Dianggotai seorang wanita bernama JingJoo Lee yang bertindak sebagai gitaris utama, DNCE merupakan sebuah band muzik yang sangat unik.
Dua definisi kegilaan yang dicetuskan oleh DNCE ketika menjayakan persembahan sulung di Malaysia tempoh hari.
Pertama, kegilaan aksi band yang dianggotai oleh Joe Jonas (penyanyi), JinJoo Lee (gitar), Cole Whittle (bass) dan Jack Lawless (dram) di atas pentas. Kedua, kegilaan respons peminat yang hadir menyaksikan kehebatan kumpulan kegemaran mereka itu.
Sebelum menggegarkan pentas KL Live, DNCE yang kini cukup popular dengan dendangan lagu Kissing Strangers sempat berkongsi lebih lanjut mengenai perancangan masa depan mereka sebagai sebuah kumpulan kepada wakil media tempatan.
Arah tuju
Joe Jonas yang terlebih dahulu melintasi arus populariti dengan kemunculan Jonas Brothers sejak 10 tahun lalu yakin dengan pilihan muziknya bersama DNCE walaupun mengakui masih ramai peminat mendambakan keberadaannya bersama dua saudara kandungnya, Nick dan Kevin.
“Setelah 10 tahun bersama sejak Jonas Brothers ditubuhkan, kini kami sudah mempunyai arah tuju muzik tersendiri.
“Telah sampai waktunya untuk saya meluahkan jenis muzik yang ingin diperkenalkan kepada dunia. Jadi, daripada situlah wujudnya jenama muzik DNCE.
“Saya benar-benar seronok untuk berkongsi muzik itu dengan semua peminat.
“Ini bukannya bermakna saya telah melenyapkan ingatan terhadap Jonas Brothers tetapi saya juga mempunyai keinginan sendiri. Nick, Kevin dan saya sentiasa menyokong antara satu sama lain.
Buat masa sekarang, muzik DNCE adalah keutamaan saya,” jelas Joe yang kini digosipkan menjalinkan hubungan cinta dengan bintang siri drama popular Game of Thrones, Sophie Turner.
Dalam kamus penggemar muzik DNCE terutama bagi yang akrab dengan persembahan pentas mereka, kecenderungan dan keunikan cita rasa fesyen pemain bass, Cole Whittle pasti mengundang kemusykilan.
Whittle gemar menggayakan busana berwarna-warni dan fesyen seperti ‘tidak cukup kain’ di atas pentas. Sikap pelik Whittle itu menyebabkan ada yang melabelkan dirinya sebagai lelaki yang cenderung untuk menanggalkan pakaian apabila terlalu asyik beraksi.
Jawab Whittle: “Ya, memang pada kebanyakan masa, saya gemar berbogel terutama apabila bersendirian dalam rumah. Kalau beraksi di atas pentas, saya tahu batasannya.
“Apabila beraksi dalam persembahan, apa yang penting ialah bagaimana untuk mengekspresikan muzik melalui perlakuan atau fesyen. Mungkin ramai yang beranggapan saya seperti tidak cukup baju tetapi itulah keperibadian saya yang sebenar.”
Selepas single perdana berjudul Cake by the Ocean yang laris sehingga mendaki tangga Top 10 dalam carta Billboard Hot 100 pada tahun 2015, DNCE kembali meraikan kerancakan muzik mereka dengan kehadiran Kissing Strangers, sebuah single yang menampilkan paduan vokal bersama Nicki Minaj.
“Kami sangat meminati Minaj. Sangat mudah bekerjasama dengannya. Dia adalah antara penyanyi rap wanita paling hebat di dunia dan kami bangga kerana dapat merakamkan lagu bersamanya,” ujar Whittle.
DNCE - Kissing Strangers ft. Nicki Minaj
Gila
Sementara itu, menjadi satu-satunya anggota kumpulan wanita dalam DNCE, JinJoo Lee menyifatkan anggota kumpulannya yang lain sebagai ‘menjelikkan’, namun saling menyokong antara satu sama lain.
