KAKAK Aiman Tino ini tidak kisah jika dibayangi populariti adiknya yang terlebih dahulu menempa nama dalam industri muzik tanah air.
LUMRAH adik-beradik, pastinya timbul perbandingan dalam kalangan khalayak terutamanya jika sama-sama mencari rezeki dalam bidang seni.
Begitu juga ceritanya dengan kakak Aiman Tino, Fara Hezel yang kini mengikut jejak langkah adiknya yang terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelantun suara.
Tidak kisah dengan tanggapan skeptikal khalayak, Fara Hezel atau nama sebenarnya Nur Fara Azira Yusri, 21, mahu membuktikan kemampuannya sebagai penghibur serba boleh.
“Perbandingan pastinya ada, tambahan pula kami adik-beradik. Bagi saya, tiada masalah walaupun ada yang mengatakan cuba menumpang populariti Aiman.
“Apa yang penting, saya sudah mencuba dan mungkin boleh berkongsi pentas persembahan dan sebagainya bersama Aiman,” getusnya kepada Sensasi Bintang.
Ungkap Fara Hezel, dia sebenarnya sudah lama menceburi bidang nyanyian sejak zaman persekolahan dan cuba untuk mengetengahkan bakat yang dimiliki.
Pada masa sama, Fara Hezel juga mahu mencuba sesuatu yang berbeza apabila menjadikan nama ibu, Hazelina Mat Jali sebagai inspirasi untuk nama pentas.
“Lagipun, sudah ramai yang menggunakan nama bapa sebagai nama pentas sebelum ini, jadi apa salahnya untuk mencipta kelainan kali ini.
“Seandainya rezeki tidak berpihak kepada saya seperti mana Aiman pun tidak mengapa, asalkan sudah mencuba sedaya-upaya,” ceritanya lagi.
Anak ketiga daripada 10 adik-beradik itu memberitahu, dia juga cukup teruja dengan sambutan menggalakkan peminat terhadap single pertamanya berjudul Setiaku Pasti hasil ciptaan ibu, Hazelina dan bapanya, Yusri Ishak yang kini sudah mencecah lebih 300,000 tontonan di YouTube dalam masa beberapa bulan.
“Lagu berentak balada itu cukup menepati selera dan jiwa saya dan diharapkan ia dapat membantu diri supaya lebih dikenali ramai sebelum memikirkan single seterusnya.
“Pembikinan muzik video single berkenaan juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat, insya-Allah,” ungkapnya.
Ketika cuba mencungkil rahsia hati, tanpa berselindung Fara Hezel mengakui hatinya masih belum dimiliki mana-mana jejaka istimewa.
“Saya masih belum berpunya, namun jika ada jodoh suatu hari nanti apa salahnya untuk segera mendirikan rumah tangga,” katanya yang kini sedang menjalani latihan amali sebaik menamatkan pengajian Pemasaran dan Perniagaan Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak baru-baru ini.
Bagi yang ingin mengetahui perkembangan karier Fara Hezel bolehlah mengikutinya di laman Instagram iaitu @official_farahezel ataupun Facebook (Official Fara Hezel).