Salimey melakukan percubaan menjadi penyanyi dengan muncul menerusi single berjudul Pertama Kali.
Sekian lama menyimpan hasrat untuk bergelar penyanyi disebabkan kekangan tertentu, penyanyi baharu, Salimey akhirnya menggagahkan langkah untuk melestarikan impian dalam bidang seni suara dengan kemunculan single perdana, Pertama Kali.
Pernah bekerja sebagai wartawan hiburan dan jurugambar suatu ketika dahulu, Salimey atau nama sebenarnya, Salimey Abu Bakar, 39, tidak risau andai peminat sukar untuk menerima dirinya dalam industri disebabkan faktor usia.
"Sebenarnya, saya simpan minat menyanyi agak lama. Sepanjang tempoh 15 tahun yang lalu, macam-macam pekerjaan yang saya lakukan termasuk menjadi wartawan, jurugambar dan pegawai perhubungan awam.
"Bagi saya, setiap orang dikurniakan rezeki masing-masing. Barangkali rezeki menyanyi saya sampai pada usia sudah agak lanjut tapi tidak mengapa. Kalau kita bekerja keras, insya-Allah ada rezeki yang lebih dalam bidang ini," ujarnya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman, Life Records.
Rakan lama
Bercerita lanjut mengenai single Pertama Kali, melodi lagu itu dicipta oleh Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam, manakala lirik hasil gabungan idea Lieynur, Fauzi, Yusri Ishak dan Salimey sendiri.
Ia akan dijadikan lagu tema untuk beberapa naskhah iaitu drama Hola Hermosa (RTM), Airmata Di Bumi Matador (TV3), Seharum Mawar (TV1) dan sebuah telefilem, Surat Panjang Untuk Mak.
"Ini suatu permulaan yang baik buat saya. Saya tidak kisah apa orang ingin katakan tentang saya. Kalau kita berusaha, pasti karya kita akan dihargai. Hal tersebut membuatkan saya semakin bersemangat untuk menyanyi," kata Salimey.
Ditanya bagaimana dirinya boleh terbuka hati untuk merakamkan lagu dan sekali gus bergelar penyanyi, cerita Salimey, dia bertemu dengan rakan lama, Fauzi yang pernah berada di bawah kelolaannya.
"Fauzi tahu saya memang minat menyanyi. Hubungan kami sudah lama terputus, namun entah bagaimana, kami berhubung melalui telefon dan laman Facebook.
"Dari situ, dia menawarkan kepada saya untuk menyanyikan lagu ciptaannya dan saya merakamkan lagu tersebut di sebuah studio miliknya di Selayang," tuturnya.
Melihat kepada keadaan industri yang tidak menentu, Salimey menyedari perkara tersebut, namun optimis dengan peluang yang sentiasa terbentang luas andai tidak mudah mengalah.
"Saya bukan mahu bersaing dengan artis-artis baharu. Saya cuma ingin mencuba nasib sebagai penyanyi kerana bagi saya kalau sudah ada peluang, mengapa perlu dilepaskan.
"Penyanyi sekarang kalau ingin jual album pun sangat payah. Apa yang boleh dilakukan adalah menjual single secara online iaitu melalui iTunes, Spotify dan saluran lain," tutup Salimey.