerana ia memberi banyak kelebihan kepada seseorang artis.
“Cuma setiap artis popular dengan cara berbeza. Ada yang popular kerana cantik, kontroversi dan bakat. Jika boleh saya mahu popular dengan bakat, bukannya sebab lain. Saya percaya hanya dengan bakat hayat seorang pelakon itu akan bertahan lebih lama,” katanya penuh serius.
Justeru, Eyka sebolehnya mahu menggelakkan diri daripada terbabit dalam sebarang kontroversi yang boleh mencalarkan reputasi dan nama baiknya sebagai pelakon. Setakat hari ini, profil kerjaya anak kedua daripada empat adik-beradik itu kekal bersih.
Hal ini kerana, Eyka berpegang kepada niat asalnya iaitu terjun ke dunia lakonan untuk mencari rezeki membantu keluarga bukannya hanyut dengan dunia glamor.
“Saya bukannya anak orang kaya, jadi lakonan merupakan sumber rezeki utama untuk saya membantu keluarga. Jadi, saya tidak boleh menabur pasir di periuk nasi sendiri. Sebagai artis kadangkala kontroversi itu hadir tanpa dipinta, tetapi sebolehnya saya akan mengelak.
“Namun, jika terkena juga saya akan berhadapan dengan cara yang baik. Walaupun orang kata kontroversi itu tetap publisiti, bagi saya ia memberi kesan negatif bukan sahaja kepada kerjaya, keluarga, tetapi juga syarikat pengurusan yang telah banyak membantu mengurus karier seni,” tuturnya.
Perniagaan
Berbicara tentang wajahnya, sejak mula terjun dalam dunia lakonan sehingga ke hari ini, Eyka sudah lali mendengar dirinya disamakan dengan pelakon Elfira Loy dan Fazura. Semuanya gara-gara dia memiliki wajah seakan-akan dua pelakon cantik itu.
Menyifatkan persamaan itu sebagai satu pujian, namun Eyka tidak mahu dikenali semata-mata memiliki wajah seiras dua pelakon popular berkenaan.
“Memang ramai yang tegur wajah saya sama seperti Elfira dan Fazura. Ia satu penghargaan kerana mereka berdua jauh lebih cantik. Cuma jika boleh, biarlah orang pandang saya sebagai Eyka Farhana dan bakat lakonan. Saya mahu berdiri di atas kaki sendiri,” luahnya yang bernaung di bawah pengurusan Mind Order sejak Februari lalu