
Naskah ini menggunakan khidmat Cecep (tengah) selaku pengarah koreografi.
Bukan mudah untuk menggabungkan pelakon dari tiga buah negara dalam satu karya. Apatah lagi ia turut melibatkan penggambaran di dua buah negara berbeza. Semestinya, banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum ia benar-benar dapat direalisasikan.
Begitulah yang cuba ditampilkan dalam siri mini terbaharu berjudul Do[s]a bakal menemui penonton sekitar penghujung tahun ini menerusi saluran Astro dan beberapa platform digital lain. Menariknya, naskhah tersebut merupakan satu kerjasama yang dijalinkan antara produksi dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia dalam menyediakan kandungan program buat penonton di Nusantara.
Lebih menarik, ia juga turut menggunakan khidmat barisan pelakon hebat bernama besar dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura. Semestinya, siri mini bergenre aksi itu menjadikan antara karya yang ditunggu-tunggu penghasilannya.
Antara nama yang membintangi
Do[s]a termasuklah Datuk M. Nasir, Remy Ishak dan Daniella Sya dari Malaysia, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama dan Tegar Satrya dari Indonesia serta Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid dari Singapura.
Pengarahnya, Ifa Isfansyah memberitahu, nakshah itu nanti menjanjikan sebuah jalan cerita yang sarat dengan babak-babak aksi. Apapun, katanya dia berasa bertuah kerana berpeluang bekerja dengan barisan pelakon yang mempunyai komitmen dan semangat tinggi dalam menjayakan setiap babak.
“Saya berasa beruntung kerana memiliki satu pasukan produksi yang hebat-hebat. Bahkan, saya juga bertuah kerana tenaga kerja dan barisan pelakon berbakat memudahkan lagi pembikinan cerita ini. Komitmen yang mereka berikan dalam menjayakan naskhah ini memang sesuatu yang luar biasa.
“Kesungguhan mereka itu menyebabkan saya sendiri berasa senang dan selesa untuk bekerja dengan mereka semua,” kongsinya ketika ditemui di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Jelasnya lagi, 90 peratus penggambaran dilakukan di Indonesia manakala selebihnya di sekitar Kuala Lumpur.

Para pelakon melakukan sesi membaca skrip sebelum penggambaran berlangsung.
Aksi berisiko
Mengangkat dunia persilatan sebagai asas dalam pembikinan cerita, semestinya banyak adegan mendebarkan penonton bakal disajikan. Justeru, antara yang menjadi tanda tanya mengenai kriteria para pelakon yang dipilih dalam naskhah tersebut.
Apa yang pasti, ia bukan satu tugas yang mudah, apabila genre aksi sebegini banyak menuntut pelakon terlibat dengan koreografi yang benar-benar mencabar diri mereka. Bagaimanapun, itu bukan menjadi penghalang buat mereka untuk merealisasikan kesemua 418 babak.
“Sebelum kita masuk ke dalam set, saya dan para pelakon yang lain perlu mengikuti kelas latihan selama tiga minggu untuk mendapatkan koreografi dalam ilmu persilatan. Ini merupakan satu cabaran buat kami semua. Apa yang saya boleh kongsikan, sepanjang penggambaran, memang badan saya sendiri banyak yang lebam.
“Setiap babak itu memang dilakukan betul-betul. Kalau tersilap langkah dalam gerakan sewaktu adegan berlawan, memang nahas. Itu risiko yang perlu diambil. Bagaimanapun, kita ada pasukan perubatan yang memang ada di set untuk memastikan keadaan kami terkawal,” kata pelakon Shenty Feliziana yang memegang watak utama sebagai Fara.
Menurut Shenty, selaku antara pendatang baharu, dia berasa beruntung apabila diberi peluang untuk menjayakan sebuah naskhah sebegini. Katanya, naskhah ini berjaya merubah dirinya secara total. Bahkan, karakter dalam cerita ini juga jauh berbeza jika dibandingkan dengan dirinya sebenar.