“Mereka amat ‘menjelikkan’, namun saya menikmati setiap masa bersama mereka terutama apabila melakukan persembahan. Tiada masalah menjadi satu-satunya wanita dalam kumpulan ini kerana kami melengkapi antara satu sama lain,” kata JinJoo yang berasal dari Korea Selatan.
Menjelang malam konsert, hampir 2,000 penonton berhimpun di KL Live bagi menikmati band kegemaran mereka.
Kebanyakan penonton yang hadir mula menggila sebelum kelibat DNCE muncul di atas pentas lagi. Dari awal, pusat hiburan tersebut sudah bergema dengan pekikan serta laungan nama band itu. Melonjak sahaja DNCE ke atas pentas, kebanyakan penonton seakan-akan terkena histeria.
Melaungkan 20 buah lagu, persembahan anjuran Universal Music Malaysia dengan kerjasama Wilbros Live itu menyaksikan 90 peratus nuansa persembahan didasari muzik bingit dan rancak.
Sebetulnya, lagu-lagu hit dendangan kumpulan hanya boleh dibilang dengan jari namun magisnya, dalam tempoh dua jam persembahan berlangsung tiada saat yang dirasakan lompong kerana keempat-empat individu di sebalik nama DNCE berjaya membuktikan kehebatan aksi dan komunikasi cemerlang dengan penonton.
Gimik persembahan dimulakan dengan introduksi muzik Star Wars, namun malangnya tiada kostum atau kejutan lain mengiringi runut bunyi filem berkenaan dibawakan seperti pada konsert jelajah terdahulu.
Tidak mengapa kerana sejurus selepas itu, DNCE terus ‘memukul’ jiwa peminat dengan dendangan lagu Naked, DNCE, Body Moves dan Zoom.
“Apa khabar Malaysia! Saya berharap anda semua berseronok pada malam ini,” teriak Joe usai menyanyikan empat lagu tersebut yang dipetik daripada album debut mereka.
Berikutnya, medley lagu saduran No Scrubs, Get Lucky dan Just Hold On We’re Coming Home disampaikan dengan gaya tersendiri oleh DNCE.
Hormat
Apa yang menarik, pemain bass, Whittle mencuri tumpuan ramai apabila beraksi lincah sehingga hampir tunggang terbalik saat memetik tali bass. Dia juga tidak kedekut untuk turun mendekati ‘gelanggang peminat’ dan mengizinkan beberapa orang peminat bertuah berswafoto bersamanya.
Suhu persembahan terus meningkat apabila untaian lagu seperti Blown, Let’s Dance. Freedoom, Good Day, Dr. You dan Almost berkumandang. Keseragaman dan persefahaman DNCE sebagai sebuah pasukan terserlah apabila mereka juga mempunyai koreografi tersendiri saat beraksi.
Apabila Toothbrush dilaungkan, kehangatan suasana semakin seperti hendak meledak. Lagu tersebut merupakan antara lagu paling sinonim di bibir pemuja DNCE yang dipetik daripada album debut mereka.
Diikuti dengan lagu Mean dan White Stripes, melodi Kissing Strangers kemudiannya memacu deras adrenalin penonton. Menariknya, bahagian rap yang pada asalnya dijayakan Nicky Minaj dalam rakaman asal lagu tersebut disempurnakan oleh Whittle tanpa sebarang cela seraya disahut tepukan serta sorakan peminat.
Usai dua lagu berjudul Unsweet dan Pay My Rent yang melonjakkan keseronokan pemuja mereka, DNCE terus ‘membakar’ emosi dengan medley hit menerusi Wannabe, Oops!... I Did It Again dan Fade.
Menutup tirai persembahan, antem yang memperkenalkan nama mereka di persada seni antarabangsa, Cake By The Ocean disampaikan penuh bertenaga.
Sebelum pintu KL Live malam tersebut ditutup dengan penuh ‘hormat’, DNCE mengambil hati rakyat Malaysia apabila menyanyikan We Are The Champions sambil Joe mengibarkan Jalur Gemilang.