WALAUPUN kontroversi sering menyapa pasangan ini, namun hubungan Hafiz dan isterinya, Joyrevfa baik-baik sahaja.
Nama penyanyi nasyid Hafiz Hamidun kembali panas minggu ini gara-gara isterinya, Joyrevfa dikecam netizen selepas memuat naik gambar dirinya yang berpakaian tidak sesuai dengan imej wanita bertudung di laman Instagram miliknya.
Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin dikatakan memuat naik gambar tersebut bagi tujuan mempromosikan produknya, Merve.
Namun, perbuatannya itu mengundang padah apabila ramai netizen berpendapat pakaian yang dipakainya seksi dan menampakkan bahagian dada walaupun dilapisi baju mengikut warna kulitnya.
Sebagai suami kepada wanita cantik itu, Hafiz menganggap apa yang berlaku adalah tanggungjawab isterinya sebagai pemilik akaun Instagram tersebut.
“Saya tidak mengikutinya di Instagram jadi saya tidak tahu mengenai tindakannya itu. Segala apa yang dimuat naik isteri di laman sosial, ia adalah tanggungjawabnya sendiri. Sebagai suami, takkan setiap perbuatannya saya perlu pantau dan jaga,” ujar penyanyi berusia 33 tahun itu ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Menurut Hafiz, dia tidak mengikuti Joy di laman Instagram kerana tidak mahu mencampuri urusan perniagaan wanita itu.
Bagaimanapun, kata Hafiz, gambar tersebut sudah dipadamkan isterinya dan Joy sendiri sudah menyatakan kekesalannya.
“Sebagai suami sudah tentu saya tidak mahu perkara sebegini terjadi tetapi benda sudah jadi. Apa yang saya boleh lakukan adalah untuk tidak lagi melayan gosip ini dan berharap ia tidak dipanjang-panjangkan,” ulasnya dengan nada yang sugul.
Ditebak sama ada kontroversi tersebut merenggangkan hubungannya suami isteri, ini jawapan Hafiz.
“Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Rumah tangga kami masih okey dan hubungan saya dengan Joy baik-baik sahaja ketika ini.”
Hafiz dan Joyrevfa berkahwin pada 1 Mei lalu di Dewan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Pengasas kosmetik itu merupakan seorang janda yang mempunyai seorang anak lelaki, Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun. Pasangan tersebut mengikat tali pertunangan dalam satu majlis sederhana pada 22 Mac lalu selepas empat minggu berkenalan.
Dalam perkembangan lain, Hafiz memberitahu, dia bakal keluar dengan single terbaharunya yang berjudul Terima Kasih.
“Tajuk Terima Kasih itu masih dalam perbincangan. Insya-Allah single berkenaan akan siap pada bulan depan dan ia adalah ciptaan saya sepenuhnya,” kongsi Hafiz yang turut bersyukur perniagaan kurta Haje miliknya mendapat sambutan yang menggalakkan.