Projector Band dituduh ciplak lagu sendiri


SINGLE terbaharu Projector Band, Aisyah kini sudah melakar lebih 10 juta tontonan di YouTube.

DITUDUH menciplak lagu ciptaan sendiri pastinya perkara terakhir yang mahu difikirkan oleh mana-mana band, begitu juga dengan Projector Band.

Selepas single kedua, Pasti Ada Kamu dikatakan ‘gagal’ berbanding Sudah Ku Tahu, single terbaharu Projector Band, Aisyah juga mencetuskan kontroversi apabila dikatakan lagu ciplak sedangkan ia sebenarnya hasil nukilan gitaris utama band berkenaan iaitu Razif.

Segala-galanya ekoran lagu berkenaan viral di laman sosial terlebih dahulu sebelum dijadikan single ketiga oleh Projector Band. Apa sebenarnya yang berlaku? Bersama Sensasi Bintang, Projector Band berkongsi sesuatu berhubung perkara itu.

SENSASI BINTANG: Masih ramai yang mempertikaikan kononnya kalian menciplak lagu Aisyah. Komen?

RAZIF: Bagi saya, isu itu sudah pun diselesaikan. Jadi, ia tidak perlu dipanjangkan kerana peminat sedar ia sememangnya lagu nukilan saya. Meskipun reda, saya sebenarnya sedikit terkilan apabila penyanyi berkenaan bertindak seolah-olah dia juga memiliki versi tersendiri terhadap lagu berkenaan sedangkan ia sebenarnya lagu saya. Lebih melucukan, ada juga beberapa individu terutamanya remaja yang tiba-tiba turut mendakwa lagu itu ciptaan mereka sebaik lagu itu meletup.

APIT: Kami juga memiliki bukti yang cukup kukuh mengatakan ia sebenarnya lagu Razif. Tidak timbul soal kami memplagiat lagu sesiapa kerana tarikh muat naik lagu asal di YouTube juga memihak kepada kami, selain sudah mendaftarkan lagu tersebut bersama Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan (MACP) dan sebagainya.

MAT: Isu ini pastinya tidak berbangkit sekiranya mana-mana pihak memberikan kredit kepada penyanyi asal ketika menyanyikan semula lagu berkenaan. Jika ada yang berkeras untuk menuntut hak terhadap lagu itu, ada baiknya berurusan dengan label kami berhubung perkara itu.

Bagaimana isu sebegini boleh timbul?

RAZIF: Lagu ini sebenarnya dicipta oleh saya ketika masih bersama Satu Band sebelum dimuat naik di YouTube sekitar tahun 2013. Ia bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini, ramai juga yang mendakwa lagu Sudah Ku Tahu merupakan lagu ciptaan mereka. Sejujurnya, saya tidak kisah dituduh yang bukan-bukan kerana tahu ia sememangnya lagu ciptaan saya.

IS: Lagu itu kemudiannya tiba-tiba menjadi tular apabila dinyanyikan semula oleh seorang penyanyi di laman sosial. Jika diikutkan, lagu Aisyah memang dalam perancangan kami untuk dijadikan single seterusnya, jadi tiada apa yang perlu dipertikaikan berhubung soal itu.


LAGU Aisyah meneruskan perjuangan Projector Band selepas single Sudah Ku Tahu dan Pasti Ada Kamu sebelum ini.

Adakah kalian lebih berhati-hati termasuk memastikan setiap single selepas ini lebih eksklusif supaya tidak bocor di internet?

RAZIF: Tidak juga. Ini semua rezeki daripada Allah. Saya sendiri tidak tahu dikurniakan bakat sebegini jika tidak memuat naik lagu-lagu ciptaan saya di YouTube sebelum ini. Kalau nak tahu, terdapat beberapa lagu ciptaan saya dan Apit yang dinyanyikan penyanyi lain juga semakin diterima ramai, contohnya Jelmaan Rindu nyanyian Dadilia Band dan Ku Hanya Sayang Padamu nyanyian Aiman Tino.

MAT: Apa yang kami perhatikan, ada juga peminat yang mahu kami menyanyikan semula lagu ciptaan Razif ketika bersama Satu Band, contohnya Masa Yang Terindah. Gagal atau tidak sesebuah lagu itu bukannya boleh diukur sebegitu saja. Jika ia mendapat sambutan menggalakkan, kami sudah cukup bersyukur kerana tidak pernah bermimpi untuk berada sejauh ini.

Ada yang menuduh kalian cuba menumpang populariti lagu Aisyah selepas single kedua, Pasti Ada Kamu tidak begitu menjadi. Komen?

RAZIF: Jika ada yang menganggap lagu Pasti Ada Kamu tidak sebegitu menyengat berbanding Sudah Ku Tahu, terpulanglah. Sebenarnya, kami cuba untuk tampil dengan lagu berbeza sebagai single kedua bagi membuktikan kebolehan variasi vokal yang dimiliki Is berbanding sekadar menjerit bagi mencapai not tinggi.

EDDY: Kita tidak mahu terikat dengan sesuatu genre semata-mata, sebab itu kami tampil dengan lagu Pasti Ada Kamu. Kami tidak menganggap ia sebagai lagu yang gagal meskipun dikhabarkan gagal menyaingi kekuatan Sudah Ku Tahu kerana sambutannya dalam kalangan peminat turut memberangsangkan.

Bagaimana pula dengan sambutan terhadap lagu Aisyah setakat ini?

RAZIF: Alhamdulillah, lagu Aisyah (Satu Dua Tiga Cinta Kamu) mendapat sambutan yang cukup positif apabila ditonton lebih 10 juta kali di YouTube dalam tempoh dua bulan.

APIT: Hendak mendapat sejuta tontonan di YouTube pun payah, sebab itu kami tidak gemar untuk menyifatkan sama ada lagu itu gagal ataupun tidak. Diharapkan, lagu Aisyah dapat memberikan kepuasan buat peminat sementara menanti single kami yang seterusnya selepas ini.

Sebarang projek terkini selepas ini?

PROJECTOR BAND: Kami sedar ramai yang lebih suka kami menyanyikan lagu seperti Sudah Ku Tahu berbanding Pasti Ada Kamu. Kalau nak tahu, kami memiliki beberapa kesinambungan lagu itu selepas ini. Tidak mustahil, kami bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Sudah Ku Tahu 2 selepas ini.



Post a Comment

Previous Post Next Post