Netizen pertikai nama anak Shahrul Nasrun.
PEMILIHAN nama malaikat Jibril sebagai nama anak sulung kepada Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin menjadi pertikaian netizen selain mendapat respons pemuda itu.
Menerusi foto artikel yang dikongsi pada Instagram mStar Online Official, terdapat segelintir netizen yang mempersoalkan nama tersebut sebagai makruh jika digunakan sebagai nama anak.
Pihak mStar Online mendapatkan penjelasan daripada Imam Besar, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya iaitu Ustaz Hazaruddin Baharuddin yang berkata nama-nama malaikat boleh digunakan, namun perlu bersandarkan dengan nama lain.
Bagaimanapun katanya, pemilihan tersebut perlu mengikut sifat malaikat yang membawa makna baik kepada seseorang individu.
"Kebanyakkan ulama berpendapat tiada kesalahan menggunakan nama malaikat tapi biarlah ia mengikut sifat malaikat itu. Elakkan menamakan anak dengan nama malaikat penjaga neraka iaitu Malik Zabaniah.
"Selain nama-nama Allah, nama malaikat juga perlu disandarkan dengan nama lain, iaitu tidak boleh hanya satu nama. Ia perlu ada dua perkataan seperti Muhammad Jibril," ujarnya kepada mStar Online, pada Rabu.
Shahrul dan isterinya menyambut kelahiran bayi mereka pada Jumaat lalu.
Shahrul bergelar bapa selepas isterinya Fatin Amira Zainal Abidin selamat melahirkan bayi lelaki pada Jumaat lalu.
Bekas tunang kepada penyanyi Adira itu turut berkongsi nama anaknya iaitu Jibriel Khan kepada pengikutnya di laman sosial Instagram.
Ia mendapat kutukan netizen yang memberi pelbagai komen berhubung penggunaan nama berkenaan iaitu nama malaikat Jibril yang bertugas menjadi utusan Allah menyampaikan wahyu.
Shahrul turut menggelarkan segelintir netizen sebagai ustaz IG (Instagram) apabila mereka memberikan pelbagai komen.
Dalam pada itu, Shahrul yang membalas komen netizen di ruangan foto itu berkata, dia sudah merujuk nama berkenaan kepada beberapa individu yang pakar dalam bidang agama terlebih dahulu.
Dalam pada itu bercerita secara umum Hazaruddin menambah, setiap umat Islam yang mahu menggunakan nama malaikat untuk anak masing-masing perlu mengikut ejaan yang betul agar ia tidak menyamai nama yang dieja oleh penganut agama lain.
"Nama Jibril perlu dengan ejaan yang betul, ramai golongan agama lain seperti Kristian dan Yahudi yang juga menggunakan nama itu.
"Kita terikat dengan hadis nabi iaitu; 'Barang siapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka'.
"Sebab itu kita perlu hati-hati dengan ejaan dan jika tidak pasti boleh buat pemeriksaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tentang ejaan yang betul," ujarnya.
Dalam pada itu, Hazaruddin turut menasihatkan agar ibu bapa memilih nama-nama yang sesuai dan memberi maksud baik kepada anak kerana ia akan disebut di Padang Mahsyar pada hari kiamat kelak.