SEAWAL pukul 8 malam, suasana di sekitar De’Laman Event Space and Wedding, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor sudah dipenuhi dengan kehadiran sanak saudara bagi menyaksikan penyatuan dua hati pasangan mempelai, Anis Al-Idrus dan Aiman Rafzan.
Memilih tanggal 7 Julai lalu sebagai tarikh keramat untuk membawa cinta mereka ke fasa yang lebih serius, sebaik sahaja tepat pukul 9 malam, Anis atau nama lengkapnya, Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus dilihat tenang berjalan masuk diiringi lima gadis manis menuju ke singgahsana idaman.
Tidak lama kemudian, muncul si jejaka, Aiman atau nama sebenarnya, Mohd. Rafzan Nurhikmal Abdul Halim bagi menyempurnakan acara akad nikah pada malam itu.
Masing-masing kelihatan anggun dan tampan dengan persalinan berona putih sentuhan pereka fesyen yang ingin dikenali sebagai Mirol Jonit.
Sesungguhnya, tiada kata yang mampu dilafazkan selain titisan mutiara jernih bagi menggambarkan perasaan wanita berusia 29 tahun itu tatkala dinikahkan sendiri oleh bapanya, Syed Zainal Syed Abu Bakar Al-Idrus di hadapan imam dan jurunikah Masjid Al-I’Tisam Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya, Mohd. Fairus Shuib.
Sah bergelar suami isteri dengan dua kali lafaz, penuh kesyukuran Anis dan Aiman lantas mengukir senyuman lega tanda bahagia.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Kami mempunyai tiga majlis iaitu majlis berinai, majlis pernikahan dan majlis kesyukuran.
"Ketiga-tiganya diuruskan oleh kami berdua memandangkan keluarga saya dan suami menetap jauh di Indonesia dan Perlis. Perasaan lega serta gembira apabila semuanya sudah selesai," kongsi Anis yang ditemui usai majlis akad nikah berlangsung.
Pada malam itu, Anis menerima mas kahwin berupa satu set barang kemas berserta tiga dulang hantaran, manakala Aiman menerima lima dulang hantaran daripada pihak perempuan sebagai balasan. Jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.
Jodoh
DUGAAN: Selain kecoh dengan kisah tajaan kek cawan beberapa hari sebelum berkahwin, Anis dan Aiman turut diduga apabila akaun Instagram miliknya hampir digodam beberapa jam sebelum bernikah.
Dalam suasana romantis yang menyelubungi segenap dewan pada malam itu, Anis kemudian diusik soal pemakaian kasut sneakers berwarna putih yang turut dipakai oleh suaminya.
Lebih memilih untuk keselesaan diri, jawab pelakon drama Uda Dan Dara itu, dia mahu mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku pada hari bersejarahnya.
"Sebenarnya, saya selalu memakai kasut sneakers ketika berbaju kurung. Saya pernah terjatuh ketika memakai kasut tumit tinggi, jadi saya memilih untuk pakai kasut yang selesa dan kelihatan cantik.
"Mujur Aiman bersetuju dengan cadangan saya untuk sama-sama memakai sneakers. Bukankah ia nampak lebih romantik?" jawabnya sambil tertawa besar.
Terus rancak berbicara, Anis tidak ketinggalan ditanya keistimewaan yang terdapat dalam diri Aiman sehingga membuatkan dia tidak mengambil masa lama untuk memilih lelaki itu sebagai raja hatinya.
Menyifatkan episod perkenalan mereka seawal bulan Januari lalu seperti dipermudahkan, kata Anis, Aiman merupakan satu-satunya lelaki yang membuatkan dia berfikir untuk menamatkan zaman bujang.
"Tiada apa saya harapkan selain doa yang baik untuk kami. Saya tidak tahu apa perancangan yang Allah sudah susun tetapi saya yakin ini jodoh saya.
"Sejak berkenalan, tanpa berfikir panjang, hati saya kuat mengatakan dia adalah satu-satunya lelaki yang membuat saya berfikir untuk berkahwin," katanya.
Fasa perubahan
KELAINAN: Berbeza dengan pasangan pengantin lain, Anis dan suami memilih untuk memakai sneakers putih pada hari perkahwinan mereka. Tujuannya berbuat demikian adalah untuk keselesaan.
Sementara itu, Aiman yang setia memegang erat tangan Anis ditanya soal kesediaan dirinya yang sedikit sebanyak akan terpercik dek cahaya populariti sang isteri.
Tanpa berselindung, pereka hiasan dalaman berusia 35 tahun itu mengakui terkejut dengan pelbagai ragam yang perlu dihadapi Anis sebagai seorang anak seni.
"Memang pada mulanya saya terkejut dengan situasi ini. Saya juga pernah berbincang dengan Anis dan kami sepakat untuk melalui semua dugaan dengan tenang.
"Bagaimanapun, jika keadaan terlalu teruk, sebagai suami saya akan cuba melindungi isteri dan melakukan yang terbaik memandangkan Anis merupakan amanah buat saya," jelasnya yang tidak menetapkan sebarang syarat dalam kerjaya seni isterinya.
Membawa bicara mengenai status isteri yang baru disandang, Anis memberitahu, dia sudah lama bersedia dengan tugas dan rutin sebagai seorang isteri.
KESYUKURAN: Sebuah kenduri kesyukuran yang hanya dihadiri keluarga terdekat juga telah diadakan di kediaman keluarga Anis semalam (hari Ahad).
Bukan itu sahaja, wanita itu juga bersifat terbuka menyandang gelaran ibu segera kepada Adi Ilham Rafiq kerana suaminya itu pernah menyandang status duda sebelum ini.
"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, hubungan saya dengan anak Aiman yang berusia 10 tahun memang rapat dan tiada masalah.
"Ada yang bertanya soal anak sendiri, kami tidak merancang, sebaliknya menerima sahaja rezeki anak yang Allah ingin beri nanti," jawab Anis tersenyum.
Sebelum mengakhiri bicara, seperti kebanyakan pasangan pengantin lain, Anis juga tidak ketinggalan ditanya tentang perancangan bulan madu mereka.
Mengakui masing terlalu sibuk dengan jadual kerjaya, bagaimanapun Anis berkongsi mengimpikan suatu percutian bulan madu yang romantis di sebuah pulau.
"Cuti saya sehingga 17 Julai ini sahaja. Selepas itu saya akan terlibat dengan penggambaran rancangan Dia Yang Pertama untuk tayangan RTM.
"Jika diberi peluang, saya dan suami merancang untuk bercuti ke sebuah pulau. Tidak kisah di dalam atau di luar negara, asalkan menarik," ujarnya seraya menutup bicara.