Sufi Rashid mengakui ada berlaku salah faham antara dia dan ibunya.
PENYANYI Sufi Rashid akan menyelesaikan masalah antara dia dan ibunya, Irma Suriana Mahamud selepas wanita itu menyamakan diri seperti kain buruk.
Sufi atau nama sebenar Muhammad Sufi Rashid, 26, berkata sebagai seorang anak dia perlu mencari jalan penyelesaian apa yang berlaku dalam keluarganya itu.
"Saya sebagai anak akan mencari jalan yang terbaik untuk selesaikan masalah keluarga. Tak ada emak yang tak sayang anak dan tak ada anak yang tak sayangkan emak.
"Biasalah, manusia lemah. Bila emosi, kadang-kadang kita terluahkan dengan kata-kata yang kita sendiri tak ada niat," jelas Sufie ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Status yang dimuat naik ibu Sufi mendapat perhatian netizen di laman sosial.
Sufi diminta penjelasan mengenai komen ibunya menerusi Facebook pada Jumaat lalu yang merasakan dirinya umpama kain buruk.
Irma Suriana meluahkan rasa itu kerana berasa kecil hati dan kecewa dengan darah daging sendiri.
Tidak dijelaskan secara terperinci apakah perkara sebenar yang terjadi antara dua beranak itu.
Dalam pada itu, Sufi memohon agar netizen tidak lagi mengecam dan memarahi ibunya kerana status berkenaan.
Dia menghargai semua orang yang mengambil berat dan berharap doa yang terbaik untuknya.
"Untuk semua netizen, saya sangat hargai kerana ambil berat tentang keluarga saya. Selepas ini saya berharap anda semua tidak akan marah ibu saya kerana dia perlukan doa yang baik-baik daripada semua.
"Saya juga berharap semua masih menyokong karier saya seperti biasa dan doakan yang terbaik untuk saya," katanya.