Hunny Madu tembusi pasaran global



HUNNY Madu memandang kerjasama yang terjalin dengan Radio3000 (kiri) bakal membuka ruang yang lebih baik untuk dirinya dalam industri nyanyian.


PENYANYI Hunny Madu tidak menolak kemungkinan untuk melebarkan sayap karier nyanyiannya ke persada global selepas menjalin kerjasama dengan penyanyi rap dari Amerika Syarikat, Radio3000.


Mereka tampil berduet menerusi single berjudul Get Money yang baru sahaja dilancarkan di pejabat Warner Music Malaysia di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. 


Menurut Hunny atau nama sebenarnya, Hani Farahana Mohd. Hatim, kerjasama yang terjalin dengan Radio3000 membuka peluang untuknya mencuba nasib di negara Uncle Sam itu memandangkan selepas ini mereka merancang untuk mengadakan jelajah bagi mempromosikan single tersebut. 


“Sememangnya sudah menjadi niat saya untuk ke sana dan meneroka pasaran muzik di Amerika Syarikat selepas Radio3000 merancang untuk membawa lagu ini ke pasaran sana kemungkinan besar pada bulan depan. 


“Ini merupakan satu peluang yang besar dan sukar untuk saya tolak. Kalau ada rezeki untuk menetap dan mencari rezeki di sana, apa salahnya walaupun rasa sangat sayang mahu tinggalkan Malaysia. 


“Jadi, buat masa sekarang saya hanya berulang-alik sahaja untuk memenuhi jadual jelajah,” katanya. 


Menceritakan tentang jalinan kerjasama antara mereka, kongsi Hunny, segalanya bermula selepas kedatangan Radio3000 ke negara ini untuk mencari bakat dalam bidang hip hop. 


“Dia datang ke Malaysia untuk mencari bakat dalam bidang hip hop. Ketika melihat persembahan saya dan Kayda buat kali pertama, dia sangat teruja kerana tidak sangka ada penyanyi wanita yang pandai menyanyi rap.


“Ironinya, industri muzik kita tidaklah besar mana untuk kehadiran penyanyi hip hop seperti saya kalau mahu dibandingkan dengan Amerika Syarikat. 


“Jadi, hasil kerjasama ini membuatkan saya bersemangat dan sekali gus mahu memadam stereotaip masyarakat bahawa hip hop cuma sinonim dengan orang lelaki,” ujar penyanyi berusia 33 tahun itu ceria. 


Tambah Hunny lagi, single Get Money disifatkan sangat istimewa kerana idea menghasilkannya muncul dengan mudah memandangkan mereka berkongsi muzik yang sama. 


“Lagu ini sendiri sebenarnya merupakan biasan bagi diri sendiri kerana ia menceritakan tentang jerih perih yang kami lalui dalam hidup ini untuk mencapai cita-cita. 


“Walaupun orang nampak pekerjaan anak seni seperti mudah dan hidup dalam kemewahan, sebenarnya tidak. Kami juga terpaksa bekerja keras seperti orang lain untuk mendapatkan wang bagi menampung hidup. Tiada jalan singkat untuk berjaya,” tegasnya. 


Sementara itu, Radio3000 pula menyifatkan kerjasamanya bersama Hunny adalah penerokaan baharu dalam bidang muzik kerana menggabungkan dua negara dan budaya yang berbeza. 


“Kalau dibandingkan budaya dan negara, kami memang berbeza. Namun, satu hal yang berjaya menyatukan kami adalah muzik dan minat yang sama. 


“Memang selalu ada cabaran setiap kali kita cuba untuk melakukan perkara baharu dalam hidup tetapi mengapa tidak untuk saya bawa dunia kami ke satu aras yang lebih baik menerusi kerjasama ini,” katanya.


Post a Comment

Previous Post Next Post