Mira Filzah mengaku hanya mampu memberi komitmen terhadap lakonan untuk telefilem kerana kekangan waktu yang telah diisi dengan kerjaya lain termasuk pengacaraan.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah itu sesuai diberi kepada pelakon dan pengacara, Mira Filzah apabila dia bakal ke New York, Amerika Syarikat sebagai salah seorang pemikat jenama pakaian tempatan bagi New York Modest Couture Fashion Week.
Bakal berjalan di atas pentas utama bagi memperagakan busana Muslimah jenama yang masih dirahsiakan, pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman ini melangkah setapak lagi dalam kerjaya seninya yang semakin berkembang.
Ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Media Prima baru-baru ini, pelakon Cinta Si Wedding Planner itu menyatakan rasa bersyukur kerana dipilih untuk mewakili negara ke New York dan berazam menjadikan peluang keemasan itu sebagai platform mengintai pasaran antarabangsa.
“Walaupun saya hadir ke New York bagi acara fesyen, namun secara tidak langsung ia akan mengenalkan nama saya kepada industri antarabangsa. Jadi saya perlu pastikan tanggungjawab ini dijalankan sebaiknya.
“Ini adalah pendedahan yang baik untuk kerjaya, malah tidak sabar untuk ke sana kerana ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di negara Uncle Sam itu,” katanya yang akan berada di sana selama dua minggu bermula hujung Ogos hingga pertengahan September depan.
Kurang
Bercakap soal lakonan, wanita berusia 24 tahun itu mengakui terpaksa menolak banyak tawaran berlakon drama bersiri kerana kekangan waktu. Jadual kerjanya juga telah diisi dengan program lain seperti pengacaraan dan duta produk.
Baru sahaja tamat penggambaran telefilem Dosa Perempuan bersama Redza Rosli dan masih sibuk selaku hos Mahligai Cinta, Mira lebih selesa untuk tidak tamak menerima tawaran sehingga menimbulkan kesulitan di masa hadapan.
“Setakat ini, jadual kerja hanya membolehkan saya untuk berlakon dalam telefilem kerana ia tidak mengambil masa yang lama atau mengganggu komitmen lain yang telah dipersetujui lebih awal.
“Bagi saya tiada istilah mengurangkan pembabitan lakonan, cuma saya mengamalkan prinsip mana tawaran yang datang awal, akan diterima dahulu,” jelasnya yang tidak bimbang kehilangan peminat meskipun jarang muncul di kaca televisyen.
Sempat menyentuh soal cinta, graduan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu berkata, dia tidak mempunyai masa untuk menjalin hubungan istimewa kerana masih belum puas mengembara ke seluruh dunia.
Menepis lembut gosip hubungannya dengan pelawak, Zizan Razak, Mira memberitahu kenyataannya sebelum ini iaitu Zizan bukan lelaki idamannya memang kedengaran agak keras, namun ia berlaku secara tidak sengaja.
“Apabila soalan sama diulang-ulang banyak kali, mungkin jawapan saya menjadi semakin tegas maka bila disusun menjadi ayat ia seperti saya beria-ria menafikan.
“Sejujurnya, saya tidak memikirkan pun soal itu kerana banyak lagi perkara lain yang bermain dalam fikiran,”tuturnya sambil tertawa kecil.