Pelakon Azhan Rani memberitahu ada beberapa rakan dalam industri seangkatannya pernah meminta dia untuk berhenti berlakon.
Azhan, 41, berkata mereka mahu dia bekerja di belakang tabir dan beri peluang kepada pelakon-pelakon lain.
Bagaimanapun, menurut Azhan, jiwanya masih dalam bidang lakonan dan tidak mahu berhenti begitu sahaja.
"Pernah satu masa, saya diminta oleh beberapa orang nama besar yang seangkatan dengan saya untuk berhenti berlakon.
"Mereka mahu saya beri peluang kepada muka-muka baru dan bekerja di belakang tabir seperti jadi pengarah atau penulis.
"Tapi saya cakap jiwa saya adalah berlakon. Tak pernah ada titik bosan. Saya sayang lakonan," kata Azhan kepada mStar Online.
Azhan sentiasa memberikan yang terbaik pada setiap watak yang dibawanya.
Selain aktif berlakon untuk drama dan filem lebih 10 tahun, Azhan turut dikenali di pentas teater dan merupakan seorang pelakon drama radio.
Malah sehingga kini pelakon serba boleh ini telah berlakon hampir 100 buah drama radio, antaranya seperti Tuah Si Pandir, Kesetiaan Seorang Pahlawan, Istiqamah Sebuah Cinta, Nilam Satria dan lain-lain.
Penglibatan pertamanya dalam drama radio bermula pada 2004, di mana ketika itu hasratnya sekadar mahu mencuba dan dalam masa yang sama ingin mengetahui bagaimana drama radio dilakukan.
Dalam pada itu, pelakon Pesan Dari Tuhan ini masih mengharapkan watak yang lebih mencabar.
"Kadang-kadang saya mengharapkan sesuatu watak yang ada cabaran baru.
"Namun, saya tahu setiap karekter yang dibawa perlu dianggap sebagai cabaran," ujarnya.
Azhan kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Dekatkan Jarak Kita yang akan ditayangkan pada bulan November depan.