Syafie Naswip raikan 1 Syawal di Kuala Lumpur


JIKA orang lain sibuk dan teruja untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing, lain pula halnya dengan pelakon, Syafie Naswip. Kata pelakon yang mula dikenali menerusi filem Mukhsin ini, saban tahun dia dan keluarga meraikan 1 Syawal di Kuala Lumpur sahaja.

Meski tidak mempunyai kampung halaman sebagaimana kebanyakan rakan-rakannya yang lain, lebaran yang diraikan Syafie tetap meriah dan bermakna di samping keluarga.

“Keluarga saya memang berasal dari KL, dan kebanyakan saudara-mara pun ada di sini, jadi setiap tahun memang kami akan raikan Aidilfitri di KL saja.

“Mungkin ramai yang fikir raya di KL sedikit membosankan, tapi sebaliknya pula kepada kami sekeluarga sebab raya kami memang sentiasa meriah setiap tahun dengan pelbagai aktiviti,” ujar Syafie tentang sambutan rayanya.

Bagi Syafie, kemeriahan paling dinantikan adalah aktiviti malam raya di mana, sudah jadi kelaziman penduduk kejiranannya di Gombak mengalunkan takbir raya dari rumah ke rumah.

Lebih menarik, duit raya juga turut diberikan kepada kanak-kanak pada malam raya berbanding kebiasaan di tempat lain yang mengamalkan pemberian duit raya pada hari raya sahaja.

“Selalunya aktiviti sebegini ada di kampung sahaja, tapi siapa sangka di tengah kawasan bandar macam ini pun ada aktiviti serupa yang masih dipertahankan lagi sampai hari ini.

“Kebanyakan penduduk di sekitar memang tak ketinggalan menyertai acara ini menjadikan malam raya kami sangat meriah sampai ke pagi.

“Budak-budak paling seronok sebab mereka dapat duit raya lebih awal, mereka tidak perlu pun pusing satu kampung untuk dapatkan duit raya kerana pada malam raya ni sahaja mereka dapat kumpul banyak duit raya sebagaimana yang pernah saya lalui ketika zaman kanak-kanak dulu," ceritanya sambil ketawa.

Kesibukan malam raya Syafie berterusan selepas itu apabila dia akan berada di dapur untuk memasak pelbagai juadah raya bersama adik lelakinya, sementara kedua ibu bapanya pula mengambil tugas mengemas rumah.

“Kalau mak orang lain sibuk di dapur, kat rumah kami pula berbeza sebab saya dan adik tak benarkan mak masuk dapur sebaliknya kami yang akan ambil alih tugas tersebut untuk ringankan kerja mak.

“Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang pelik pun buat kami sekeluarga kerana semenjak dari darjah enam lagi saya dah biasa tolong ibu masak juadah raya dan bila dah pandai sikit masak, saya terus ambil alih tugas di dapur pada malam raya.

“Mulanya ibu tak yakin juga, tapi bila tengok saya dan adik bersungguh-sungguh di dapur malah boleh masak macam-macam menu seperti rendang ayam blackpaper, lontong goreng dan sebagainya, barulah dia lepaskan tanggungjawab tu pada kami,” terang Syafie.

Terima Kad Raya Peminat

Tidak menganggap tugasan itu sebagai sesuatu yang membebankan dirinya, Syafie sebaliknya seronok dapat rasai pengalaman berbeza berbanding rakan-rakannya lain.

Selepas sibuk di dapur, Syafie masih sempat buat aktivitinya bersama rakan-rakan terutama mengunjungi bazar jualan di jalan Tunku Abdul Rahman (Tar) yang menjadi kemestian buatnya saban tahun.

“Orang KL kalau tak singgah Jalan Tar malam raya, memang rasa macam kurang sikitlah sebab memang itulah yang paling menyeronokkan.

“Selalunya saya akan ke sana sekitar 2-3 pagi bila selesai masak untuk jalan-jalan dan cari apa-apa yang berkenan di sana kerana pada malam raya, selalunya mereka akan jual sangat murah dan kadang-kala lebih separuh daripada harga yang dijual pada hari sebelumnya,” ujarnya.

Sempena raya tahun ini, Syafie bakal tampil dengan beberapa telefilem raya seperti Kembalikan Syawalku, Ali dan Surat Panjang Untuk Mak yang menghiasi kaca TV sepanjang musim perayaan.

“Alhamdulillah, tahun ini kebanyakan penggambaran untuk slot raya dilakukan lebih awal dan tak ganggu cuti raya saya sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

“Jadi kesempatan itu akan saya guna untuk uangkan masa teman keluarga pergi beraya dan mengunjungi saudara.

“Sanak-saudara saya di kedua belah pihak ibu dan ayah sangat ramai membuatkan kami perlu ambil masa juga untuk rancang perjalanan agar tidak ada rumah yang tertinggal,” katanya yang sering mengutamakan kedua ibu bapa dalam apa juga perkara.

Berkongsi kenangan raya bersama peminat, kata Syafie, antara yang paling manis dan masih diingati sehingga hari ini adalah ketika tahun pertama beraya sebagai artis dan mula dikenali ramai.

“Tahun itu, saya dapat banyak kad raya peminat sampai tak mampu nak balas satu-satu walaupun dalam hati rasa ralat.

“Apa pun saya memang baca kesemua kad raya itu dan rasa sangat gembira sebab itulah kali pertama saya dapat kad raya dalam jumlah yang begitu banyak seperti itu dan ia kekal menjadi kenangan yang paling manis untuk saya kenang,” ceritanya sambil tersenyum.

Post a Comment

Previous Post Next Post