Disiplin cara Nabila Huda


hi_01.1.jpg

KARAKeTER - Menurut Nabila, seorang pelakon yang bagus adalah apabila mampu mencipta karakter tersendiri dalam setiap watak yang diberikan. Justeru, Nabila akan membina karakter sendiri termasuk kostum yang dipakai untuk setiap watak agar ia tidak kelihatan klise.



SATU hal tentang Nabila Huda yang mungkin jarang dilihat pada pelakon lain adalah tahap keseriusannya apabila berbicara tentang bidang lakonan.


Tegas tetapi telus, pengalaman selama 16 tahun melakar nama sebagai anak wayang barangkali memberikan kelebihan buat Nabila untuk berbahas tentang topik atau isu berkaitan seni secara terbuka.


Mengakui tidak pernah memandang remeh terhadap kerjayanya sebagai pelakon, wanita berusia 33 tahun itu sentiasa peka dengan watak yang ditawarkan agar lakonannya di layar kaca mahupun lebar, hidup pada mata khalayak.


“Saya berlakon bukan untuk cantik. Saya berlakon kerana mahu menghidupkan sesebuah watak sehingga ia selari dengan jalan cerita.


“Disebabkan itu, saya tidak kisah untuk berbelanja dan membeli pakaian bagi watak dalam sesebuah drama yang saya jayakan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran drama bersiri 100 episod, Dendam Aurora di Suria KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Menurut Nabila, ‘mencipta’ penampilan watak yang digalas dalam drama merupakan elemen paling penting jika seseorang pelakon itu mahu kelihatan berbeza di kaca televisyen.


“Sejak dahulu lagi, saya akan berhabis untuk membeli pakaian atau kostum bagi watak yang saya lakonkan. Bukan tidak mahu mengenakan pakaian tajaan, tetapi, apa yang disediakan selalunya tidak kena dengan watak.


“Kadangkala watak pelajar kolej kelihatan seperti penyanyi dangdut dan watak wanita lorong pula diminta mengenakan busana harian yang cantik-cantik.


“Sebagai pelakon yang dibayar gaji, kita bertanggungjawab untuk membentuk karakter yang digalas agar tidak kelihatan janggal apabila ditonton,” katanya.


Melanjutkan bicara, anak kepada penyanyi rock, Amy Search itu telah berhabis sekitar RM5,000 untuk membeli pakaian bagi sesi penggambaran 21 episod pertama drama Dendam Aurora yang bermula sekitar April lalu.

Walaupun mengenakan pakaian yang dibeli sekali untuk sesebuah babak, namun Nabila yang membawakan watak Aurora dalam drama tersebut berasa puas apabila melihat hasil akhirnya.


“Biar kita berbelanja lebih, asalkan penampilan untuk karakter yang dijayakan kelihatan tidak klise,” katanya yang dijangka menyudahkan proses penggambaran sekitar Disember tahun ini.


Komitmen


Walaupun sering menyumbangkan idea bagi penambahbaikkan penampilan wataknya dalam drama, pihak produksi tidak pernah terganggu dengan permintaannya itu.


“Setelah mendapat skrip, saya akan duduk berbincang dengan penerbit dan pengarah.

“Menerusi perbincangan tersebut, kami biasanya akan mencapai kata sepakat untuk mencipta penampilan bagi karakter lakonan saya,” katanya lagi.


Menyentuh mengenai produksi Dendam Aurora pula, Nabila menyifatkan drama yang diadaptasi daripada telenovela popular dari Itali tersebut sebagai sebuah naskhah drama yang menguji kredibilitinya sebagai pelakon.


Ujar pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-28 itu, Dendam Aurora menyajikan sebuah konflik kehidupan yang begitu dekat dengan masyarakat tempatan.


“Dendam Aurora merupakan drama bersiri pertama yang saya lakonkan selepas dua tahun berehat daripada melibatkan diri dengan naskhah rantaian.


“Sungguhpun proses penggambaran agak memenatkan, namun saya berasa teruja kerana dapat mencuba sesuatu yang berlainan,” katanya.


Dalam pada itu, ketelitian Nabila dalam menjayakan watak Aurora turut dibantu oleh pelakon Ungku Ismail Aziz yang membawakan watak Harris Hamzah, suami kepada Aurora.

“Saya berasa sungguh teruja dapat bekerjasama dengan Ungku. Dia merupakan pelakon yang sangat profesional dan tahu kehendak watak dan perwatakannya.


“Justeru, kerja-kerja penggambaran menjadi lebih mudah dan teratur,” tutur Nabila lagi.


Beralih subjek tentang kerjasamanya bersama Ungku, Nabila yang pernah popular dengan drama Julia itu menegaskan, keserasian yang dibina menerusi drama tidak dibuat-buat.


Katanya, tidak seperti pelakon baharu yang kerap keluar bersama di luar set penggambaran untuk mendapatkan mood, dia lebih selesa untuk menelaah skrip secara bersendirian.


“Saya sendiri tidak faham mengapa sesetengah pelakon kerap menggunakan alasan perlu keluar bersama bagi mencari keserasian.


“Bagi saya, keserasian itu akan datang kalau kita benar-benar faham dengan watak yang akan kita jayakan,” ujarnya dalam nada tegas.


Menurut Nabila, mereka yang gagal menghidupkan watak bagi sesebuah naskhah tidak layak digelar sebagai pelakon.


“Pelakon bekerja berpandukan skrip dan pengarahan sutradara.


“Jika seseorang itu tidak boleh mendapatkan mood atau keserasian di set penggambaran, mungkin bidang ini tidak sesuai untuk mereka,” katanya.


Ditanya mengenai perancangannya selepas tamat sesi penggambaran drama Dendam Aurora, Nabila berkata, kemungkinan besar dia akan bercuti panjang bagi menghabiskan masa bersama keluarga.


“Sejak terlibat dengan dendam Aurora, rutin harian menjadi sangat sibuk. Sehingga saya hanya sempat meluangkan sedikit masa dengan adik tiri, Irisha Myra dari Amerika Syarikat yang menyambut hari raya di Malaysia tempoh hari.


“Jadi, saya berharap dapat bercuti panjang selepas tamat penggambaran sebelum berfikir untuk menerima projek lakonan seterusnya,” tutup Nabila.

Post a Comment

Previous Post Next Post