“Memang tidak boleh nak jadi wanita ayu sangat. Nampak jiwa dan fizikal saya seorang yang lasak. Kalau orang tengok, macam tak percaya individu itu adalah diri saya. Apatah lagi, dalam cerita ini watak Fara itu dibesarkan dalam kelompok adik-beradik lelaki sahaja,” kongsinya.
Bagi pelakon Hisyam Hamid pula, dia juga mengakui naskhah ini menguji kekuatan fizikal dan mentalnya. Sepanjang penggambaran yang baru berlangsung hampir tiga minggu, katanya, dia menerima nasib lebih kurang sama dengan Shenty.
“Ada satu babak itu apabila saya ditendang, habis sehingga berbekas pada badan. Sampaikan kuku jari telunjuk tangan kiri saya tercabut. Badan memang lenguh-lenguh kerana banyak aksi lagak ngeri, tetapi memang ada tukang urut di set. Apapun, ini merupakan satu naskhah yang menguji kemampuan kita sebagai pelakon,” kongsinya.
Lebih mengujakan, karya tersebut turut mendapat bantuan sentuhan Pengarah Koreografi terkenal, Cecep Arif Rahman yang pernah berlakon dalam Star Wars: The Force Awakens. Turut menggunakan khidmat seramai kira-kira 70 orang pelakon aksi lagak ngeri, namun menurut Ifa, rata-ratanya banyak babak yang mahu dilaksanakan pelakon sendiri.

Sebahagian produksi Do[s]a ketika penggambaran di Jakarta, Indonesia.
“Ada satu babak itu memerlukan aktor melakukan aksi jatuh dari tingkat lima. Adegan itu Reuben tetap mahu melakukannya sendiri,” jelas Ifa.
Pasaran Nusantara
Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, kerjasama antara dua negara ini dilihat sebagai satu usaha dalam melahirkan sebuah program yang dapat menarik minat penonton dalam kalangan negara serumpun.
“Sebelum ini, kita memang sudah memulakan beberapa projek bagi menembusi pasaran serantau. Antaranya termasuklah naskhah dari Thailand dan Filipina. Kita percaya, dengan kerjasama yang terjalin dengan pihak produksi Indonesia ini kita dapat mengukuhkan lagi pasaran di Nusantara.
“Bukan itu sahaja, kami turut menyasarkan lebih banyak lagi kandungan projek seumpama ini yang bakal dihasilkan pada masa akan datang. Menerusi kerjasama ini, saya percaya bahawa naskhah ini dapat mencetuskan satu fenomena baharu dalam landskap seni serumpun,” katanya.
Selain sarat dengan babak-babak yang mendebarkan, aksi suspen dan ganas, pada masa yang sama siri mini Do[s]a turut diapit dengan pergolakan emosi, ikatan kekeluargaan serta bibit percintaan.
Do[s]a mengisahkan kehidupan empat beradik, Fuad lakonan Ashraf Sinclair, Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisyam Hamid), dan Fara (Shenty Feliziana) yang dibesarkan oleh bapa tunggal, Latif (Datuk M. Nasir). Mereka dibesarkan dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat dan disiplin persilatan di sebuah kampung. Kehidupan mereka terasing dengan masyarakat lain apabila empat beradik itu hanya dipenuhi dengan ilmu persilatan setiap hari.
Perhubungan keluarga ini mula tercetus apabila Fara bertindak mengikuti Arian (Reuben Elishama) ke Indonesia. Di situlah bermulanya pertempuran apabila Fara diculik dan dikurung dalam sebuah gudang sebelum cuba diselamatkan oleh abang-abangnya yang lain.
Bagaimanapun, semakin lama mereka di Jakarta, semakin banyak yang mereka mula fahami tentang asal usul keluarga mereka dan siapa bapa mereka yang sebenarnya sebelum mereka sedari sebenarnya mereka terjerumus dalam pergelutan kuasa dunia kongsi gelap.