Impian Cassidy untuk menjadi penyanyi terlaksana apabila muncul dengan single Seperti Dia.
Penyanyi asal Australia, Cassidy Anderson tidak menyangka minatnya terhadap lagu dan filem Bahasa Melayu telah menggubah kehidupannya secara total. Bermula sekadar hobi dengan memuat naik sebuah video menyanyikan lagu saduran Ombak Rindu di laman perkongsian video YouTube pada tahun 2012, nama Cassidy tiba-tiba menjadi viral.
Dalam sekelip mata Cassidy menjadi popular dalam laman perkongsian video berkenaan. Disebabkan penerimaan yang positif dan galakan daripada orang sekeliling, wanita berusia 29 tahun itu sanggup meninggalkan tanah airnya dan kerjaya sebagai pemegang watak Marilyn Monroe selama tiga tahun di Universal Studio di Singapura.
Meskipun sedar penghijrahannya ke Malaysia merupakan satu perjudian, Cassidy tekad kerana sudah jatuh cinta dengan bahasa dan budaya Melayu di Malaysia.
“Malaysia membuatkan saya seperti berada di kampung halaman sendiri. Sungguhpun begitu, tidak bermakna saya melupakan Australia. Cuma terdapat satu perasaan yang mengatakan di sinilah tempat saya,” ujarnya yang diperkenalkan dengan lagu dan filem Melayu oleh rakannya ketika bekerja di Singapura.
Mula menetap di Malaysia sejak Januari lalu, kongsi Cassidy, dia bersyukur kerana keputusan yang diambil adalah tepat untuk mengembangkan lagi kerjaya seninya.
Cassidy - Seperti Dia
“Sebenarnya saya agak bimbang dan takut untuk berhijrah apatah lagi hidup seorang diri di negara asing. Namun, selepas bertemu dengan Amy Search dalam sebuah majlis saya menjadi yakin.
“Katanya kenapa saya tidak datang di Malaysia dan mengambil peluang yang ada di depan mata? Selagi tidak mencuba, saya tidak akan tahu apa yang akan berlaku. Jadi, saya membuat keputusan untuk mencuba dan sekarang hampir tujuh bulan saya berada di Malaysia,” katanya yang fasih bertutur Bahasa Melayu.
Seperti Dia
Impian Cassidy untuk bergelar seorang penyanyi di Malaysia terlaksana apabila dia muncul dengan single Melayu pertama berjudul Seperti Dia selepas dilamar menjadi artis Raksasa Records dan Warner Music Malaysia.
Akui Cassidy, dia amat meminati filem Ombak Rindu dan telah menontonnya sebanyak 10 kali.
Lagu bergenre balada yang dicipta oleh Hael Husaini, Mike Chan dan Ezra Kong itu cukup melekat dengan jiwa Cassidy.
“Saya memang sukakan lagu bergenre balada. Berbeza dengan Australia, pasaran muzik lebih tertumpu kepada lagu pop dan rancak. Justeru, saya berasa Malaysia sesuai untuk mengembang kerjaya seni berbanding negara asal.
“Setakat ini lagu Seperti Dia telah diputarkan di radio dan menerima banyak respons positif daripada peminat. Jika semuanya berjalan lancar, pihak syarikat rakaman akan mengeluarkan single kedua pula selepas ini,” ujarnya yang turut berbakat sebagai pengacara.
Bercerita lanjut tentang pengalamannya di Malaysia, kongsi anak kedua daripada dua adik-beradik itu lagi, bahasa merupakan cabaran terbesarnya selain cuba menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat tempatan.
Oleh sebab itu, bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu, Cassidy berlatih bertutur dengan rakan-rakan dan membuat latihan di buku kanak-kanak.
“Saya tidak mengambil kelas yang khusus untuk bahasa Melayu sebaliknya lebih selesa berlatih sendiri. Saya juga membuat latihan pada buku kanak-kanak yang dibeli. Walaupun nampak mudah, tetapi sukar bagi saya.
“Usaha itu penting dan kini selain bertutur, saya juga boleh membaca dalam Bahasa Melayu. Cuma saya masih mempunyai masalah dengan penggunaan imbuhan,” kata Cassidy sambil menunjukkan buku latihan Bahasa Melayu untuk kanak-kanak yang diusungnya ke mana sahaja.
Melihat usaha kerasnya yang cuba memahami Bahasa Melayu seolah-olah Cassidy mahu menetap terus di Malaysia. Dalam senyuman wanita berambut perang itu mengangguk.
Luah peminat fesyen vintage itu lagi, jika kerjayanya stabil dia mahu tinggal di Malaysia dan mendapat kerakyatan tetap.
“Saya memang teringin tinggal lama di Malaysia dan memohon untuk kerakyatan tetap. Namun, saya tahu prosesnya bukan mudah dan mengambil masa panjang. Apapun hati saya sudah melekat di Malaysia dan akan berusaha ke arah itu,” tuturnya.