TAKUT - Aliff Aziz menafikan bahawa dirinya dikawal oleh isteri seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak dan memberitahu Bella Astillah hanya akan menasihati jika berasa ada perkara yang tidak kena.
LELAKI tinggi lampai, Muhammad Aliff Aziz atau nama komersialnya, Aliff Aziz dilihat hadir ke sidang media bersama isterinya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dalam dua situasi berbeza.
Secara rawak pada pandangan mata, Aliff kelihatan sedikit gelisah, berbeza dengan Bella yang nampak lebih tenang di hadapan pihak media. Mereka hadir pada sesi sidang media yang dilakukan itu sebagai jalan membersihkan dan mengendurkan keadaan apabila sepanjang hampir seminggu kisah kecurangan dirinya dengan pelakon, Nur Afifah Nasir dibogelkan di muka depan akhbar perdana dan media sosial.
Aliff telah dilabel bersalah oleh ‘hakim netizen’. Apa tidaknya, kata-kata seperti kaki pukul, lelaki dayus dan buaya darat dilempar bertubi-tubi bukan sahaja kepada empunya diri malah kepada ibunya, Siti Hafizah Sheikh Mohammad dan adiknya, Aaisyah Aziz tanpa belas simpati.
Namun, ada satu hal yang perlu khalayak tahu bahawa Aliff patut dipuji kerana membuktikan dirinya seorang ‘anak jantan’ apabila berani berhadapan dan menanggung kesalahannya, daripada hanya mencaci orang di sebalik papan kekunci.
“Saya terima dengan rendah hati segala makian dan tohmahan yang diberikan kerana apa yang berlaku ialah silap diri sendiri.
“Namun, saya mohon janganlah libatkan ahli keluarga lain yang tidak ada kena mengena dengan hal ini.
“Saya manusia biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan saya sudah menerima hukuman dunia apabila direman dua hari dalam lokap,”katanya tenang sewaktu hadir pada sidang media khas di Hotel Roof Garden, Bukit Jelutong, Shah Alam, Isnin lalu.
Aku janji
Keputusan pelantun lagu Sayang Sayang untuk membuat sidang akhbar itu sebenarnya boleh diibaratkan menyerah diri kepada media yang sememangnya menantikan kenyataan Aliff sejak dia ditahan pada pagi Jumaat, 28 Julai lalu.
Hadir ditemani isterinya, Bella dan keluarga mertua, dia kelihatan tenang meskipun diasak bertubi-tubi dengan pelbagai persoalan daripada wartawan.
Sesekali penyanyi berusia 26 tahun itu meneguk air kosong di hadapannya untuk menghilangkan bahang suasana dan ada kalanya bicaranya terhenti, seolah-olah cuba menyusun ayat sebaik mungkin untuk dihidangkan kepada rakan media.
“Beginilah, apa sahaja yang berlaku pada hari kejadian semuanya saya akui dan memang benar-benar berlaku. Saya tidak mahu menegakkan benang yang basah dan situasi terburuk sudah pun berlaku serta berlalu.
“Cuma satu saya ingin tegaskan serta nafikan iaitu saya tidak pernah sama sekali mengasari atau memukul isteri saya seperti yang dilaporkan sebelum ini. Ya, kami bergelut dan dalam keadaan tidak sengaja telah mendatangkan kecederaan pada Bella,” tuturnya sambil memandang Bella yang berada di sebelah.
Meneruskan bicara, pelakon drama Meh Sandar Pada Aku itu juga berkata, di sebalik pelbagai persepsi negatif yang diberikan oleh masyarakat kepadanya sekarang, dia sudah cukup bersyukur kerana hati Bella masih terbuka untuk memaafkan dan menerimanya kembali.
“Saya sekali lagi ingin memohon maaf kepada semua orang yang terjejas secara langsung atau tidak akibat tempias kes ini. Saya mohon janganlah dipanjangkan lagi apa yang sudah terjadi.
