Daler Yusuf tanpa berselindung mengatakan ciri-ciri wanita idamannya ada pada Nelydia.
BARU-BARU ini, industri hiburan negara kecoh seketika selepas video yang memaparkan pelakon Daler Yusuf terpegang dada pelakon Nelydia Senrose dalam salah satu babak menerusi drama Encik Suami Mat Salih Celup menjadi bualan netizen.
Tindakan tanpa sengaja yang memaparkan mereka menunggang motosikal bersama-sama itu secara tidak langsung mengundang pelbagai reaksi umum. Bagaimanapun sejurus perkara tersebut menjadi viral, pelakon berusia 23 tahun itu membuat permohonan maaf akan tindakan tanpa sengajanya itu.
Sungguhpun begitu, ekoran daripada insiden itu, Daler mengakui secara tidak langsung perkara itu membuatkan orang ingin lebih tahu mengenai drama berkenaan.
“Sebelum perkara itu menjadi isu pun, memang drama sudah trending. Bagaimanapun, saya percaya selepas apa yang viral itu, orang akan lebih nak tahu mengenai drama tersebut kerana ia sudah menjadi bualan ramai.
“Apapun, babak itu bukanlah sesuatu yang dibuat-buat untuk meraih perhatian,” kata pemilik nama sebenar Daler Yusuf Muhammad itu ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Keserasian gandingannya bersama Nelydia itu juga secara tidak langsung menerima respons positif daripada peminat. Ada yang mengimpikan agar keserasian bibit cinta yang dipaparkan dalam drama itu benar-benar terjadi di luar set penggambaran.
Biarpun ada yang mahu melihat mereka berdua sebagai pasangan kekasih sebenar, kata Daler sebagai pelakon, dia mesti tahu had yang sepatutnya. Ini kerana soal hati bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main.
“Saya tidak ada terlibat dengan kejadian cinta lokasi. Jika peminat mahu lihat kami bercinta, mana mungkin untuk kita turutkan hanya atas desakan daripada orang luar.
“Walaupun orang di luar melihat kita mempunyai keserasian yang baik, tetapi itu tidak bermaksud kita perlu bersama,” katanya.
Sungguhpun begitu, menurut Daler, dia mengakui Nelydia mempunyai ciri-ciri wanita idaman yang ingin dicari.
“Kalau tanya saya, memang ciri-ciri wanita yang saya mahu jadikan sebagai teman hidup ada pada Nelydia. Dia bukan sahaja cantik, tetapi mempunyai peribadi yang baik. Antara yang saya suka ialah matanya cantik.
“Cuma, buat masa ini saya sendiri tidak mahu fikir lagi pasal soal cinta kerana mahu fokus kepada lakonan. Lagipun saya masih lagi baharu dalam industri lakonan, jadi banyak yang perlu dipelajari,” katanya.
Ditanya mengenai kedudukan status Nelydia, kata Daler, sewaktu penggambaran dilakukan pada tahun lalu, dia maklum bahawa Nelydia berstatus solo.
“Ketika penggambaran drama itu, saya tahu dia baru lepas berpisah dengan Qi Razali. Ketika itu pun dia beritahu dia tidak mahu lagi dengan hubungan lain,” kata pelakon berdarah kacukan Uzbekistan itu.
Ditanya mengenai kerjasamanya bersama Nelydia, menurut Daler, ia merupakan satu pengalaman yang bermakna buatnya. Sungguhpun begitu, kata Daler, pada awalnya dia mengakui berasa gementar dipadankan dengan Nelydia, lebih-lebih lagi ia merupakan kali pertama dia bergandingan dengan Nelydia.
“Memang gementar juga, maklumlah dia pelakon berpengalaman. Saya ini pula baharu. Pada mulanya, bimbang juga kalau kena marah. Apapun, dia seorang yang banyak membantu dan tidak sombong untuk beri bantuan.
Dalam pada itu, kongsi Daler, dia kini dalam proses untuk memperbaiki kefasihannya dalam bertutur bahasa Melayu. Ini kerana, dia mahu mempelbagaikan karakternya lagi dalam dunia lakonan.
“Watak yang selalu diberikan selalunya mempunyai karakter lelaki yang berdarah campuran. Jadi, tawaran untuk watak itu agak terhad. Atas sebab itu saya mahu kuasai bahasa Melayu dengan baik,” katanya.