Ritma nuansa lebaran Imran Ajmain


Mengakui dalam fasa mengenai hati budi seorang wanita, Imran Ajmain bagaimanapun tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menamatkan zaman bujang dalam tempoh masa terdekat.

KEMERIAHAN sambutan Aidilfitri tidak hanya bergantung kepada sajian juadah utama seperti rendang, ketupat, lemang mahupun persalinan dan kelengkapan baharu.

Namun, alunan untaian lagu raya juga secara tidak langsung dapat mencetuskan mood bagi meraikan lebaran tidak mengira sama ada suka mahupun duka.

Gelora emosi dan kerinduan bersarang di hati juga terubat tatkala mendengar bait-bait lirik lagu raya yang sarat dengan intensiti nostalgia.

Sorotan daripada ritma klasik tersebut, penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain tertarik mendendangkan semula untaian lagu Aidilfitri gubahan seniman berbakat besar, Yusnor Ef.

Merupakan anak didik kepada komposer tersebut, jejaka yang mesra disapa sebagai Imran itu petah bercerita tentang album raya miliknya bertajuk Imran Ajmain Aidilfitri Karyacipta Seniman Yusnor Ef.

Tujuan mengabadikan nama gurunya pada kulit album berkenaan adalah kerana ingin memberi penghormatan buat komposer berusia 80 tahun itu.

“Saya melihat industri hiburan masa kini seakan melupakan karya seniman yang selama ini menjadi tulang belakang seseorang artis.

“Tidak dinafikan bakat dan kredibiliti penyanyi juga penting tetapi tanpa karya mahupun lagu yang hebat, mustahil mereka akan dikenali dan diterima peminat,” tutur Imran saat memulakan bicara.

Baginya, corak persada industri sekarang seakan melenyapkan kegigihan pencipta lagu dalam menghasilkan karya berkualiti. Usaha mereka rata-rata dinilai dan mula disedari sekiranya terlibat dalam sesuatu pertandingan atau anugerah.

Terang Imran, dia ingin peminat memberi penghargaan bukan sahaja kepada penyanyi tetapi penggiat seni belakang tabir.

“Bukan bermaksud memberikan layanan istimewa tetapi sekurang-kurangnya usaha mereka turut diiktiraf dan secara tidak langsung ia meningkatkan semangat mereka untuk menghasilkan karya berkualiti.

“Jika sebelum ini, kita sering diterapkan dengan budaya menghargai karya pencipta lagu tetapi mengapa peralihan masa menjadikan ia seakan dilupakan dan ketinggalan,” ujarnya.

Dia melahirkan rasa kebimbangan sekiranya ia berterusan akan meninggalkan kesan kepada komposer muda yang ingin mencipta nama malah seniman yang telah banyak berjuang dalam industri.


Album raya berjudul Imran Ajmain Aidilfitri Karyacipta Seniman Yusnor Ef mula diterbitkan pada tahun 2015 sebelum diulang cetak buat kali ketiga pada 2017.

Cetus perbandingan

Penuh semangat dalam usaha memartabatkan kedudukan pencipta lagu dalam industri seni, penyanyi berusia 36 tahun itu melanjutkan cerita mengenai albumnya sempena Aidilfitri.

Memuatkan empat buah lagu, Imran mengakui keempat-empat karya lebaran ciptaan Yusnor Ef itu mempunyai nilai sentimental dan nostalgia buat dirinya.

Lagu tersebut ialah Aidilfitri, Bersabarlah Sayang dan Joget Aidilfitri dendangan Sanisah Huri serta Suasana Riang Di Hari Raya (Junainah M.Amin).

Mengakui dirinya membesar dengan lagu-lagu tersebut, Imran memberitahu, dia tidak berasa gementar untuk mendendangkan semula karya keramat itu biarpun mengetahui bakal mencetuskan perbandingan.

“Tujuan saya menyanyikan semula lagu tersebut kerana mengetahui peminat lebih gemar akan karya berbentuk nostalgia dan berasa dekat dengan mereka.

“Saya melihat lagu baharu nyanyian artis masa kini sukar untuk diterima mahupun bertahan lama kerana bersifat terlalu moden atau lebih kepada budaya muzik barat,” kata Imran tersenyum.

Mengulas mengenai perbandingan dengan penyanyi asal, Imran menghela nafas seketika sambil mengukirkan senyuman sebelum memberikan jawapan.

“Saya sedar perkara itu tetapi ia bukan satu penghalang atau mematahkan semangat dalam meneruskan usaha membikin album berkenaan.

“Sebelum membuat keputusan untuk tampil dengan album cover, saya telah melengkapkan diri berdepan kritikan dan kecaman terutama di media sosial,” terang Imran panjang lebar.

Dia menjelaskan, setiap teguran tidak perlu diambil serius sehingga mengganggu fikiran. Sikap bersedia dan terbuka menerima kritikan merupakan perkara asas untuk menjadi anak seni.

Meriah Aidilfitri

Tidak lekang mengukirkan senyuman, pelantun lagu 1000 Tahun itu kemudian meneruskan cerita mengenai kemeriahan sambutan lebaran dirinya sekeluarga.

Anak bongsu daripada dua beradik itu memberitahu dia gemar menyediakan kelengkapan lebaran secara sederhana. Meraikan hari raya bersama bonda tercinta, Rietha Fatimah Daliman, 66, di Singapura, Imran memberitahu, saban tahun tiada perubahan ketara yang dilakukan terutama dalam soal kelengkapan rumah.

Lebih tertumpu kepada ikatan kekeluargaan, Imran mengakui dirinya amat menitikberatkan soal hubungan sesama sanak-saudara dan sajian hidangan istimewa sempena Aidilfitri.

Tidak dinafikan, kepelbagaian juadah apabila menjelang 1 Syawal menjadi tarikan utama buat Imran. Tambahan, memiliki kelebihan campuran darah Jawa, Indonesia dan Belanda menjadikan hidangan pada pagi lebaran itu lebih pelbagai.

“Setiap tahun apabila tiba hari raya, perkara utama yang difikirkan ialah menyediakan keperluan keluarga dalam menyambut Aidilfitri dan hidangan lazat terutama pada pagi 1 Syawal.

“Paling digemari ialah hidangan Jawa iaitu nasi uduk dan dipadankan pula dengan sambal goreng. Selebihnya juadah seperti lemang, ketupat dan rendang itu tidak mempunyai banyak perbezaan antara Malaysia, Singapura dan Indonesia,” jelas Imran.

Post a Comment

Previous Post Next Post