SETIAP orang ada cara tersendiri menyambut lebaran. Ada yang masih mengekalkan tradisi menyambut bulan kemenangan dengan menziarahi sanak saudara dan rakan taulan, ada juga yang mengambil kesempatan bercuti pada musim perayaan.
Bagi keluarga selebriti Farid Kamil Zahari, Diana Danielle Danny Beeson, bersama anak mereka Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 2, pulang ke kampung menjadi satu kemestian.
Menurut Diana, sejak mendirikan rumah tangga, pulang ke rumah keluarga Farid di Jitra, Kedah menjadi satu tradisi yang ada ketikanya turut disertainya ibunya, Norsiah Ramli.
"Saya orang Kuala Lumpur (KL) dan beraya di KL sangat tak seronok kerana tidak semeriah kita beraya di kampung," ujarnya.
Artis berusia 26 tahun ini memberitahu, mereka sekeluarga akan berada di sana antara lima hari hingga seminggu dan kemudian pulang berhari raya di Kuala Lumpur.
Tidak hanya sekadar menziarahi saudara-mara, Diana berkata, mereka sekeluarga biasanya mengambil kesempatan untuk bercuti di Pulau Langkawi.
"Memandangkan sudah tidak jauh dari rumah, biasanya kami memang akan lajak bercuti di Langkawi. Tapi, tahun ini tidak pasti lagi sebab saya sendiri pun terikat dengan beberapa komitmen kerja selepas raya," certanya kepada Media Hiburan.
Ditanya juadah kegemarannya apabila berhari raya bersama keluarga Farid, Diana berkata, dia menyukai itik golek dan rendang daging masakan ibu mertuanya.
"Dua menu ini menjadi menu wajib saya setiap kali pulang ke Jitra," katanya yang turut merancang mengadakan rumah terbuka kali ini.
Diana berkata, untuk tahun ini, dia juga tidak membuat persiapan raya berlebihan kerana dia, Muhammad dan Aurora hanya menggayakan baju raya koleksi sendiri yang dijual.
"Hanya Farid saja yang beli baju Melayu. Insya-ALLAH tahun depan saya rancang untuk keluarkan satu set baju raya dari bapa, ibu, anak lelaki dan anak perempuan, tapi bergantung juga pada keadaan," ujarnya yang terikat dengan program Toyota Gazoo Racing.