Farahdhiya dihujani gambar lucah


FARAHDHIYA terkejut menerima banyak gambar lucah daripadaa lelaki, termasuk seorang remaja berusia 16 tahun.


Sudah menjangkau usia 33 tahun, penyanyi Farahdhiya bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Dia bagaimanpun masih menunggu jejaka yang sesuai dijadikan seorang suami dan teman sehidup semati.


Disebabkan usianya yang semakin meningkat, Farahdhiya atau nama sebenarnya, Farahdhiya Mohd. Amin tidak mahu terlalu memilih apabila berkaitan soal jodoh, asalkan bakal suaminya faham dengan kerjayanya sebagai seorang anak seni serta wajib berstatus solo.


Dalam terlanjur berkongsi cerita dengan Kosmo! pada majlis hari terbuka A. Aida Production di Wisma Rampai, Kuala Lumpur tempoh hari, pelantun lagu Bertakhta Di Hati itu mendedahkan bahawa dirinya diganggu banyak lelaki yang tidak dikenali dalam laman Instagram sehingga mereka sanggup menghantar gambar lucah kepadanya.


Apa yang mengejutkan buat wanita berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu, terdapat lelaki berusia seawal 16 tahun sanggup melakukan perkara tersebut demi mendapatkan perhatiannya.


Dalam perkembangan lain, Farahdhiya bercerita tentang single terbaharu berjudul Kepada Dia serta pandangannya tentang trend muzik masa kini yang baginya tidak menentu.


Kosmo!: Apa perkembangan seni Farahdhiya yang terbaharu?


FARAHDHIYA: Single terbaharu saya berjudul Kepada Dia baru dilancarkan sebelum raya tempoh hari. Lagu tersebut adalah hasil ciptaan Sri Kandi, manakala lirik ditulis oleh Hang Nadim. Alhamdulillah, selepas Gegar Vaganza (GV), kerjaya seni saya semakin bersinar, bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah lakonan.


Saya boleh katakan, GV adalah perkara paling terbaik pernah berlaku dalam hidup saya. Dalam pada itu, saya juga rindu untuk berlakon, namun buat masa sekarang belum ada tawaran yang bersesuaian dengan jadual seni saya.


Apa pendapat anda tentang trend muzik sekarang ini yang lebih tertumpu kepada muzik 1990-an?


Saya terus maju ke depan dan tidak akan mengikut trend muzik seperti itu. Terpulang kepada pendengar sama ada untuk menerima pilihan muzik saya atau sebaliknya.


Ada juga yang mengklasifikasikan saya sebagai one hit wonder (popular sekejap) tapi apa yang boleh saya katakan, saya masih bertahan dalam industri hampir 13 tahun. Tidak kisah sebenarnya popular atau tidak, saya masih mampu mencari rezeki dalam bidang ini.


Baiklah, maaf bertanya soalan sedikit peribadi tapi anda sudah pun berusia 33 tahun. Sebenarnya anda masih belum berpunya atau memang tiada perancangan untuk berkahwin?


Apa yang boleh saya katakan, belum ada jodoh. Saya pun mahu berkahwin dan mempunyai anak, namun kalau belum sampai jodoh, siapa saya untuk mempersoalkan kehendak Ilahi.


Ada lelaki yang mendekati tetapi mereka menyerah separuh jalan untuk terus mengenali kerana berpendapat saya seorang wanita yang mempunyai kehidupan mewah.


Saya bukan begitu. Ada juga cerita timbul saya tidak kisah bermadu. Kalau boleh, saya tidak mahu berkongsi suami tapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam hidup kita pada masa akan datang.


Ada yang cuba untuk mengurat anda sekarang?


Terlanjur bercerita, saya terkejut sangat apabila semakin ramai lelaki yang cuba untuk berkomunikasi dengan saya di laman sosial seperti Instagram dan Twitter.


Apa yang memeranjatkan, ada antara mereka yang menghantar gambar alat sulit mereka secara peribadi dalam Instagram, misalnya.


Pelik dan geram kerana yang menghantar gambar tidak senonoh ada yang berusia seawal usia 16 tahun. Kalau saya jahat sangat, mahu sahaja saya dedahkan mereka dalam laman Instagram, namun saya bukan jenis yang begitu.


Adakah disebabkan perkara itu membuatkan anda takut untuk keluar bersendirian?


Tidaklah sampai takut untuk membuat laporan polis, namun saya akan elakkan keluar rumah secara bersendirian. Macam menaiki perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab, saya memang tidak berani. Saya rasa lebih selamat memandu sendiri.


Jadi, apa tindakan lanjut anda apabila sering mendapat gambar tidak senonoh dalam laman sosial?


Saya akan lihat akaun-akaun yang menghantar gambar tidak senonoh dan sekat terus daripada mempunyai akses ke akaun sosial media saya seperti Instagram atau Twitter. Semoga lelaki di luar sana bersikap lebih budiman terutama buat generasi muda.

Post a Comment

Previous Post Next Post