“Saya sudah berjanji dengan isteri tidak akan mengulangi perbuatan ini dan berikrar akan berubah menjadi suami serta bapa yang terbaik untuk keluarga kami,” mohonnya dengan suara yang sedikit bergetar.
Tatkala diasak untuk berterus-terang apakah hubungan atau perasaan sebenarnya terhadap Afifah, dapat diperhatikan air liurnya ditelan berat. Dia melemparkan senyuman pahit bagi mengurangkan debar yang ada di dada.
“Saya adalah seorang lelaki yang matanya cepat dikaburi oleh banyak benda-benda yang tidak sepatutnya terutama selepas bergelar suami dan bapa orang. Itu ialah kelemahan saya.
“Tentang penjelasan lanjut apa yang saya buat bersama wanita itu (Afifah), hubungan serta perasaan, rasanya hanya Bella yang berhak tahu dan tidak perlu diceritakan kepada umum,” tegasnya yang enggan membuka mulut meskipun didesak media.
Setia
Sepanjang sidang akhbar tersebut berjalan, Bella lebih banyak memerhati dan hanya kadang kala mencelah percakapan suaminya jika dia berasa perlu untuk menekankan apa yang diberitahu oleh Aliff.
Walaupun baru sahaja mengalami peristiwa pahit dalam perkahwinannya, wajah ibu muda berusia 23 tahun itu langsung tidak menampakkan kesugulan, malah dia kelihatan sangat tenang sekali gus membuktikan dia tahu apa yang sedang dilakukannya.
Ramai yang tertanya-tanya, mengapakah Bella memilih untuk menarik balik laporan polis dan memaafkan Aliff.
Kata kakak kepada penyanyi Didi Astillah itu, dia perlu berlaku adil terhadap suami kerana sepanjang hampir empat tahun berkenalan, ini merupakan kali pertama Aliff menduakan dirinya.
“Isteri mana yang tidak terluka apabila menangkap suaminya keluar bersama wanita lain dan disebabkan terlalu mengikut perasaan, saya terus membuat laporan polis tanpa berfikir panjang.
“Namun Alhamdulillah, kesan ditahan reman selama dua hari telah berjaya menyedarkan Aliff. Dia sudah berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama pada masa hadapan. Sebagai isteri, saya tidak boleh berlaku kejam dengan tidak memberinya peluang kedua,” luah Bella tenang.
Profesional
Tambahnya lagi, dia juga tidak sabar untuk melihat Aliff segera menamatkan baki penggambaran drama Izinkan Aku Mencintaimu yang menggandingkan suaminya bersama Afifah, sekali gus menamatkan segala hubungan profesional yang ada.
Apabila ditanya adakah selepas ini dia akan lebih bersikap selektif dengan siapa Aliff akan berlakon sebagai langkah berjaga-jaga, Bella berkata, itu bukan keputusannya kerana ia perlu datang daripada empunya diri.
“Saya tidak boleh mengubah apa-apa jika Aliff sendiri tidak cuba berubah. Saya cuma boleh berdoa dia benar-benar insaf dan berfikir banyak kali sebelum melakukan perkara seperti ini pada masa hadapan demi anak serta keluarga.
“Bagi wanita di luar sana, masing-masing harus tahu batas hubungan yang perlu dijaga. Jangan sampai kita tidak boleh saling mempercayai dan takut untuk melepaskan suami sendiri ketika bekerja kerana golongan seperti ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Bella juga sempat memberi komen tentang tuduhan dirinya meroyan atau dalam tekanan ketika menyerbu Aliff dan Afifah di pusat karaoke. Tuduhan itu dianggap keterlaluan kerana dia masih waras serta berada dalam keadaan sihat sewaktu kejadian.
“Tidak baik melemparkan tuduhan berat seperti itu terutama jika ia datang daripada mereka yang belum pernah merasai pengalaman beranak.
“Keluarga saya di Sabah turut terkesan apabila membaca tuduhan meroyan kerana ia adalah isu sensitif bagi seorang wanita,” ujarnya menyimpul perbualan.