Sebahagian karyawan yang terlibat dengan Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang akan diadakan buat kali kedua di Panggung Bangsawan Melaka.
SELEPAS berjaya menggamit memori penonton di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur sekitar bulan Mac lalu, kehangatan irama pop yeh yeh terus disemarakkan dengan penganjuran Konsert Gegar Pop Yeh Yeh di Melaka pula.
Konsert yang menampilkan untaian lagu pop yeh yeh popular sekitar era 1960-an itu bakal menemui penonton di Panggung Bangsawan Melaka atau dahulunya dikenali sebagai Panggung Cathay Lama pada 4 dan 5 Ogos depan.
Masih mengekalkan legenda pop yeh yeh yang sama seperti persembahan di Istana Budaya dahulu, antara penyanyi yang akan menghangatkan konsert pada malam itu ialah Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin,
Datuk L. Ramli, J. Sham, Maria Bachok dan A. Rozaini.
Lebih istimewa, peminat di Melaka juga bakal disajikan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi yang semakin mendapat tempat di hati peminat, Aiman Tino sebagai penampilan khas.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi, penganjuran konsert ini adalah sebagai usaha untuk memastikan budaya dan seni muzik pop yeh yeh tidak tenggelam di telan zaman.
“Ketika menonton persembahan wayang kulit dan dikir barat pada bulan Mac lalu di Panggung Bangsawan Melaka, saya pernah menyampaikan hasrat untuk membawa irama pop yeh yeh ke panggung ini.
“Alhamdulillah, cadangan itu disambut baik oleh Perbadanan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Istana Budaya. Sebolehnya saya akan cuba untuk memelihara dan mengekalkan muzik pop yeh yeh yang semakin diketepikan sekarang,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar konsert berkenaan di Istana Budaya baru-baru ini.
Pada konsert berdurasi selama dua jam 15 minit itu, peminat akan dihiburkan dengan 30 buah lagu pop yeh yeh termasuk beberapa lagu berbahasa Inggeris seperti Oh Carol, Yesterday dan Young Ones
Menariknya, persembahan tersebut turut diiringi pemuzik daripada kombo Orkestra Tradisional Malaysia, Istana Budaya.
“Kami sengaja mengambil peluang sementara penyanyi pop yeh yeh ini masa ada dan boleh menyanyi untuk memastikan setiap genre muzik semasa tahun 60-an terus dimartabatkan.
Terharu
“Saya harap konsert ini dapat menarik minat pengunjung khususnya penduduk Melaka sekali gus boleh memenuhkan sebanyak 410 tempat duduk di dalam Panggung Bangsawan itu nanti,” tambah Ghaffar.
Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Perpaduan Hidup, A. Rahman Hassan mengakui terharu dengan usaha untuk mengekalkan muzik pop yeh yeh tersebut.
“Semestinya saya dan rakan lain gembira dan terharu apabila pihak Istana Budaya sekali lagi menjemput kami untuk membuat persembahan.
“Saya harap usaha untuk mengekalkan irama yang semakin dilupakan ini dapat terus dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya.
Bagi penyanyi J. Sham yang popular dengan lagu Mencari Sinar Bahagia, usianya yang kini mencecah 73 tahun tidak menghalang dia memberikan persembahan terbaik.
“Biarpun sudah berusia, namun peluang yang diberikan ini tidak akan dipersiakan begitu sahaja. Saya akan cuba memberikan persembahan yang pastinya tidak dapat dilupakan oleh penonton,” katanya menutup bicara.