Elvina Mohamad Basuh Muka Guna Air Beras


Bagi menjaga kecantikan, golongan wanita sanggup melakukan apa saja. Apatah lagi mereka yang bergelar selebriti.

Seiring kemajuan teknologi, pelbagai jenis rawatan kecantikan diperkenalkan. Hanya perlu memilih yang sesuai.

Namun, ada juga selebriti wanita masih mengamalkan petua kecantikan daripada orang lama.

Seorang daripadanya ialah pelakon Elvina Mohamad, 22. Gadis manis ini akui dia amalkan membasuh muka dengan air beras.

Katanya, petua ini sudah diamalkan sejak zaman persekolahan lagi dan akui kulit mukanya tidak pernah bermasalah.

“Ia mudah saja dan tiada kos. Ketika masak nasi, air ketika membasuh beras jangan dibuang. Bagus untuk basuh muka.

“Selain itu, saya juga pastikan sebelum tidur memakai topeng muka yang dibuat menggunakan ramuan asli. Saya buat topeng muka sendiri menggunakan putih telur. Ia sangat mudah untuk disediakan,” katanya.

Elvina atau Norzalina Mohamad akui memilih petua orang lama kerana lebih selamat untuk kulit daripada terdedah kepada bahan klinikal yang boleh meninggalkan kesan yang tidak diingini.

Katanya, dia lebih yakin menjaga kulit wajah dengan cara sendiri. Tambah pula sebagai selebriti dan pelakon, wajah adalah aset utama yang perlu diberi penjagaan teliti.

“Sebagai wanita, saya tidak boleh ambil mudah kecantikan wajah harus dijaga sebaiknya. Saya lebih selesa menggunakan ramuan semula jadi yang tiada bahan kimia untuk penjagaan kulit wajah.

“Walaupun kesan perubahan pada kulit tidak berlaku drastik, paling utama ramuan itu selamat digunakan,” katanya.

Berkongsi pula tip penjagaan kesihatan, Elvina berkata kesibukan kerja yang tidak tentu masa membuatkan dia harus peka.

“Untuk penjagaan kesihatan diri, saya sangat mengutamakan banyak minum air mineral sekurang-kurang dua botol dalam sehari. Sebenarnya sudah menjadi kebiasaan saya memastikan minum air yang banyak sebagai satu kewajipan.

“Saya juga mengamalkan makan produk makanan tambahan seperti multi vitamin. Pengambilan multi vitamin sangat penting untuk tenaga termasuk penjagaan bahagian dalaman badan,” katanya.

Pelakon drama drama Shhh... I Love You ini juga seorang yang gemar meluangkan masa ke gimnasium. Katanya, dia memang suka bersenam dan jika tidak sibuk dengan urusan kerja memang akan ke gimnasium.

“Kadang-kadang sibuk dengan kerja tidak sempat tapi apabila berasakan berat badan bertambah, saya biasanya akan giat melakukan senaman,” katanya.

Cantik untuk penampilannya, Elvina selesa dengan gaya yang ringkas. Apa yang paling utama, pakaian digayakan itu sesuai dengannya dan kelihatan cantik.

“Sesuai dan selesa dipakai. Bagi saya, asalkan pakaian digaya itu kena dengan badan sudah memadai. Saya tidak terlalu cerewet,” katanya.

“Apapun, untuk menghadiri majlis hiburan saya akan pastikan pakaian dipilih mengikut tema,” katanya.

Mula dikenali menerusi drama Baby Ana Milik Siapa, 2017 Elvina mengorak langkah dengan lebih mantap apabila membintangi Suamiku Paling Sweet dan Shh.. I Love You. Drama lain, Anak Ke-5, Cinta Si Wedding Planner dan Mariam Alisa.

Jadual aktiviti seninya cukup sibuk kerana sudah diisi sehingga Oktober nanti. Elvina akan terbabit dengan dua penggambaran telefilem iaitu Muara dan Sesedap Rasa Cinta untuk RTM.

Elvina juga akan membintangi drama Kalih Kasih untuk slot Samarinda siaran TV3 lagi menggandingkannya dengan Gambit Saifullah lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post