Fitrah Syawal Aiman Tino, keluarga


WARNA TEMA - Aiman Tino dan seisi keluarga memilih warna merah jambu belacan dan putih susu sebagai warna tema baju raya pada tahun ini.

MENGECAPi populariti dalam usia muda dan mengekalkan pencapaian tersebut bukanlah satu tugas mudah. Bagi penyanyi kegemaran ramai, Aiman Tino, dia mula dilimpahi rezeki sebagai anak seni selepas mencetus fenoma menawan hati peminat melalui lagu Ku Rela Dibenci pada tahun lalu.

Istimewa sempena sambutan Syawal yang akan disambut pada hari esok, Kosmo! telah mengatur satu sesi fotografi istimewa bersama Aiman dan keluarganya di Kuala Kubu Bharu (KKB), Selangor baru-baru ini.

Suasana meriah menyelubungi kawasan sekitar restoran milik keluarga Aiman yang terletak di Dataran Kuala Kubu Bharu. Manakan tidak, keluarga besar Aiman, 19, berjaya dibingkaikan dalam sesi fotografi tersebut.

Selain ayah, Yusry Ishak, 48, dan ibunya, Hazelina Mat Jalil, 41, sembilan adik-beradik Aiman ialah Nur Fara Ain, 23, Mohd. Aidil, 22, Nur Fara Azira, 21, Nur Isfasha, 15, Mohd. Haikal, 11, Nur Alya Mahsuri, 8, Nur Qaseh Mahsuri, 6, Mohd. Ikhwan, 3, dan Nur Nina Izara, 2.

“Alhamdulillah, Aidilfitri kali ini merupakan tahun kedua saya menyambut lebaran sebagai anak seni. Sambutannya lebih istimewa kerana hampir dengan ulang tahun kelahiran saya pada 27 Jun.

“Justeru, bagi meraikan hari lahir dan menghargai semua peminat yang tidak jemu menyokong perjalanan karier saya, pada Syawal ketujuh kami merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka di restoran ini,” ujarnya ceria membuka bicara.

Beraya di Sarawak

Bercerita lanjut tentang sambutan lebaran, pemilik nama penuh Muhammad Aiman Yusry itu berkata, terdapat sedikit perubahan berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana berpeluang merasai pengalaman beraya di negeri orang.

Aiman dan keluarganya akan bertolak ke Sibu serta Kuching, Sarawak untuk menyambut raya di sana selama empat hari bermula raya kedua nanti.

“Ini sekadar jemputan daripada seorang kenalan yang mengajak kami sekeluarga ke sana. Alang-alang, kami mengambil kesempatan ini untuk bercuti raya sekali di sana.

“Pada pagi Syawal, saya akan mengadakan persembahan di kediaman Perdana Menteri di Putrajaya. Selepas itu, saya terus pulang untuk beraya di kampung ayah di sekitar KKB dan kemudian kampung ibu di Sungai Besar, Selangor,” katanya.

Menceritakan perbezaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan puasa yang diharungi semenjak bergelar artis, Aiman menguntum senyuman. Baginya, perkara yang dirindukan merupakan memori bermain mercun pada waktu kecil dahulu.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Permata Cinta itu turut mengakui terpaksa meninggalkan rutin beraya bersama rakan-rakan sebaya sejak bergelar artis.

“Pada waktu dahulu, setiap kali hari raya, saya dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang bermain mercun bersama. Kami juga akan keluar beramai-ramai untuk berhari raya di rumah kawan-kawan dengan tujuan mengutip duit raya.

“Suasana memang cukup meriah. Begitupun, selepas bergelar artis semua yang dilakukan dahulu terpaksa dikurangkan kerana kekangan masa,” ujarnya yang pernah mengumpul duit raya sehingga mencecah RM400.

Pengorbanan

Bukan sekadar teruja merasai kemeriahan lebaran, namun jelas raut teruja yang terpancar pada wajah anak keempat daripada 10 beradik itu tatkala bercerita tentang sambutan rayanya kali ini.

Manakan tidak, tahun ini dia mengeluarkan wang sendiri untuk duit raya buat adik-adiknya. Lebih menarik, Aiman turut menawarkan diri untuk menyediakan baju raya kepada seluruh ahli keluarga.

“Saya tidak pasti kenapa tetapi tahun ini perasaan teruja tersemat di dalam hati ini kerana berkesempatan menghulurkan duit raya untuk adik-adik. Saya dapat rasakan beruntungnya menjadi orang yang menghulurkan tangan kerana ia dapat menggembirakan mereka yang menerima,” ujarnya.

Dalam pada itu bapanya, Yusry berkata, meskipun Aiman baru berusia 19 tahun, namun dia dilihat semakin matang apabila menggalas tanggungjawab memenuhi keperluan hari raya keluarga pada tahun ini.

“Dia memang seorang anak yang manja lebih-lebih lagi dengan ibunya. Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui dia merupakan seorang yang sangat tegas dengan adik-adiknya. Mungkin dia kelihatan comel pada luaran tetapi di rumah memiliki sifat berbeza berbanding apa yang dilihat orang ramai (ketawa).

“Saya dapat melihat dia semakin matang sejak kebelakangan ini. Sedikit demi sedikit dia mengambil tanggungjawab menjaga keluarga. Acap kali menjelang raya, saya akan menjemput tukang jahit bertandang rumah mengambil ukuran baju raya kami sekeluarga. Pada tahun ini, dia mengambil peranan itu kerana ingin merasai kesusahan yang dirasai diri saya menanggung keluarga selama ini,” ujar Yusry.

Pindah

Berkongsi tentang perkembangan terkini, Aiman yang baru sahaja tampil dengan sebuah lagu raya berjudul Lara Dalam Kerinduan. ditebak soal album sambil mengukir senyuman, jawab Aiman: “Setakat ini saya sudah mempunyai empat buah lagu. Mengikut perancangan pada tahun ini selain sebuah lagu raya, saya juga baru sahaja melancarkan lagu Ku Hanya Sayang Padamu.

“Jika tiada sebarang halangan, mungkin akan tampil dengan sebuah album mini. Selain itu, saya bakal berduet dengan ayah pada tahun hadapan,” ceritanya penuh semangat.

Aiman menambah, dia juga dalam perancangan untuk mencari sebuah rumah sewa di ibu kota bagi memudahkan urusan kerjayanya. Selama dua tahun bergelar artis, dia memberitahu terpaksa berulang-alik dari KKB ke Kuala Lumpur yang memakan masa hampir satu jam perjalanan.

“Kakak saya, Nur Fara Azira akan menjalani latihan industri di syarikat Media Prima Bhd. Bagi memudahkan urusan dia dan kerjaya saya, mungkin selepas raya, kami akan berpindah dan menyewa di Kuala Lumpur.

“Keputusan ini diambil memandangkan saya sering berhadapan dengan cabaran seperti tayar pancit dalam perjalanan untuk memenuhi ketika undangan nyanyian di ibu kota,” katanya.

Namun, Aiman memberitahu, buat ini, keluarganya belum terlintas untuk berhijrah ke Kuala Lumpur kerana masih mempunyai adik-adik kecil yang bersekolah meskipun dia mempunyai perancangan untuk membeli rumah buat keluarganya suatu hari nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post