Awie rindukan anak-anak


Awie bersama isterinya, Ladyana dan dua anaknya hasil perkahwinan terdahulu iaitu Merrah dan Aleefa Antasha. Dua orang lagi anaknya, Rezzki dan Qaseh Antasha berhari raya dengan bekas isterinya, Rozana.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, kehadiran 1 Syawal sedikit meninggalkan rasa sebal dalam diri penyanyi rock, Datuk Awie.

Walaupun baru melalui fasa bahagia selepas mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 30, pada penghujung tahun lalu, namun jiwa besar Awie masih tidak dapat membendung rasa sedih saat tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Hal ini kerana, pemilik nama lengkap, Ahmad Azhar Othman, 48, itu masih tidak berpeluang untuk meraikan kedatangan Lebaran bersama dua cahaya mata kesayangannya, Putra Ahmad Rezzki, 9, dan Puteri Qasseh Antasha, 7, sejak bekas isteri, Rozana Misbun diberi hak penjagaan sementara bagi kedua anaknya pada 27 Januari 2015.

Ketika bertemu dengan beliau pada majlis rumah terbuka yang diadakan di kediamannya di ibu kota baru-baru ini, Awie mengakui berasa kecewa dan sedih apabila melihat kerenggangan yang berlaku antara beliau dan anak-anaknya.

Dalam pada itu, Awie turut berkongsi pengalamannya berhari raya di Songkhla, Yala dan Hat Yai, Thailand selain perkembangan terbaharunya dalam bidang lakonan.

KOSMO!: Selamat hari raya Awie. Bagaimanakah sambutan Aidilfitri pada tahun ini?

AWIE: Selamat hari raya. Tahun ini, saya bersama Ladyana dan anak ketiga, Putra Ahmad Merrah, 10, meraikan hari raya di Thailand. Kami bercuti di sana sekitar empat hari bermula 1 Syawal sebelum pulang ke Malaysia dan beraya ke rumah sanak saudara yang berada di Perlis, Kedah dan Ipoh, Perak.

Adakah sambutan hari raya di Thailand sama seperti di negara kita?

Tidak sama sekali. Sepanjang beraya di Songkhla, Yala dan Hat Yai, mereka langsung tidak menghidangkan juadah hari raya seperti ketupat, lemang atau rendang. Kuih raya juga tidak dihidangkan. Tetamu sekadar dijamu dengan nasi dan lauk-pauk sahaja.

Sejak Rozana mendapat hak penjagaan sementara terhadap anak-anak, anda dilihat jarang menghabiskan masa bersama mereka. Adakah anda berasa sedih tidak berpeluang menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri bersama Rezzki dan Qasseh pada tahun ini?

Benar, saya berasa sangat sedih dan kecewa. Hampir tiga tahun saya tidak dapat bertemu dengan mereka, termasuklah menyambut hari raya bersama. Ada sahaja alasan yang diberikan oleh Rozana apabila saya cuba untuk menghubungi Rezzki dan Qasseh. Saya risau jika berterusan begini, hubungan saya dan anak-anak akan renggang.

Sampai bilakah kerenggangan ini akan berterusan?

Saya sendiri tidak tahu. Boleh jadi setahun, mungkin tiga tahun atau mungkin sehingga kes perceraian kami selesai. Sejujurnya, saya menerima segala yang ditentukan dengan hati terbuka. Setiap apa yang berlaku telah tertulis dan saya sebagai hamba, menerima dengan reda.

Awie, nama anda baru-baru ini panas selepas sebuah parti politik di Kelantan menyelar tindakan anda yang menyertai acara Kelantan International Bike Week 2017.

Menurut parti politik tersebut, kehadiran anda memberi pengaruh akhlak yang kurang baik terhadap pengunjung. Apakah reaksi anda terhadap isu ini?

Saya sendiri tidak tahu mengapakah acara tersebut menjadi isu. Sebelum menghadiri Kelantan International Bike Week 2017, saya dan kumpulan motor berkuasa besar, Wings Motor Group Society terlebih dahulu pergi ke beberapa sekolah tahfiz untuk memberikan sumbangan.

Namun, mengapa berita tersebut tidak digembar-gemburkan? Bagi saya, isu ini sengaja ditimbulkan untuk menaikkan pengaruh politik mereka sendiri.

Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Saya bercadang untuk mengadakan Serban Ride di Kelantan. Acara permotoran tersebut akan melibatkan peserta yang mengenakan serban sambil menunggang motosikal berkuasa besar.

Bagaimanapun, saya masih lagi berbincang dengan pihak berkuasa sebelum merealisasikan aktiviti ini.

Selain itu, saya akan kembali berlakon dalam sebuah telefilem arahan Mamat Khalid dan merancang untuk mengadakan persembahan istimewa mirip Konsert Wings And Superfriends - Belenggu Irama yang diadakan awal tahun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post