Idris Khan perbaiki diri


Idris Khan mengaku seorang yang setia dan hanya pernah mempunyai seorang bekas kekasih.

Tiada apa yang kurang dengan pelakon lelaki ini. Selain dianugerahkan wajah kacak, ketinggian yang dimiliki juga dicemburui banyak mata lelaki. Namun, nama Idris Khan masih belum mampu bersinar di hati ramai orang.

Drama lakonannya juga masih tidak mampu membeli hati penonton.

Menanyakan hal itu kepada empunya diri, lelaki ramah ini hanya tersenyum.

“Masa pertama kali berlakon menerusi slot popular, Akasia untuk drama Duda Terlajak Laris, saya baru setahun berada dalam industri lakonan. Saya sendiri tidak puas hati menonton lakonan sendiri ketika itu.

“Sekarang saya sudah banyak timba pengalaman dalam bidang lakonan. Lakonan saya juga sudah banyak perubahan. Jadi, apabila terima semula tawaran di slot itu (Akasia) menerusi drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin, saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk menonjolkan bakat saya kepada umum,” ujarnya ketika ditemui Sensasi Bintang di lokasi drama lakonannya itu di sebuah kediaman mewah di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bukan populariti diri dan drama yang dikejar Idris, apa yang lebih utama adalah penonton melihat bakat lakonan yang ada pada dirinya.

“Drama menjadi viral dan pelakon menerima impak populariti menerusi drama itu adalah perkara kedua yang saya lihat. Paling penting orang melihat bakat saya. Saya juga mahu nama popular disebabkan bakat dalam bidang lakonan,” jelasnya yang membintangi drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin bersama dengan Raysha Rizrose dan Azrel Ismail.

Atas dasar ingin sentiasa memperbaiki diri menjadi pelakon yang bagus dan tidak digelar ‘kayu’, Idris merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang lakonan di sebuah universiti di London pada Julai tahun depan.

“Saya akan sentiasa belajar kerana masih banyak seni lakon yang perlu saya dalami dan ia juga bagi meningkatkan prestasi lakonan saya,” katanya yang akan muncul menerusi filem Jebat dan Anarki.

Selain sibuk berlakon, pelakon berusia 29 tahun itu juga fokus dengan syarikat produksinya bersama pelakon Pekin Ibrahim iaitu Centro Pictures. Malah, produksinya itu kini dalam proses menyiapkan filem KL Wangan.

Post a Comment

Previous Post Next Post