Elvina Mohamad Enggan sekadar berhijab sementara


NAMA Elvina semakin mekar mewangi selepas drama Shhh I Love You.

BUKAN mudah untuk menghadam setiap telunjuk kata mereka yang kononnya lebih berkuasa. Senang cerita, ada saja yang tidak kena pada kaca mata mereka yang menilai di luar sana.

Aktres yang semakin mencipta nama, Elvina Mohamad juga berdepan keluk cerita yang hampir serupa, sementelahan pula sering kali menjayakan watak seorang wanita teraniaya yang berhijab sedangkan hakikatnya dia bukannya wanita sama.

Bungkam tatkala berdepan kecaman demi kecaman khalayak di kanvas media sosial usai tiga tahun mencipta jenama di sebalik percikan aura glamor, pemilik nama sebenar Norzalina Mohamad, 22, tenang menyusun bicara agar setiap butir-butir kata tidak sesekali mengguris rasa.

“Saya masih memerlukan masa meskipun ramai di luar sana sukar untuk menerima diri seadanya, tambahan pula saya selalu menjayakan watak wanita berhijab selama ini.

“Sejujurnya, saya enggan bersikap hipokrit, buat apa akan kembali membuka tudung serta sekadar bersifat sementara.

“Insya-Allah, apabila tiba masanya nanti, saya akan bertudung jika sudah benar-benar bersedia,” getusnya melentur rasa kepada Sensasi Bintang.

Tidak hairanlah, gadis jelita yang semakin menarik perhatian khalayak menerusi drama Shhh I Love You lebih gemar membuai untaian rasa sang peminat berlalu pergi seumpama hembusan angin berlalu tanpa menerobos tepat ke lubuk hatinya yang paling dalam.

“Tidak melayan mesej bukan bermaksud sombong, saya juga tiada masalah untuk bergambar bersama peminat. Justeru, saya lebih selesa untuk mengelak membaca komen-komen negatif,” ungkapnya.

Mengakui tidak pernah bermimpi untuk berada pada kelas tersendiri seperti sekarang, gadis kelahiran Teluk Intan, Perak itu percaya, masih banyak yang perlu didambakan jika berhajat untuk mengukir nama laksana seorang primadona.

“Saya tidak pernah terfikir untuk dikenali seperti sekarang. Sangat sukar untuk berada pada tahap ini terutamanya apabila begitu ramai saingan, selain tidak melalui platform mencungkil bakat untuk terjun ke bidang lakonan selepas terlebih dahulu berjinak-jinak menerusi iklan komersial sekitar tiga tahun sudah.

“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada pengarah, Nizam Zakaria yang menggilap bakat sebagai pelakon, selain tidak berputus asa mengikuti kelas lakonan supaya dapat menghasilkan mutu lakonan lebih berkualiti,” jelasnya yang memanjat rasa syukur apabila tuntas kariernya semakin bercambah sebaik diuruskan syarikat pengurusan Mind Order pada tahun ini.

Lumrah semakin dikenali khalayak, anak ketiga daripada lima adik-beradik itu juga tidak boleh lari daripada ditebak segenap persoalan mengenai cinta.

Tidak bercinta dengan sesiapa

Waima hatinya belum dimiliki sesiapa, senyuman jelas menguntum di bibir Elvina apabila peminat kerap mengasak supaya dirinya bercinta dengan rakan segandingannya dalam drama Shhh I Love You, siapa lagi kalau bukan Gambit Saifullah.

“Saya tidak bercinta dengan Gambit dan segala-galanya berlaku secara spontan. Kami tidak pernah berhubung jika tidak terlibat dengan mana-mana penggambaran dan keserasian sesama kami juga sekadar untuk mendapatkan persefahaman.

“Perasaan kami sekadar suka sebagai kawan kerana kononnya wajah kami agak mirip. Cuma pada masa sama, saya harus menghormati perasaan teman wanita Gambit dan perlu sentiasa bersikap profesional,” jelasnya yang tidak pernah bercinta dengan hero segandingan seperti Ben Amin, Aeril Zafrel dan Idris Khan selama ini.

Cerita teraju utama drama Mariam Alisa itu lagi, Gambit cukup bagus sebagai seorang kawan, cuma tidak menepati ciri-ciri sebagai lelaki idaman.

“Buat masa ini, saya selesa berkawan dengan ramai orang, cuma untuk yang betul-betul istimewa masih belum ada. Jika ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman, sudah tentu yang penyabar, kelakar serta tinggi dan manis orangnya.

“Saya tidak begitu gemarkan lelaki yang cemburu dan tidak memahami kerjaya sebagai pelakon. Jadi, saya tidak mahu memikirkan soal itu dan fokus terhadap perkembangan karier buat masa sekarang,” jelasnya yang selagi boleh tidak akan memilih calon suami dalam kalangan bidang yang sama kerana dikhuatiri menimbulkan salah faham.

Tidak berdepan tekanan daripada ibu, Mariah Husin, dan bapa, Mohamad Ibrahim untuk segera mendirikan rumah tangga, Elvina juga tertawa apabila menjadi usikan nakal peminat yang ingin melamarnya menjadi kekasih hati.

“Memang ramai yang ingin mengurat, cuma bagi saya itu sekadar peminat yang mahu mengajak keluar makan bersama selagi terdaya. Jika bukan peminat, mana mungkin segala-galanya berlaku,” ujarnya yang bakal menjadi heroin drama terbaharu 15 episod berjudul Kalih Kasih tidak lama lagi.

Sisi berbeza

Tatkala diajak berbicara mengenai perihal peribadinya yang barangkali tidak diketahui umum, ini jawapan jujur Elvina.

“Saya cukup fobia dengan kegelapan dan akan memastikan sekurang-kurangnya satu lampu menyala jika mahu tidur. Selain itu, saya juga cukup gemarkan aktiviti lasak seperti terjunan bungee dan sebagainya serta suka membeli-belah sebagai terapi tekanan sekurang-kurangnya sebulan sekali,” ceritanya lagi.

Elvina yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Bayang memberitahu, dia juga tidak begitu gemar bersolek dan banyak merujuk perkara itu di laman YouTube.

“Kalau nak tahu, saya juga bersifat agak boyish ketika zaman persekolahan, selain aktif bersukan seperti lumba lari dan lompat tinggi serta boleh menunggang motosikal jenis klac.

“Cuma, saya suka mengusap telinga tidak kira telinga sendiri mahupun kawan-kawan, saya sendiri pun tidak tahu mengapa dan tidak memiliki jawapan bagaimana untuk menghilangkan tabiat itu,” ungkapnya melentur tawa di bibir.

Tidak memiliki perancangan untuk bergelar penyanyi ataupun hos buat masa ini, Elvina juga mengidam watak antagonis, namun memahami ia sesuatu yang sukar lantaran wajahnya yang kelihatan baik dan polos.

“Saya juga memasang impian untuk bekerjasama dengan aktor berbakat, Shukri Yahaya suatu hari nanti,” jelasnya yang turut sibuk berbisnes busana secara online iaitu Elmo by Elvina Mohamad sebelum menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post