Selain Azmir Arif, Mizio Juga Bersuara Sengau


Selain Azmir Arif, Mizio Juga Bersuara Sengau

BIARPUN pernah menjadi bahan jenaka kerana bersuara sengau, usahawan yang hanya mahu dikenali sebagai Mizio tetap tekad untuk merealisasikan impiannya menceburi bidang seni.

Mizio, 45, berkata dia terpaksa mengambil masa yang lama bagi mengumpul keyakinan untuk tampil sebagai seorang penyanyi.

"Saya simpan impian untuk menjadi penyanyi sejak kecil lagi. Bila sudah berusia baru ada keyakinan untuk menyanyi dan keluarkan lagu.

"Sebelum ini saya pernah menjadi bahan jenaka dan ada yang gelakkan suara sengau saya. Tapi kali ini saya mahu buktikan kepada mereka yang saya boleh capai impian ni.

"Kawan-kawan dan ahli keluarga yang banyak menyakinkan saya dan Alhamdulillah, saya tampil dua lagu terus," katanya kepada mStar Online.


Mazio lancar dua single.

Mizio ditemui ketika majlis pelancaran dua single terbarunya berjudul Memori Duka dan Izinkanlah di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Ahad.

Dua single berkenaan sudah mencecah lebih 85,000 tontonan di Youtube selepas dimuat naik sebulan lalu.

Selain Mizio, seorang lagi penyanyi bersuara sengau ialah Azmir Arif.

Dalam pada itu, penyanyi yang berasal dari Pulau Pinang ini mengakui sudah bersedia menerima sebarang kritikan positif mahupun negatif.

Bagaimanapun, dia berharap peminat muzik memberi komen yang membina daripada menjatuhkan semangatnya untuk menyanyi.

"Tak kisahlah orang nak kata apa, yang penting saya buat kerana minat bukan kerana mahu terkenal. Saya akan terima apa saja komen atau kritikan tapi biarlah yang membina.

"Saya baru menapak dalam industri dan masih belajar lagi. Mungkin ada kelemahan dan kekurang yang perlu saya baiki. Diharap semua dapat memberi sokongan terhadap kerjaya nyanyian saya," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi ini juga merancang untuk melebarkan sayapnya ke China bagi merakam lagu Mandarin tidak lama lagi.





Post a Comment

Previous Post Next Post