Jejaka Anime Miyyo Rizone Tidak Wujud, Dakwa Bella Barbie


Gambar kiri menunjukkan pandangan sisi jawline (garis rahang) sebenar Miyyo, manakala gambar kanan merupakan gambar yang didakwa telah disunting.

Seorang wanita mendakwa pemuda berwajah anime yang tular di laman sosial dan media tempatan sejak minggu lalu adalah palsu.

Menerusi posting yang dimuat naik di laman Facebooknya pada malam Ahad, Bella Barbie mendakwa pemuda tersebut, Miyyo Rizone menggunakan beberapa aplikasi penyuntingan gambar untuk mencipta imej lelaki anime seperti yang tersebar sebelum ini.

Wanita itu ketika dihubungi mStar, turut mendakwa, pembongkaran itu dibuat kerana tidak mahu masyarakat terus terpedaya dengan gambar-gambar yang telah disunting oleh jejaka anime tersebut.

Bella Barbie juga mendakwa, nama sebenar Miyyo yang didedahkan kepada pihak media sebelum ini bukanlah Amirul Rizwan Musa, tetapi Muhammad Syahrizal Ikhwan Musa.

"Itu bukan dia, muka dia kalau depan-depan OMG (Oh My God). Lelaki anime tidak wujud! Kalau dia keluar orang tak kenal sebab memang muka tak sama.


(Kiri) Gambar terkini Miyyo yang dikongsikan oleh Bella Barbie. (Kanan) Gambar yang dimuat naik oleh Miyyo di Facebook miliknya.

"Saya ada gambar dia tanpa solekan, dia sunting semua gambar menggunakan applikasi Camera360 dan BeautyPlus.

Saya tahu kerana dia selalu sunting gambar-gambarnya di sebelah saya," akui Bella Barbie mendakwa mengenali pemuda dari Ketereh, Kelantan itu," dakwanya.

Bella Barbie selain itu mendakwa pernah cuba menyunting gambarnya sendiri menggunakan applikasi tersebut dan terkejut kerana wajahnya boleh berubah mirip Miyyo.

"Dia bagi alasan tak nak tunjukkan muka di mana-mana media mungkin kerana takut wajahnya tak sama seperti di dalam gambar.


Gambar keadaan terkini Miyyo ketika keluar bersama Bella Barbie sebelum ini.

"Dia bukanlah tinggi atau memiliki 'jawline' (garis rahang yang tajam) dan kurus seperti dalam gambar di laman sosial, apatah lagi menjadi seorang model," dakwanya lagi.

Pada masa sama, Bella mengakui dia pernah menemani Miyyo untuk membuat pembedahan wajah, namun percaya bahawa Miyyo telah menipu nilai sebenar pembedahan tersebut.

Berdasarkan pengalaman peribadi gadis berdarah campuran Siam itu, harga bagi satu pembedahan di Thailand hanyalah RM1,000.

"Saya selalu ulang-alik ke Thailand. Kos pembedahan hidung dan dagu cuma RM1,000 setiap satu, manakala kos menipiskan bibir pula cuma RM600.

"Dia mengaku pada media pernah buat pembedahan sebanyak dua kali sahaja, mustahil harganya bernilai RM200,000?," dakwa wanita itu.

Sementara itu, Miyyo pada pagi Isnin telah memuat naik sebuah video jenis 'boomerang' berdurasi tiga saat di Instagram @miyyo_rizone untuk menunjukkan keadaan terkini wajahnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post