JIKA penyanyi lain menaruh harapan besar lagu mereka diterima peminat, namun berbeza buat usahawan yang hanya mahu dikenali sebagai Mizio.
Katanya, dia melancarkan dua single secara serentak iaitu Izinkanlah dan Memori Duka adalah untuk merealisasikan minat dan impiannya untuk mempunyai single sendiri sejak sekian lama.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna usahanya itu dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, penyanyi yang berasal dari Pulau Pinang ini mengakui turut mengikut kelas menyanyi sebelum proses rakaman.
“Proses menyiapkan kedua-dua lagu ini tidak mengambil masa lama. Saya rakam sekitar Februari lalu. Demi memastikan semuanya berjalan lancar, saya mengikuti kelas vokal.
“Sebab saya bukan orang seni dan pastinya, saya perlu tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman, khasnya dari segi vokal,” katanya yang pernah menjadi bahan gurauan kerana dikatakan memiliki suara yang agak sengau.
Bagaimanapun, sindiran tersebut tidak sesekali mematahkan semangat lelaki berusia 45 tahun ini untuk meneruskan cita-citanya memiliki single sendiri secara profesional.
Izinkanlah dan Memori Duka hasil ciptaan Taiko Tuaran sementara liriknya pula nukilan Syafizan Syafik dan Taiko Tuaran.
“Untuk merakamkan kedua-dua lagu tersebut, saya mengumpul keyakinan yang agak lama. Jadi awal tahun ini, saya beranikan diri. Saya tak kisah apa orang nak kata kerana niat saya bukan untuk bersaing. Sebaliknya, saya lakukan ini sekadar minat.
“Berkat sokongan rakan-rakan, akhirnya hasrat melancarkan single ini menjadi kenyataan.
Katanya, soal persaingan tidak timbul kerana penghasilan single itu kerana melunaskan minatnya semata-mata,” kata Mizio ketika ditemui Media Hiburan di majlis pelancaran kedua-dua single berkenaan di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sasar lagu Mandarin
Sementara itu, penyanyi yang turut berkebolehan bertutur di dalam bahasa Mandarin ini mengakui misinya selepas ini adalah untuk merakamkan lagu di dalam bahasa Mandarin pula.
“Izinkanlah dan Memori Duka sudah berjaya saya lancarkan. Jadi selepas ini saya nak rakam lagu dalam bahasa Mandarin. Ada juga yang beri idea supaya rakam dua single tersebut dalam versi Mandarin juga. Rasanya itu pun satu langkah yang bagus. Kalau kita tidak cuba, kita tidak akan tahu apakah resultnya nanti,” ujar Mizio yang turut melakukan rakaman klip video untuk dua single tersebut di Santorini, Greece.
Destinasi tersebut dipilih, kata Mizio, Santorini adalah antara pulau terindah dan romantik di dunia.
“Jadi seiring dengan lagu tersebut yang mengisahkan mengenai cinta, rasanya ia kenalah dengan tema. Tambahan pula, Santorini pun menjadi antara lokasi percutian kegemaran,” akhiri Mizio.
Izinkanlah dan Memori Duka sudah pun boleh ditonton menerusi laman YouTube dan sehingga kini, kedua-dua single tersebut sudah pun ditonton lebih 50,000 kali tontonan.