PELAKON yang menempa nama menerusi drama rantaian Ku Kirim Cinta, Redza Rosli menafikan dia kurang menerima tawaran berlakon seperti yang hangat diperkatakan ketika ini.
Menurut Redza, setakat ini dia masih menerima tawaran berlakon daripada pihak produksi drama dan telefilem.
"Alhamdulillah, setakat ini tawaran berlakon tak pernah putus.
"Taklah banyak tetapi jadual saya penuh hingga bulan depan. Terbaru, saya akan menjayakan telefilem untuk siaran TV3 dan penggambaran akan bermula tiga hari lagi.
“Sekarang saya berehat seketika untuk segarkan minda sebelum kembali ke lokasi penggambaran,” katanya.
Diminta mengulas dakwaan pelakon dan penyanyi Ayda Jebat kini menguruskan karier seninya, Rezda menafikan perkara itu.
"Cukup-cukuplah orang nak bercakap mengenai saya dan Ayda.
"Dari manalah orang dapat cerita ini? Cubalah fikir, jadual kerja Ayda sangat padat. Kenapa pula dia perlu menguruskan karier seni saya?
"Apapun, Ayda sangat baik dan banyak membantu saya selama ini,” katanya.
Tegas Redza, soal siapa yang menguruskan kerjayanya tidak sepatutnya menjadi isu kerana itu adalah hak peribadinya.
"Soal siapa yang menguruskan saya atau dengan siapa saya bekerja tidak perlu dipanjang-panjangkan.
“Apa yang penting adalah kerjaya saya berkembang dan ada peningkatan,” katanya.