Jiwa prihatin Izreen Azminda


TANGGUNGJAWAB Izreen Azminda mengakui dirinya mudah berasa simpati terhadap kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan menjadikan itu sebagai pembakar semangat buatnya bekerja keras demi memastikan masa depan anaknya terjamin.

KEHADIRAN bulan Ramadan tidak hanya menuntut umat Islam menahan lapar dan dahaga tetapi juga menghidangkan saujana peluang untuk meningkatkan amal ibadah mencari keredaan Ilahi.

Sebelum tibanya Ramadan, kebanyakan daripada kita semua lebih memberi fokus kepada urusan kerja dan kadangkala terlepas pandang terhadap individu kurang bernasib baik.

Memikirkan semua situasi tersebut, pelakon Izreen Azminda berasa terpanggil untuk turun padang membantu meringankan beban golongan yang memerlukan sepanjang Ramadan ini.

“Sebelum menjelangnya Ramadan, saya banyak terlibat dengan penggambaran sehinggakan terlupa untuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

“Saya mengharapkan agar masa sepanjang bulan mulia ini tidak hanya dihabiskan bersama keluarga tetapi berpeluang untuk melakukan aktiviti amal bagi meringankan beban orang kurang bernasib baik,” tutur pelakon berusia 31 tahun itu.

Dorongan daripada situ, Izreen terdetik untuk melibatkan diri bagi menjayakan kempen Daripada Ibu Kepada Ibu anjuran badan bukan kerajaan (NGO) iaitu P&G dan Food Aid Foundation.

Kempen tersebut bertujuan membantu golongan ibu tunggal di seluruh Malaysia menyambut Ramadan, sekali gus meringankan beban mereka sepanjang melakukan persediaan menjelang Syawal.

“Setelah tiga tahun bergelar ibu tunggal saya sedar bukan mudah buat seorang wanita berstatus janda mengharungi kehidupan seorang diri, tambahan pula perlu membesarkan anak-anak,” kata Izreen.

Bagai kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah gambaran situasi yang perlu diharungi oleh wanita bergelar ibu tunggal.

Bagi Izreen, kata-kata sokongan dan dorongan hanya dapat menjadi pembakar semangat tetapi sebaliknya kekuatan sebenar harus perlu datang daripada dalam diri seseorang individu itu sendiri.

“Wanita tidak boleh menjadi lemah dan jangan mudah mengalah biarpun kehidupan sebagai ibu tunggal mempunyai pelbagai cabaran. Anggap segalanya sebagai ujian kecil daripada Tuhan,” ujar Izreen bersemangat.

Bagi Izreen, berstatus ibu tunggal tidak bermakna seseorang wanita itu bergantung belas ihsan kepada individu lain. Sebaliknya, mereka perlu meningkatkan semangat untuk berusaha gigih agar dapat menjamin kualiti hidup pada masa depan.

“Bantuan tidak bermaksud kita memperlekehkan kemampuan mereka tetapi ia adalah tanggungjawab sosial saya kepada masyarakat. Mungkin disebabkan saya juga seorang ibu tunggal, jadi secara tidak langsung kami berkongsi pengalaman yang sama,” jelas Izreen sewaktu disoal tentang penglibatan dalam kempen tersebut.

Nasihat Izreen, biarpun pelbagai cabaran mendatang, sikap positif dan tidak mudah mengalah perlu dijadikan nadi kekuatan untuk teruskan kehidupan.

Izreen yang ditemui pada majlis pelancaran kempen Daripada Ibu Kepada Ibu di kafe Talent Lounge, Damansara baru-baru ini juga mengharapkan para peminat agar sama-sama memberi sokongan bagi menjayakan acara tersebut yang bermula 15 Mei lalu hingga 15 Jun ini.

Keluarga

Meneruskan cerita, Izreen memberitahu, sepanjang bulan puasa, dia lebih mengutamakan masa bersama keluarga berbanding keghairahan memenuhi tuntutan kerja.

Sepanjang lebih empat bulan sebelum Ramadan lagi, tanggungjawabnya sebagai artis sudah dilunaskan tanpa gagal. Sorotan itu, telah tiba masanya untuk dia menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.

Menerusi nada suaranya, wanita bermata galak itu ternyata gembira kerana telah berjaya membebaskan diri daripada sebarang komitmen di lokasi penggambaran sepanjang Ramadan ini.

“Saya seorang yang prihatin terhadap jadual kerja. Jika sebelum ini segala keringat dicurahkan terhadap lakonan dan kini tiba masa untuk bersama keluarga pula.

“Sepanjang Ramadan saya tidak akan terlibat dengan sebarang aktiviti penggambaran kerana ingin memberi ruang buat diri sendiri untuk berehat dan beramal dengan tenang,” terang Izreen bersungguh-sungguh.

Di samping itu, masa bersama putera tunggalnya. Muhammad Adrian Umar, 4, adalah momen berharga selain berpeluang mendidik anak kecil itu untuk bertatih mengenal erti puasa.

Bercerita mengenai cahaya matanya, Izreen nyata sudah mempunyai rencana masa depan putera tunggalnya itu.

Berbeza dengan apa yang dilakukannya untuk meneruskan kehidupan, Izreen bagaimanapun enggan membiarkan Adrian mengikut jejak langkahnya sebagai artis.

Masa depan

Di sudut hatinya, biarlah anaknya tidak memilih bidang seni sebagai kerjaya pada mada depan.

“Kehidupan sebagai artis bukan satu perkara mudah. Saya sendiri pernah lalui kepayahan dalam industri. Jadi, Adrian tidak perlu turut hidup susah dan melalui pengalaman yang pernah dirasai sebagaimana ibunya,” tegas Izreen dalam nada serius.

Selain itu, Izreen juga mempunyai pandangan berbeza berbanding selebriti lain yang memilih untuk melimpahi anak mereka dengan percikan populariti terutama di media sosial.

Dia sebaliknya memilih untuk tidak terlalu membuka ruang glamor kepada Adrian. Izreen juga selesa membiarkan anaknya membesar sama seperti anak orang kebanyakan yang lain.

“Setiap individu mempunyai fahaman berbeza dan saya mahu membiarkan dia membuat pilihan sendiri apabila dewasa nanti tanpa perlu dipengaruhi oleh persekitaran. Tidak bermaksud saya bergelar selebriti jadi anak juga harus perlu menonjol sehingga mampu meraih perhatian ramai,” kata Izreen mengakhiri bicara.

Izreen bagaimanapun reda dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir, sekiranya Adrian turut berminat menyertai dunia seni apabila dewasa kelak.

Post a Comment

Previous Post Next Post