SELEPAS enam bulan berehat, Aidil Aziz menyatakan keterujaannya apabila kembali muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Vila Ghazara untuk slot Samarinda di TV3 tidak lama lagi.
PengHUJUNG tahun lalu, nama pelakon Aidil Aziz menjadi hangat selepas ditahan pihak polis kerana terlibat dengan kes mengedar dadah jenis ganja. Dia ditahan di sebuah kediaman di Jalan Ampang bersama dua orang temannya. Namun, Aidil bernasib baik apabila dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM4,000 selepas pihak mahkamah meminda pertuduhan yang dihadapinya daripada mengedar kepada memiliki bahan terlarang itu.
Selepas setengah tahun kes tersebut berlalu, pelakon drama Lara Terindah itu kembali aktif dengan dunia lakonan menerusi drama terbaharu berjudul Vila Ghazara yang bakal ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3.
Ikuti temu bual bersama Aidil, 30, ketika ditemui di set penggambaran drama 40 episod itu di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Dia bercakap mengenai kemunculan semulanya dalam industri selain berkongsi perkembangan terkini.
KOSMO!: Selepas beberapa bulan berehat daripada dunia seni, Aidil kembali dengan drama berjudul Vila Ghazara. Boleh ceritakan lanjut mengenai penglibatan anda dalam drama ini?
AIDIL AZIZ: Saya memegang watak sebagai Adrian, anak kedua kepada Dr. Ghazaly (Mustapha Kamal) dan Zaharah (Haleeda). Dia mempunyai seorang isteri bernama Sofea (Tunku Anis) dan anak perempuan.
Dia hidup dalam keadaan tertekan kerana diberhentikan kerja selain terpaksa berdepan dengan perangai isterinya yang biadap dan curang.
Alhamdulillah, setakat ini proses penggambaran berjalan lancar dan saya sangat teruja serta gementar kerana ini adalah naskhah pertama saya selepas isu (dadah) tempoh hari.
Setelah lama tidak berlakon, apa cabaran yang anda hadapi untuk pembabitan dalam naskhah pada kali ini?
Cabaran untuk drama ini adalah pada bulan Ramadan lalu apabila saya dan Tunku Anis terpaksa menjayakan babak bergaduh.
Boleh dikatakan, agak kerap kami bergaduh dan ia memerlukan tenaga yang lebih selain lontaran suara yang menjerit. Cabaran lain tidak ada, cuma perasaan saya bercampur baur untuk projek ini. Pertamanya, sudah tentu saya gembira kerana dapat kembali bekerja.
Namun, pada masa sama saya sangat gementar kerana watak yang diberi sangat berat iaitu saya perlu menjadi lelaki yang bermain dengan emosi mengenai rumah tangga, kehidupan dan keluarga.
Apakah kesan yang anda hadapi akibat kes tersebut?
Ada juga saya terfikir mungkin selepas ini saya tidak lagi diterima dalam industri. Saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan sebegitu. Alhamdulillah, saya tidak sangka rezeki makin mencurah-curah apabila sejurus dibebaskan, ada banyak tawaran yang datang.
Jadi, mungkin itu adalah hikmah kepada segala apa yang terjadi. Cuma, apa yang diharapkan adalah masyarakat di luar sana jangan mudah menjatuhkan hukum kepada saya kerana ada sesetengah yang menganggap saya terlepas hukuman kerana populariti sebagai artis.
Pada hakikatnya, saya tidak melakukan apa-apa pun sehingga dibebaskan. Orang tidak tahu fakta kes saya yang sebenar.
Bagaimanakah cara anda untuk kembali bangkit selepas kes tersebut?
Kalau saya mahu jaga hati semua orang, memang mustahil. Sebab itu, sekarang apa yang penting saya hanya jaga hubungan dengan Tuhan dan keluarga kerana mereka yang sentiasa ada waktu susah dahulu.
Sekarang, saya sudah kenal mana satu kawan yang betul-betul boleh dianggap sahabat atau sebaliknya. Sebab itu, apa yang saya lakukan adalah mendekatkan diri dengan orang yang positif.
Selama tempoh enam bulan tidak berlakon, apa yang anda lakukan?
Saya mencuba nasib dalam bidang perniagaan menjual buah mangga dengan serbuk asam. Sambil berniaga, saya juga melakukan amal dengan jumlah RM1 daripada harga RM10 buah mangga tersebut disumbangkan kepada rumah anak yatim terpilih.
Alhamdulillah, sepanjang sebulan bisnes tersebut berjalan, saya berjaya menjual sebanyak 2,000 balang.
Buat masa sekarang, saya rehatkan seketika perniagaan itu kerana mahu beri fokus kepada penggambaran yang akan berakhir pada bulan Oktober depan.