
Single berjudul Cinta Yang Telah Mati hasil sentuhan Ippo Hafiz dan KR merupakan debut pertama Neon dalam industri hiburan tempatan.
Di atas kertas, reputasi yang dimiliki setiap anggota kugiran Neon bukannya calang-calang apabila masing-masing sebenarnya individu yang cukup dikenali di belakang tabir industri hiburan tempatan.
Cuma, band yang dianggotai Ezwan Ariff sebagai penyanyi, Adam Svl (gitaris utama), Shafique Sharif (gitaris kedua), Freddie Kay (pemain keyboard), Naim Sapuan (pemain bass) dan Azuad Abdullah selaku pemain dram dilihat enggan meraih tiket mudah untuk segera popular.
Sebaliknya, band yang berasal dari ibu negara itu mahu membuktikan kemampuan masing-masing, sekali gus mengubati kerinduan untuk bermain muzik.
“Jika sekadar mahu popular, ini bukan masanya. Lebih baik kami berjuang mempertaruhkan ideologi muzik sejak dahulu lagi.
“Cuma, tidak salah rasanya untuk sama-sama memeriahkan industri muzik tempatan.
Justeru, kami tidak mahu menggunakan sebarang ‘kabel’ untuk popular, sebaliknya perlu bekerja keras seperti mana band-band baharu yang lain,” ungkap Shafique kepada Sensasi Bintang.
Berkongsi mengenai sejarah penubuhan Neon, Azuad pula memberitahu, segala-galanya bermula apabila mereka menjuarai sebuah pertandingan Battle Of The Band pada tahun lepas.
“Kami bersepakat memilih Neon sebagai nama kumpulan kerana secara harfiahnya, ia menggambarkan perjuangan muzik kami yang penuh warna-warni,” ceritanya lagi.

Dari kiri: Adam, Azuad, Naim, Ezwan, Freddie dan Shafique setia bersama Neon sejak tahun lepas.
Dalam pada itu, Freddie turut percaya kematangan yang dimiliki mereka sebagai sebuah band dapat memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi asam garam dunia artis.
“Kami memahami lumrah dunia artis yang tidak boleh lari daripada terpalit kontroversi, jadi kami benar-benar bersedia.
“Bukan apa, kami sekadar mahu menikmati keseronokan bereksperimen dengan muzik, itu saja,” jelasnya.
Neon - Cinta Yang Telah Mati
Ezwan pula memberitahu, mereka cukup bertuah apabila mendapat sentuhan komposer berbakat besar, Ippo Hafiz dan KR untuk single pertama mereka berjudul Cinta Yang Telah Mati.
“Diharapkan, single ini dapat membantu menaikkan nama Neon dan membuka jalan buat kami sebelum tampil dengan single-single ciptaan kami sendiri selepas ini.
“Pada masa sama, kami juga teruja apabila dapat bekerjasama dengan syarikat Indigital Sdn. Bhd. bagi tujuan pemasaran, promosi dan sebagainya,” ujarnya.
Bagi yang ingin mengetahui perkembangan karier Neon bolehlah mengikuti laman Instagram mereka iaitu @neonbandmy ataupun Facebook (Neon Band).