Shukri Yahaya enggan layan kontroversi


TIDAK mudah melatah, Shukri Yahaya sebaliknya mengambil pendekatan berdiam diri dan tidak melayan isu yang memburukkan namanya baru-baru ini.

AWAL Jun lalu, nama pelakon Shukri Yahaya menjadi perhatian ramai peminat selepas lakonannya sebagai suami yang bersikap cemburu buta dan panas baran dalam drama Andainya Takdir memberi impak kuat kepada penonton.

Berselang kemanisan tersebut, nama Shukri, 29, bagaimanapun tiba-tiba ditempelak dengan cerita kurang molek apabila paparan skrin perbualannya dengan seorang wanita tular di laman sosial.

Wanita yang dikenali sebagai Sarah Danielle itu mendedahkan perbualan dirinya dengan seorang lelaki didakwa Shukri menerusi aplikasi WeChat. Antara lain, perbualan tersebut menunjukkan kononnya aktor drama 7 Hari Mencintaiku itu cuba menggoda wanita terbabit selain mengeluarkan perkataan-perkataan lucah.

Kesempatan bertemu Shukri di lokasi penggambaran drama terbaharunya berjudul Vila Ghazara di Kajang, Selangor baru-baru ini digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kontroversi tersebut.

KOSMO!: Bagaimana reaksi Shukri apabila tiba-tiba terkait dalam isu negatif baru-baru ini?

SHUKRI YAHAYA: Sewaktu mendapat tahu berita itu daripada seorang rakan, saya cuma ketawa sebab fikir ia hanya perkara biasa. Namun, apabila difikirkan semula barulah saya sedar ia mampu menimbulkan masalah jika tidak ditangani dengan baik.

Jujurnya, ia memberi kesan terhadap saya. Kalau ada babak pegang tangan atau bersentuhan dengan pelakon perempuan walaupun watak ibu dalam lakonan pun, saya jadi takut, apatah lagi kalau mahu pandang perempuan.

Sewaktu isu berkenaan hangat diperkatakan, anda mengambil jalan selamat dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Boleh jelaskan?

Hanya satu sebab mengapa saya berbuat demikian. Saya tidak mahu memanjangkan perkara itu. Saya sangat suka berlakon dan ia adalah dunia saya. Kalau saya layan perkara sebegitu, saya tidak mahu ia akan diperkatakan orang sehingga menenggelamkan bakat dan lakonan saya selama ini. Apa dirisaukan, saya bimbang jika berita-berita negatif akan lebih diberi perhatian oleh masyarakat berbanding hasil kerja saya. Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu popular kerana cerita buruk, ia bukan publisiti yang baik untuk seseorang artis. Jadi, mengapa saya perlu layan cerita sebegitu? Sedangkan saya langsung tidak kenal siapa dan dari mana wanita itu datang. Apa yang boleh dikatakan, saya tidak mahu melayan isu ini sebab tidak mahu apa sahaja niat buruk yang dihajati pihak tersebut akan tercapai.

Apakah tindakan yang anda lakukan bagi menangani isu tersebut?

Berdiam bukanlah bermakna saya langsung tidak mengambil peduli, sebaliknya saya sudah membuat satu laporan polis menerusi peguam yang dilantik dalam tempoh dua hari selepas isu itu menjadi tular di laman sosial. Ia sebagai langkah perlindungan dan berjaga-jaga sekiranya pihak tersebut masih membangkitkan perkara ini suatu hari nanti.

Sebagai lelaki yang sudah berumahtangga, bagaimana anda mengendalikan isu ini bersama isteri?

Alhamdulillah, isteri (Tya Adnan) kenal siapa saya, bahkan dia merupakan orang yang sentiasa bersama, selain memberi nasihat supaya tidak melayan atau mengeluarkan apa-apa kenyataan balas kepada pihak tersebut jika betul saya tidak melakukannya.

Jadi, apa pengajaran yang anda dapat menerusi isu berkenaan?

Saya anggap semua ini sebagai asam garam kehidupan sebagai selebriti

Disebabkan saya tidak ramai kawan dalam kalangan artis, mungkin selepas ini saya perlu meluangkan lebih banyak masa untuk bergaul mesra dengan mereka kerana ia secara tidak langsung boleh membantu saya jika perkara seperti ini timbul sekali lagi (ketawa).

Baiklah, bagaimana pula dengan perkembangan terkini anda?

Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama 40 episod berjudul Vila Ghazara yang akan ditayangkan di slot Samarinda TV3 tidak lama lagi. Saya juga ditawarkan berlakon sebuah filem arahan pengarah pertama yang mencungkil bakat saya dalam industri iaitu Osman Ali. Andai diberi watak sampingan pun, saya masih mahu menerimanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post