Lagu raya terbaharu nyanyian kelima-lima artis ini dapat memeriahkan suasana Aidilfitri yang kini masih diraikan umat Islam di negara ini menerusi amalan rumah terbuka.
Sulaman takdir Zahid, Wani, Syuhada, Furhan dan Putera, bersatu indah dalam sebuah lagu raya yang berjudul Jom Balik Raya. Mereka ditakdirkan bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman Suria Records dan kini muncul dengan lagu raya bersama.
Lagu yang dimuatkan dalam album dengan judul yang sama itu turut memuatkan lagu-lagu raya dendangan penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Liza Hanim, Sofaz, New Boyz dan Erra Fazira.
Maka dengan kemeriahan Syawal yang masih lagi terasa semetelahan tika ini banyak jemputan ke majlis rumah terbuka, pastinya lagu raya masih menjadi santapan halwa telinga sepanjang ke destinasi berhari raya.
Selain mengulas tentang album Jom Balik Raya yang kini boleh didapati di kedai-kedai muzik itu, lima penyanyi ini turut berkongsi sambutan raya mereka baru-baru ini dan juga single terbaharu yang akan berada di pasaran kelak.
Boleh kongsikan mengenai lagu Jom Balik Raya?
ZAHID: Lagu yang dicipta oleh S. Atan itu adalah gabungan artis-artis Suria Records (SRC) yang terdiri daripada saya, Wani, Syuhada, Furhan, Putera dan Yoyo. Walaupun lagu raya baharu, namun muziknya disuntik alunan tradisional.
WANI KAYRIE: Ini merupakan kali pertama saya menyanyi beramai-ramai dengan semua artis di bawah naungan Suria Records. Seronok dapat bekerjasama dengan ramai penyanyi di dalam sebuah lagu, tambahan pula semuanya memberikan kerjasama yang baik.
SYUHADA: Lagu ini kalau dengar sekali sahaja sudah dapat meresap ke jiwa sebab liriknya mudah difahami dan ia bercerita tentang balik raya.
FURHAN: Seronok bekerja dengan penyanyi yang lain seperti Zahid dan Wani. Selama ini saya hanya menyanyi bersama band iaitu Xpose.
PUTERA MUHAMMAD: Lagu ini dirakam pada Mei lalu dan kini sudah berada di pasaran. Ia terdapat dalam album dengan judul Jom Balik Raya. Selain lagu tersebut, album itu juga memuatkan lagu raya nyanyian penyanyi popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Liza Hanim, Sofaz, New Boyz dan Erra Fazira.
Apa yang menariknya tentang lagu raya ini?
ZAHID: Liriknya sangat ringan dan lebih seronok didengar.
WANI: Istimewanya lagu ini adalah melodinya menyamai lagu raya malar segar. Tambahan pula, lagu ini lagu riang gembira, bukan lagu sedih. Ia akan menceriakan hari raya anda.
SYUHADA: Lagu Jom Balik Raya menceritakan kemeriahan seluruh warga kota yang ingin pulang ke desa untuk menyambut raya bersama keluarga tercinta. Sentuhan melodinya pasti membuakkan hati pendengar untuk pulang berhari raya.
FURHAN: Bagi saya, mood lagu Jom Balik Raya ini seakan-akan sama dengan lagu raya popular nyanyian Ahmad Jais. Insya-Allah, saya rasa lagu ini akan disukai semua pendengar.
PUTERA: Jika sebelum ini Suria Records pernah tampil dengan lagu Nazam Lebaran dan Sesuci Lebaran nyanyian Siti Nurhaliza, kali ini SRC tampil pula dengan lagu raya baharu, Jom Balik Raya bersama artis baharu dan lama.
Ceritakan pasal sambutan raya kalian?
ZAHID: Raya saya sejak berkeluarga sama sahaja rutinnya. Sebab isteri sama kampung dengan saya iaitu di Teluk Intan, Perak. Jadi, setiap tahun kami raya di Teluk Intan. Cuti pula bergantung kepada isteri kerana dia yang bekerja. Saya pula boleh sahaja cuti selama mana pun jika tidak terikat dengan jadual nyanyian. Biasanya pada pagi raya, akan berada di rumah ibu bapa saya. Sementara isteri pula akan berada di rumah ibunya. Sebab rumah keluarga masing-masing jaraknya cuma 10 minit, jadi kami ambil kesempatan beraya begitu. Bagaimanapun, selepas solat sunat hari raya bersama bapa, saya akan bawa keluarga beraya di rumah keluarganya.
WANI: Tahun ini saya tidak balik beraya di Sabah sebab tiket mahal, tambahan pula adik-beradik saya ramai. Tetapi tiada masalah sebab keluarga saya berada di sini. Sambutan beraya di Kuala Lumpur pada tahun ini sangat meriah sebab kami cat rumah warna baharu dan lantai rumah pun bertukar baharu.
SYUHADA: Tiap-tiap tahun saya akan beraya di Cheras, Kuala Lumpur dengan keluarga. Malah, adik dan kakak ipar termasuk sembilan anak buah turut beraya di Cheras. Petang raya pertama baru pulang ke kampung belah emak di Ipoh, Perak. Selepas itu, kami akan ke kampung belah ayah pula di Tangkak, Johor.
FURHAN: Walaupun saya dilahirkan di Kelantan, tetapi saya dibesarkan di Terengganu. Maka, pada setiap tahun saya akan beraya di Terengganu.
PUTERA MUHAMMAD: Ayah saya berasal dari Pontian, Johor, manakala ibu pula berasal dari Chemor, Perak. Tahun lepas saya beraya di Pontian, jadi tahun ini saya beraya di Chemor pula. Saya beruntung dapat ibu bapa dari dua negeri berbeza kerana dapat rasa dua hidangan berbeza setiap kali Syawal. Kalau Perak kita ada lemang, manakala di Johor pula ada satar, laksa Johor dan nasi beriani.
Selain lagu Jom Balik Raya, apakah projek seni terbaharu kalian?
ZAHID: Saya kini sibuk rakam single terbaharu yang berjudul Dikir Gempak. Lagu tersebut lain daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Lagu tersebut saya masukkan elemen tradisional dengan moden. Saya harap lagu ciptaan Omar K itu disukai pendengar.
WANI: Sekarang saya sedang sibuk mempromosikan single baharu yang berjudul Aku Suka Kamu, ciptaan Audi Mok. Lagu itu lagi rancak daripada lagu Jangan Jangan. Boleh dikatakan pada tahun lepas saya berdiam diri. Cuma dalam tempoh menyepikan diri itu, saya ada keluarkan single balada, tetapi kurang mendapat sambutan.
SYUHADA: Selepas raya ini single baharu saya iaitu Tak Kena ciptaan sepenuhnya daripada deejay Fuzz akan dipasarkan. Sebelum ini, saya sudah mempunyai tiga buah single dan ketiga-tiganya ciptaan deejay Fuzz. Memang selesa dengan Fuzz tapi pada masa sama saya teringin juga untuk mendapat sentuhan daripada komposer lain. Saya ingin menguasai genre lain selain reggae dan catchy.
FURHAN: Single band Xpose baru ada satu iaitu Sandiwara. Alhamdulillah, sambutan okey. Maka, kami merancang untuk menghasilkan single kedua. Lagu sudah ada cuma masih dalam perancangan.
PUTERA MUHAMMAD: Jom Balik Raya merupakan lagu nyanyian pertama saya. Selepas ini, baru single pertama akan keluar. Ia dicipta oleh komposer terkenal seperti Faizal Tahir, Awi Rafael dan Yasin Sulaiman.