BIARPUn sudah lama berlalu, Siti Nurhaliza masih merindui arwah bapanya, Tarudin Ismail setiap kali Aidilfitri.
AIDILFITRI yang bakal tiba esok bakal disambut dengan penuh meriah oleh umat Islam, termasuk penyanyi No. 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Beliau yang baru pulang ke tanah air daripada mengerjakan umrah bersama suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dua hari sebelum lebaran meluahkan rasa rindu terhadap arwah bapa, Tarudin Ismail yang meninggal dunia pada 2009.
Begitupun, raya tahun ini agak berbeza dan lebih meriah buat Siti apabila bilangan cucunya bertambah kepada dua orang iaitu Ayden, 3, dan Arif Jiwa yang lahir pada 31 Mac lalu.
Selain berkongsi kisah sambutan Aidilfitri, Siti juga sempat menitipkan nasihat buat peminat dan pembaca Kosmo! untuk berhati-hati di jalan raya.
Kosmo!: Apakah perbezaan sambutan Aidilfitri Siti pada tahun ini?
Siti Nurhaliza:
Alhamdulillah, paling berbeza sudah tentu pertambahan cucu dalam keluarga yang akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri. Kehadiran mereka membuatkan sambutan raya kami sekeluarga lebih bermakna.
Sepanjang bergelar penyanyi, bilakah perbelanjaan paling besar pernah dikeluarkan anda pada hari raya?
Seingat saya, perbelanjaan yang agak besar pernah saya keluarkan ketika hari raya sebelum berkahwin. Ia berikutan pada waktu itu saya sering mengadakan rumah terbuka di kampung, Kuala Lipis, Pahang. Pada masa itu, saya masih baharu dalam bidang seni dan memang ramai peminat dari seluruh negara datang beraya di kampung. Ketika itu keluarga masih bergotong-royong memasak sendiri juadah untuk tetamu. Dalam pada itu, saya juga harus menyediakan duit raya untuk kanak-kanak secukupnya.
Apakah perkara wajib yang perlu ada untuk anda setiap kali tibanya Aidilfitri?
Sudah tentu makanan kegemaran saya iaitu nasi impit dan kuah kacang hasil air tangan ibu. Pagi raya, itulah menu yang akan saya cari dahulu biarpun banyak lagi makanan lain terhidang di atas meja.
Boleh kongsikan detik raya paling sedih buat anda?
Masih mekar dalam ingatan, raya tahun 2009 paling memilukan bukan sahaja untuk saya, tetapi seluruh keluarga. Ini kerana pada tahun itu arwah bapa, Tarudin Ismail meninggal dunia. Memang amat terasa kehilangannya dan rutin raya saya berubah secara drastik daripada bersalaman memohon ampun kepada menziarah pusara beliau pada pagi raya.
Terakhir, apakah pesanan anda buat semua umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri esok?
Raikan hari kemenangan dengan sederhana dan dahulukan mana yang perlu serta jangan membazir. Selain itu, kepada yang pulang ke kampung halaman berhati-hati ketika memandu di jalan raya. Pesanan ini untuk semua kerana sikap tidak sabar di jalan raya akan menyusahkan orang lain. Semasa memandu ingatlah orang tersayang dan tujuan balik kampung. Semoga Aidilfitri kali ini dapat mengeratkan silaturahim sesama kita.