Betty Banafe mengaku sering berdoa agar dipermudahkan proses untuk berhijab.
SEWAKTU menerima tawaran untuk membawakan watak seorang ibu kepada penari balet menerusi filem Hijabsta Ballet, pelakon Betty Banafe baru melahirkan anak keduanya, Bruce Dean Dargus, dua tahun.
Ketika itu, Betty diminta untuk menurunkan berat badannya agar watak Diana, iaitu bekas penari balet berjaya yang bakal dimainkan kelihatan realistik di layar lebar.
Ketika bertemu pada majlis tayangan perdana Hijabsta Ballet di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, pemilik nama lengkap Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 40, itu mengakui, pelbagai usaha telah dicuba untuk kelihatan langsing.
Antara usaha yang dilakukan Betty termasuklah rawatan pencairan lemak, diet menggunakan pil tahan selera makan dan proses senaman di gimnasium. Namun, usaha pelakon yang popular dengan drama Kiranya Aku Tahu itu tidak menampakkan hasil.
Walaupun tidak berjaya menguruskan badan, Betty bersyukur kerana pengarah Hijabsta Ballet, Syed Zulkifli Syed bersetuju untuk mengubah skrip asal supaya bersesuain dengan penampilannya ketika itu.
KOSMO!: Benarkah Betty menghabiskan sejumlah wang untuk kelihatan kurus demi membawakan watak Diana dalam Hijabsta Ballet?
BETTY: Benar, ketika mendapat tawaran, saya baru melahirkan Bruce. Jadi, untuk kembali langsing, saya berhabis sekitar RM2,000 bagi menjalani rawatan suntikan pencairan lemak. Namun, cara tersebut tidak berkesan.
Adakah anda mencuba cara lain untuk kurus?
Saya juga dicadangkan untuk mengikuti sebuah program diet dan bersenam di gimnasium, tetapi, cara tersebut tidak berhasil. Tambahan pula, pengarah hanya memberi saya tiga bulan sahaja untuk kurus sebelum penggambaran bermula pada Julai tahun lalu. Akibat kesuntukan masa, saya dan pengarah perlu mencari solusi lain.
Apakah solusi anda ketika itu?
Saya duduk berbincang dengan Syed Zulkifli untuk mengubah skrip. Watak Diana yang sepatutnya bergelar bekas penari balet berjaya ditukar kepada wanita yang berhajat untuk menari balet, tetapi tidak kesampaian.
Hijbasta Ballet merupakan filem terbaharu anda selepas Haru Biru yang ditayangkan pada 2007. Apakah yang membuatkan anda bersetuju berlakon dalam filem ini?
Saya pernah bekerjasama dengan Syed Zulkifli menerusi telefilem Sugeh. Menerusi naskhah tersebut, saya dikehendaki bertutur dalam bahasa Jawa. Barangkali, saya sudah terbiasa dengan cara kerja Syed Zulkifli dan tidak teragak-agak untuk menerima tawarannya.
Menerusi filem Hijabsta Ballet, isu hijab diangkat sebagai subjek utama. Memandangkan isu hijab semakin sensitif untuk dibincangkan secara terbuka sejak kebelakangan ini, adakah ia memberi kesan kepada anda yang tidak mengenakan tudung?
Sejujurnya, ada nilai keinsafan ketika melihat naskhah ini secara keseluruhan. Namun, saya masih belum cukup kuat untuk mengenakan hijab. Saya sendiri sering berdoa kepada Allah supaya dipercepat dan dipermudahkan proses untuk bertudung sebab kematian dan takdir Allah hanya Dia sahaja yang tahu.
Betty, boleh kongsikan sedikit mengenai perkembangan anak sulung anda, Julia Claire Dargus yang kini berusia empat tahun?
Julia baik-baik sahaja, cuma saya agak risau dia terlalu selesa menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian. Sebagai wanita yang lahir dalam keluarga berdarah campuran, saya mahu Julia mampu mengadaptasikan diri dalam setiap situasi. Saya juga tidak mahu dia melupakan akar umbinya sebagai anak Malaysia. Jadi, saya cuba sedaya upaya untuk membuatkan Julia mahu belajar bertutur dalam bahasa Melayu. Terbaharu, saya cuba mengumpannya untuk menonton siri kartun popular, Upin & Ipin.
Selepas promosi filem Hijabsta Ballet yang ditayangkan pada 3 Ogos depan, adakah anda akan aktif kembali dalam bidang lakonan?
Saya terbuka dengan sebarang tawaran berlakon. Jika skrip bersesuaian, saya akan terima. Dalam masa sama, saya sedang menguruskan kafe Betty’s Coffee yang kini dibuka di Pusat Beli-Belah SACC, Shah Alam.