Sikap penyabar suami pikat hati Hani Era fm


Sikap penyabar suami pikat hati Hani Era fm

KALAU sudah jodoh tidak ke mana. itulah ibarat untuk pasangan penyampai Era fm, Hani fadzil, 26, dan pasangannya, Wan Faiz Wan Nor, 30.

Masakan tidak, pasangan sama cantik sama padan ini mengakui, mereka sudah saling berhubungan lebih 10 tahun lalu ketika Hani, atau nama lengkapnya, Intan Farhani Mohd Fadzil masih lagi belajar di Tingkatan Empat di Sekolah Menengah (P) Sri Aman, Petaling Jaya.

Penyampai bagi segmen Johara 30 Era itu menyifatkan hubungan mereka sebagai ‘jodoh paling dekat’ di antara dia dan suami.

Hani yang berbicara penuh rendah diri begitu terharu kerana dalam kesibukan sambutan hari raya, ramai keluarga dan rakan-rakan tidak ketinggalan meraikan majlis perkahwinannya.

“Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan majlis sanding juga diadakan di lokasi sama pada Sabtu. Syukur, semuanya berjalan seperti yang diharapkan," katanya kepada Media Hiburan.

Mengenang tempoh perkenalan mereka yang lebih sedekad usianya, Hani mengakui walaupun tidak serius, mereka menghadapi pelbagai dugaan ketika fasa percintaan itu.

"Tapi bila dan selesai majlis akad nikah, saya dan suami rasa lega sebab semuanya berjalan lancar, berkat dan sokongan semua. Saya kenal suami pun daripada adiknya, Siti Nabilah yang juga rakan baik di sekolah," katanya yang tidak menyangka hubungan mereka bertahan sehingga ke hari ini.

Pikul amanah, tanggungjawab

Majlis akad nikah pasangan itu diadakan di Bora Ombak, Marina Putrajaya pada Jumaat, tepat jam 4.00 petang.

Pasangan sama cantik sama padan ini dinikahkan sendiri bapa pengantin perempuan, Mohd Fadzil Mohd Ali di hadapan Imam dan Juru Nikah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Ustaz Hafizan Ibrahim dengan mas kahwin sebanyak RM300.

Hani dan suami masing-masing berbalas tujuh dulang hantaran namun mereka enggan mengumumkan jumlah hantaran.

Hani dan Faiz yang mengikat tali pertunangan pada 24 Julai tahun lalu bersyukur kerana semua perjalanan majlis berjalan lancar seperti yang dirancang.

Ditanya apakah yang membuatkan Faiz terpikat kepada bintang radio itu, ahli perniagaan itu memberitahu, personaliti anak kedua daripada tiga beradik itu berjaya menawan hati lelakinya.

Kata Faiz, dia seorang yang pendiam sementara Hani pula gemar bercakap.

"Kiranya kami ni ‘seimbanglah’. Lagipun kalau dua-dua diam, tak seronok pula," seloroh Faiz.

Manakala Hani pula akui, sifat penyabar dan ikhlas Faiz itu adalah pendorong utamanya menerima Faiz sebagai ketua keluarga.

“Dulu kami jarang dapat mengisi masa bersama kerana keluarga saya bukanlah jenis yang sewenang-wenang melepaskan anak gadisnya keluar dengan lelaki. Jadi Faiz ambil masa untuk biasakan diri, sehinggalah pada satu tahap dia berjumpa secara gentleman dengan keluarga saya, memberitahu bahawa dia serius untuk berkawan.

“Jadi daripada situ, saya nampak kesungguhannya untuk menjalin hubungan. Malah kalau nak diikutkan pun, kami bukan terus kenal dan bercinta.

“Kami kenal hati budi masing-masing dulu sebelum ke fasa lebih serius,” ujar Hani yang turut menambah, dia tidak kisah mengenai soal cahaya mata kerana dia dan suami menyukai kanak-kanak.

Berkongsi perihal lokasi bulan madu pula, pasangan ini merancang untuk melancong ke Eropah dalam satu tarikh yang akan ditentukan.

Pasangan mempelai ini telah pun mengikat tali pertunangan 24 Julai tahun lalu.

Tahniah dari kami di Media Hiburan dan MH Online ucapkan pada Hani dan pasangan.

Post a Comment

Previous Post Next Post