
Sebentuk rasa bernama ego tidak pernah mengenal faktor usia. Yang tua mungkin perasan diri sudah cukup hebat bilamana yang muda pula, tidak pernah menghargai pengalaman si tua yang benar-benar sarat.
Untuk membelah samudera perselisihan pendapat tidak semudah bersembang waima berdebat di mana-mana kedai kopi. Semakin kenyal dan liatnya ego menghantui diri, semakin sekonyong-konyong rasa hormat pudar merasuk hati.
Cuma apabila menerima telunjur ajar sutradara muda bernama Syafiq Yusof, ego kedua-dua figura yang terlebih dahulu mencipta nama ini segera duduk di garisan noktah.
Baik Syamsul Yusof waima Tania Hudson, kredibiliti yang dimiliki Syafiq wajar dijulang dengan segenap jiwa kendatipun sukar diterjemah dengan susun atur setiap dampingan aksara.
Berpaksikan sebuah repertoir bernama Abang Long Fadil 2 yang bakal menjengah pawagam tempatan pada Khamis depan, Syamsul dan Tania berkongsi debar bangga dengan pesona yang dimiliki Syafiq sejak sekian lama.
“Syafiq seperti saya, tidak mahu sekadar bermain dengan elemen selamat dalam mana-mana filem dan saya sangat bersyukur serta berbangga dengannya.
“Saya bukan bercakap sebagai seorang abang tetapi sebagai seorang pembikin filem, saya tahu Syafiq seorang pengarah muda yang cukup profesional serta berpotensi untuk pergi lebih jauh,” ungkap Syamsul membuka bicara bersama Sensasi Bintang.
Nasihat Syamsul, Syafiq perlu sentiasa mencari konsep baharu kerana sebagai pengarah, tidak cukup sebenarnya untuk sekadar duduk di kerusi sutradara, sebaliknya perlu pandai menulis skrip yang berkualiti serta pandai membaca kehendak pasaran.
“Saya dan bapa (Datuk Yusof Haslam) sentiasa menyokong Syafiq kerana dia seorang yang cepat belajar dan perlu mendapat sokongan pelbagai pihak,” getusnya.
Kali pertama berkolaborasi dengan Syafiq juga tidak mengundang gentar di hati Tania lantaran sutradara berbakat itu tahu menggilap bakatnya sebagai seorang pelakon.

Memiliki wajah Pan Asian merupakan antara cabaran yang terpaksa dihadapi Tania Hudson sebagai seorang pelakon.
“Memang cukup mudah untuk bekerjasama dengan Syafiq, seolah-olah ini bukan kali pertama.
“Saya percaya persefahaman yang terbentuk bukan saja bersama pengarah, namun merangkumi pelbagai pihak termasuk barisan pelakon dan sebagainya,” tutur Tania.
Syamsul sedar diri
Dalam pada itu, selain sekadar tertawa apabila ada yang mempertikaikan kehadirannya dalam filem itu rentetan wataknya sebagai Shark sepatutnya sudah mati, Syamsul percaya ia bukan satu masalah dunia untuk diuar-uarkan khalayak.
“Ini kali pertama saya membawakan watak seorang anggota polis bernama Inspektor Wahab. Tidak timbul soal mengenai watak Shark ataupun tidak walaupun filem ini berdimensikan KL Gangster kerana ia berbentuk spin off movie.
“Ada juga filem di luar negara seperti Young & Dangerous sebegitu, jadi jika mahu mengambil Aaron Aziz selepas ini pun tiada masalah,” jelasnya.
Syamsul memberitahu, keistimewaan Abang Long Fadil 2 arakian memiliki plot twist yang menarik dan bukan sekadar filem aksi dan komedi sendal semata-mata.
Hatta membayangkan bakat wujudnya sekuel ketiga selepas ini, Syamsul juga berkongsi perasaan teruja apabila menyanyikan lagu runut bunyi berjudul Senorita bagi filem berkenaan.
“Ia dicipta oleh saya dan Dr. Anwar Fazal. Alhamdulillah, sambutan lagu itu cukup luar biasa apabila mencecah hampir setengah juta tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan.
“Cuma terus-terang, saya memang selesa menyanyi secara rap kerana sedar kemampuan diri sendiri,” ujarnya.
Kesibukan Syamsul juga tidak terhenti di situ apabila kembali fokus proses suntingan filem Munafik 2 yang telah habis menjalani penggambaran pada Ramadan lepas dan ia dijangka ditayangkan pada suku pertama tahun depan.
Syamsul Yusof sentiasa sedar mengenai kemampuannya sebagai seorang penyanyi serta enggan bersikap lupa daratan.
“Selain itu, saya juga membikin sebuah filem berat berjudul Mat Kilau pada awal tahun depan serta akan kembali dengan filem aksi berjudul Tailong,” ceritanya lagi.
Tania tidak pernah menyesal
Sementara itu, Tania mahu memastikan kehadirannya dalam filem Abang Long Fadil 2 sebagai medan kebangkitan semula untuk memahat nama sebagai seorang primadona.
“Saya tidak pernah konsisten berlakon sebelum ini, jadi saya harap filem ini sebagai petanda kebangkitan untuk terus aktif berlakon.
“Mungkin ada yang sudah mengaku kalah, tetapi saya tidak. Saya tidak mahu patah semangat dan melakukan segala-gala yang diimpikan selagi terdaya.
“Sekurang-kurangnya, tidak pernah terbit erti kesesalan dalam hidup,” katanya yang pernah menderita penyakit Arteriovenous Malformation sebelum ini.
Enggan lagi berkongsi cerita mengenai penyakit sedemikian lantaran ia berlaku hampir satu dasawarsa lampau, sejujurnya Tania tidak suka seandainya ada yang bersimpati terhadap dirinya.
Menganggap dirinya bertuah kerana memperoleh peluang kedua dalam karier, Tania yang sedang menanti tayangan filem lakonannya iaitu KL Special Force juga percaya segala-galanya bukan mudah untuk dirinya kembali bangkit.
“Sudah tentu ada persaingan, tambahan pula usia bukannya semakin muda. Terlalu ramai pelakon-pelakon baharu yang cantik-cantik belaka.
“Jadi, saya terpaksa bekerja keras dan sentiasa percaya betapa rezeki itu ada walaupun ada pasang surut dalam karier lakonan.
“Walaupun sukar untuk meraih watak idaman lantaran tidak berwajah wanita tempatan, saya akan menjadikannya sebagai satu cabaran untuk membuktikan kemampuan,” ujarnya seraya menoktah bicara.