Bajet kostum Wak Doyok cecah RM15,000


Pertama kali terbabit dalam sebuah filem, Wak Doyok teruja dan mahu menjadi pelakon jika diberi peluang pada masa akan datang.

Pertama kali meluncur masuk dalam bidang lakonan menerusi filem Abang Long Fadil 2 (ALF2), selebriti fesyen, Wak Doyok berdebar dan pada masa yang sama teruja menunggu reaksi peminat terhadap filem arahan Syafiq Yusof tersebut.

Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd. Azwan Md. Nor bukan sahaja menghabiskan banyak masa bagi memberikan tumpuan terhadap filem aksi komedi tersebut, dia juga ‘bergaya sakan’ memperagakan sut-sut yang kesemuanya hampir mencecah bajet berjumlah RM15,000.

Ditemui pada malam gala ALF2 baru-baru ini, kata lelaki berusia 37 tahun itu dia amat seronok melibatkan diri dalam bidang lakonan dan bercadang untuk berlakon lebih banyak filem selepas ini.

Bagaimanapun, Wak Doyok yang mempunyai seramai 1.6 juta orang pengikut di laman Instagram bersedia untuk melakonkan apa-apa watak, namun haruslah bersesuaian dengan karakter serta jadual seninya.



KOSMO!: Pertama kali berlakon filem, boleh kongsi sedikit perasaan Wak Doyok?

Wak Doyok: Sejujurnya, saya berasa amat teruja, namun sedikit berdebar kerana Abang Long Fadil 2 merupakan filem pertama saya.

Tambahan pula, saya masih lagi baharu dalam bidang ini dan lakonan bukanlah kepakaran saya. Bagaimanapun, saya telah memberikan sehabis baik dan berharap penonton dapat menerima kehadiran saya sebagai seorang pelakon.

Adakah selepas ini anda akan lebih berminat untuk berlakon filem dan hanya akan melakonkan watak yang menampilkan diri anda dengan fesyen yang menarik?

Alhamdulillah, saya berasa sangat seronok. Syafiq memberikan saya kebebasan untuk mengekspresikan watak saya sebagai Wak Doyok. Seingat saya, tidak pernah sekalipun Syafiq memarahi saya di set penggambaran. Tempoh 60 hari penggambaran memberikan saya satu pengalaman baharu dalam hidup.

Kalau diberi peluang berlakon filem lagi, saya tidak kisah melakonkan watak apa sahaja. Watak penggali kubur pun saya akan bawa dengan sebaik mungkin.

Cuma, dalam filem ini saya perlu menampakkan segala-galanya bersifat mewah. Kalau berlakon filem lagi, saya sejujurnya tidak kisah tentang watak, namun kalau boleh, ingin melakonkan lebih watak-watak aksi.

Berapa banyak anda ‘berhabis’ memperagakan sut-sut mewah dalam filem ini?

Lebih kurang RM15,000, bahkan sut-sut pelakon lain saya yang tolong carikan. Bagaimanapun, saya tidak kisah kerana pada akhirnya kedua-dua pihak akan mendapat manfaat apabila produk yang kami gayakan dalam filem mendapat publisiti secukupnya. Ada juga sut terkoyak, namun saya kira berbaloi selepas menonton filem ini.

Bagaimanakah rasa bekerja dengan pelakon-pelakon lain yang lebih senior, terutamanya A. Galak?

Pada mulanya saya segan juga kerana memang tiada asas langsung tentang bidang lakonan. Alhamdulillah, pelakon yang terlibat dalam filem ini banyak memberi tunjuk ajar.

Berlakon dengan A. Galak memang membuatkan saya teruja. Beliau sudah berusia 78 tahun, namun kekuatannya terutama ketika melakonkan babak aksi seperti baru berusia lapan tahun. Saya memang hormat pada beliau. Kalau beliau pukul, memang pukul betul.

Dengar cerita watak Wak Doyok berkemungkinan akan dikembangkan menjadi watak utama dalam filem selepas ini, komen?

Ya, saya ada berbincang dengan Syafiq tentang hal itu, namun masih lagi dalam perbincangan awal.

Sebenarnya, kalau mengikut skrip awal, Wak Doyok sepatutnya mati, namun ia tidak berlaku kerana akan ada cerita selanjutnya yang memfokuskan tentang watak itu selepas ini. Insya-Allah.

Post a Comment

Previous Post Next Post