Prinsip keibubapaan Lisa Surihani & Yusry Abdul Halim


PERANCANGAN - Mahu memberikan fokus membesarkan dua orang anak terlebih dahulu, Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani tidak mempunyai sebarang perancangan untuk pertambahan ahli keluarga baharu dalam masa terdekat.

Dua tahun lalu, ketika pasangan kesayangan ramai, Lisa Surihani Mohamed dan Yusry Abd. Halim menerima anugerah terindah, seorang puteri bernama Yahaira Leanne, mereka memilih untuk bersikap tertutup tentang cahaya mata sulungnya itu.

Bukan mahu menyorok anak atau meletakkan status eksklusiviti terhadap Yahaira, namun sebagai suami isteri yang menanti tiga tahun untuk bergelar ibu bapa, Lisa mahu menikmati momen tersebut secara peribadi terlebih dahulu.

Situasi berbeza bagaimanapun dirasai sejak kehadiran anak keduanya, Yusof Leonne yang dilahirkan 24 April lalu. Kali ini, aktres Sinaran itu bersikap agak terbuka dan dilihat lebih banyak berkongsi perkembangan si kecil itu berbanding kakaknya dahulu.

“Saya akui, sikap ketika mengandungkan Yahaira sangat berbeza dengan Yusof kerana keadaan pada waktu kehamilan mereka berdua tidak sama.

“Apabila hamil anak kedua, situasi berada dalam kawalan kerana ia kehamilan yang tidak dirancang dan tidak disangka oleh semua orang. Jadi saya lebih bersedia dan berani untuk menurunkan sedikit tembok privasi berbanding sebelum ini,” jelas Lisa ketika ditemui pada sidang akhbar program eBu-Babypedia di Penang Village, Great Estern Mall, Ampang bersama keluarganya baru-baru ini.

Semula jadi

Rancangan yang telah memasuki musim kedua tersebut bakal menyaksikan penglibatan Yahaira secara langsung, sekaligus menjadikan ia program separa realiti pertama menampilkan si kecil itu.

Menerusi eBu-Babypedia, Lisa dan Yusry akan berbicara soal penjagaan anak, tips kehamilan serta pantang larang buat ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata baharu.

Berbicara soal lampu hijau buat puteri sulung mereka turut serta dalam eBu-Babypedia, Yusry berkata, ia adalah satu keputusan yang logik dan bersesuaian dengan keadaan.

Memandangkan musim kedua menyaksikan isterinya sedang sarat hamil anak kedua, ketiadaan Yahaira bersama mereka pasti akan dipersoalkan penonton kerana dia juga sebahagian daripada keluarga kecil mereka.

Anggota kumpulan KRU itu berkata, program berkenaan juga satu platform yang baik untuk mereka berkongsi sedikit pengalaman membesarkan Yahaira dan pada masa sama mempersiapkan diri untuk kelahiran si adik.

“Sebenarnya, anak saya bukan berlakon mengikut skrip dalam rancangan ini kerana dia hanya menjadi dirinya sendiri. Dia menjalani rutin harian seperti biasa dan bezanya ialah setiap aktiviti Yahaira dirakam, itu sahaja.

“Tugas mengacara masih terletak sepenuhnya pada bahu saya dan Lisa, cuma kehadiran Yahaira menampakkan situasi dalam program ini adalah sesuatu yang nyata dan bukan direka-reka,” katanya yang menolak sebarang isu ‘menjual anak’ menerusi rancangan realiti.

Perbezaan


EBU-BABYPEDIA - Program keibubapaan eBu-Babypedia akan disiarkan bermula 26 Julai depan pada setiap hari Rabu menerusi saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.

Lisa turut menyokong pendapat suaminya sambil memberitahu, dia sentiasa memastikan waktu tidur, bermain dan rehat Yahaira tidak terganggu walaupun perlu menjalani penggambaran.

Wanita berusia 31 tahun itu mengakui bahawa dia seorang ibu yang tegas dan mempunyai disiplin tersendiri yang diterapkan dalam diri anak-anaknya.

“Selama 40 hari penggambaran untuk 10 episod, saya akan pastikan penggambaran ditamatkan pada pukul 5 petang kerana selepas waktu itu, Yahaira sudah kepenatan dan perlu bersedia untuk tidur malam.

“Saya sangat gementar ketika awal-awal penggambaran kerana bimbang Yahaira tidak selesa dengan kehadiran kru produksi dan kamera di rumah. Namun, saya bersyukur kerana dia seorang yang sangat pandai beraksi dan tidak kekok apabila pergerakannya dirakam,” tuturnya lagi.

Mengalih sedikit topik perbualan tentang kehadiran buah hati baharu, Yusof Leonne, dalam famili mereka, Lisa tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum lebar sambil menggenggam erat tangan si suami.

Menyifatkan hero kecil itu sebagai rezeki terpijak, Lisa berkata, biarpun jarak kelahiran dua orang anaknya agak dekat namun dia masih berasa seperti menjadi seorang ibu buat kali pertama ketika melahirkan Yusof.

Baru kini dia mengerti kata-kata bahawa walaupun setiap kehamilan itu memberikan pengalaman dan perasaan berbeza, tetapi tidak kira berapa ramai orang anak yang dilahirkan, keterujaannya masih sama seperti baru kali pertama bersalin.

“Saya tidak mahu membanding-bandingkan anak-anak tentang hal seperti siapa lebih baik siapa lebih senang dijaga kerana saya yakin, setiap anak mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Malah saya kini sangat lega kerana Yahaira sudah kurang sedikit perasaan cemburunya terhadap adik berbanding ketika peringkat awal kehadiran Yusof,” katanya yang menceritakan si kakak pernah menangis teresak-esak apabila melihat si adik menyusu badan.

Yusry yang lebih banyak memerhati dari sisi turut menambah, dia dan Lisa kini perlu lebih prihatin agar kedua-dua orang anaknya tidak berasa kekurangan kasih sayang daripada mereka.

“Tempoh usia setahun hingga dua tahun ialah waktu untuk anak kecil mula meminta lebih perhatian daripada ibu bapa. Bagi Yahaira, adiknya lahir tepat pada saat dia mula pandai mahu bermanja dengan kami.

“Jadi saya dan Lisa sentiasa cuba untuk memberikan layanan sama kepada Yahaira agar dia tidak berasa kasih sayang kami berkurangan selepas kehadiran Yusof,” luah Yusry menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post