Impak daripada lakonan karakter antagonis selalunya lebih diingati kerana membuatkan penonton berasa benci dan meluat dengan karakter yang dibawakan.
Justeru Amy Mastura terkejut melihat reaksi penonton terhadap wataknya sebagai Datin Laila dalam drama bersiri Mencintamu Mr Photographer.
“Saya sendiri tidak menjangkakan reaksi penonton seperti itu. Ada yang memberitahu saya menerusi laman sosial bahawa mereka benar-benar benci dan meluat dengan karakter Datin Laila ,” katanya kepada BLING!
Namun begitu, kebencian itu tidaklah terbawa-bawa sehingga ke luar set.
“Ia tidaklah melarat sehingga ke luar set. Di luar, mereka masih sukakan saya sebagai Amy Mastura.
“Saya sendiri sebagai pelakon pun sebenarnya marah dan geram dengan karakter Datin Laila. Realitinya memang ada orang yang sebegitu dan saya cuba jayakan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Reaksi peminat-peminatnya sedikit sebanyak menjadikannya lebih bersemangat untuk mencabar diri sebagai pelakon.
“Komen dan kritikan positif mereka menjadikan saya lebih bersemangat. Saya pernah membawakan watak antagonis sebelum ini tapi ini yang paling besar dan jahat rasanya.” katanya.
Ditanya mengenai penerimaannya kepada watak sebagai ibu, dia mengakui kini semakin kerap menerima tawaran sebegitu.
“Ya, saya sekarang kerap dilihat memegang watak sebagai ibu, kakak dan sebagainya.
“Mungkin ada yang ada mempertikai dan mengatakan tidak realistik sesuatu karya apabila jarak umur antara anak dan ibu nampak tidak jauh tapi itulah yang dimahukan oleh pengarah dan penonton,” katanya.
Terbaru, Amy kini terlibat dalam program berbentuk ‘game show’ anjuran stesen radio Suria FM.
“Saya sekarang terlibat dalam program Kecoh Suria yang disiarkan di laman web Suria FM. Program berbentuk ‘game show’ itu membariskan beberapa artis selain saya antaranya Zulin Aziz, Izzue Islam dan Zarul Umbrella.
“Setiap kumpulan yang terlibat akan mendapat undian daripada penonton dan pada pusingan akhir, akan ada pemenang utama yang bakal muncul di Konsert Jelajah Suria di Melaka pada 12 Ogos,” katanya.